اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 568: PENJELASAN BERKENAAN RIWAYAT PEREMPUAN YANG SUKA MEMBEBEL DIHADAPAN SUAMI DIIBARATKAN SEPERTI ANJING YANG MENGGONGGONG PADA HARI AKHIRAT

IH568.png

 

Soalan

Salam pejabat mufti, perempuan yang suka membebel dan suka menjerit di hadapan suami, pada hari akhirat nanti dia seperti anjing yang menggonggong. Ada orang sebut ini hadis boleh tolong sahkan ke?

Ringkasan Jawapan

Setelah melakukan carian maka tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar berkenaan riwayat yang menyebutkan bahawa “perempuan yang suka membebel dan suka menjerit di hadapan suami, pada hari akhirat nanti seperti anjing yang menggonggong”. Walau bagaimanapun terdapat hadis lain yang dikumpulkan oleh Imam al-Suyuti dalam karyanya Lubab al-Hadis bahawa terdapat riwayat yang menyebut:

تَجِيْءُ النَّائِحَةُ يَوْمَ الْقِيَامةِ تَنْبَحُ كَنَبْحِ الْكَلْبِ

Maksudnya: Perempuan yang meratapi jenazah akan datang di hari kiamat menggonggong seperti gonggongan anjing.

Namun, Imam al-Suyuti tidak mendatangkan sanad bagi hadis ini. Beliau hanya menyebutkan “قال صلى الله عليه وسلم” lalu menyebutkan matan bagi hadis tersebut.

Huraian Jawapan

Riwayat yang tersebar yang menyebutkan bahawa “perempuan yang suka membebel dan suka menjerit di hadapan, pada hari akhirat nanti seperti anjing yang menggonggong” tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar.

Namun, terdapat suatu hadis yang menyebutkan berkenaan perempuan yang meratapi jenazah akan datang di hari kiamat dalam keadaan seperti anjing yang sedang menggonggong. Hadis tersebut ialah seperti berikut:

Nabi SAW bersabda:

تَجِيْءُ النَّائِحَةُ يَوْمَ الْقِيَامةِ تَنْبَحُ كَنَبْحِ الْكَلْبِ

Maksudnya: Perempuan yang meratapi jenazah akan datang di hari kiamat menggonggong seperti gonggongan anjing.[1]

Hadis ini dijumpai dalam karya Lubab al-Hadis yang ditulis oleh Imam al-Suyuti. Imam al-Suyuti meletakkan hadis ini dibawah bab larangan meratapi ke atas mayat. Walaupun begitu, Imam al-Suyuti tidak mendatangkan sanad bagi hadis ini. Beliau hanya menyebutkan “قال صلى الله عليه وسلم” lalu menyebutkan matan bagi hadis tersebut.

Dalam mukadimah kitab tersebut Imam al-Suyuti walau bagaimanapun mengatakan bahawa hadis-hadis yang beliau muatkan di dalam Lubab al-Hadis merupakan hadis-hadis yang mempunyai sanad yang sahih dan diyakini. Bahkan, beliau juga menyebutkan bahawa beliau tidak memasukkan sanad setiap hadis, kata beliau:

فإني أردت أن أجمع كتابا للأخبار النبوية، والآثار المروية، بإسناد صحيح وثيق، فحذفت الأسانيد، وجعلته أربعين بابا، في كل باب عشرة أحاديث، وسميته لباب الحديث

Maksudnya: Sesungguhnya aku ingin menghimpunkan satu kitab hadis dengan sanad yang sahih lagi diyakini. Kemudian aku membuang sanad-sanad dan menjadikannya 40 bab di mana setiap bab mengandungi 10 hadis. Aku namakannya sebagai Lubab al-Hadis.[2]

Karya Imam al-Suyuti ini mempunyai syarah yang bertajuk Tanqih al-Qawl al-Hasis bi Syarh Lubab al-Hadis ia ditulis oleh Syeikh Nawawi al-Bantani.[3]

Terdapat hadis lain yang mempunyai maksud yang sama dengan hadis di atas yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam karyanya al-Muʻjam al-Awsat dengan sanad yang lengkap. Imam al-Tabarani menyebutkan bahawa hadis hanya diriwayatkan melalui jalur Sulaiman bin Daud al-Yamami daripada Yahya bin Abi Kathir.[4] Dalam hal ini, Imam al-Zahabi mendaifkan riwayat Sulaiman bin Daud al-Yamami daripada Yahya bin Abi Kathir.[5] Ibn Abi Hatim menyebutkan bahawa ayahnya Abu Hatim al-Razi berkata:

هو ضعيف الحديث، منكر الحديث، ما أعلم له حديثا صحيحا

Maksudnya: Dia (Sulaiman bin Daud al-Yamami) daʻif al-hadith (riwayatnya lemah), munkar al-hadith (riwwayatnya bermasalah), tidak aku ketahui daripadanya hadis yang sahih.[6]

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa Imam Ibn Hibban turut mengkritik Sulaiman bin Daud al-Yamami sebagai perawi yang daif.[7] Oleh itu, hadis yang menyebutkan berkenaan perempuan yang meratapi jenazah akan datang di hari kiamat menggonggong seperti gonggongan anjing merupakan hadis daif.

Kesimpulannya, meskipun tidak dijumpai mana-mana hadis berkenaan perempuan yang suka membebel dan suka menjerit di hadapan suami dikatakan pada hari akhirat keadaannya seperti anjing yang menggonggong, namun terdapat pengajaran yang boleh diambil iaitu perlu adanya sikap saling memahami serta menghormati antara suami dan isteri agar suasana rumah tangga yang terbina menjadi ceria dan harmoni. Nabi SAW pernah bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah orang yang baik dengan keluarganya dan aku adalah orang yang baik dengan keluargaku.[8]

Riwayat al-Tarmizi

Selain itu, elakkan daripada sentiasa mencari kesalahan yang dilakukan oleh pasangan masing-masing. Hal ini kerana situasi sedemikian akan mengundangan pergaduhan dan pertengkaran antara satu sama lain. Sebaliknya, sentiasa fokuskan kepada kedamaian dalam berumah tangga kerana ia sesuatu yang dituntut dalam agama.

Syeikh Abu Bakr Usman bin Syata al-Dimyati menyebutkan dalam karyanya Iʻanah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Muʻin, kata beliau:

ويجب ‌على ‌الزوجين أن يتعاشرا بالمعروف، بأن يمتنع كل عما يكره صاحبه ويؤدي إليه حقه مع الرضا وطلاقة الوجه من غير أن يحوجه إلى مؤنة وكلفة في ذلك

Maksudnya: Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik. Setiap pasangan perlu mengelakkan daripada perkara yang tidak disukai oleh pasangannya, menyempurnakan hak, saling meredai antara satu sama yang lain, saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan melainkan perkara-perkara asas, pembiayaan nafkah  dan seumpamanya.[9]

Wallahuaʻlam.

[1] Jalal al-Din al-Suyuti. (t.t.). Lubab al-Hadis. (tanpa cetakan). 55.

[2] Ibid., 1.

[3] Rujuk Muhammad Nawawi al-Bantani. (1353). Tanqih al-Qawl al-Hasis bi Syarh. Mesir: Matbaʻah Mustafa Muhammad.

[4] Sulaiman bin Ahmad al-Tabarani. (t.t.). al-Muʻjam al-Awsat. ed. Tariq ‘Iwadullah. Kaherah: Dar al-Haramain. 5: 251.

نَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْيَمَامِيُّ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ هَؤُلَاءِ النَّوَائِحِ يُجْعَلْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَفَّيْنِ فِي جَهَنَّمَ، صَفٌّ عَنْ يَمِينِهِمْ، وَصَفٌّ عَنْ يَسَارِهِمْ، فَيَنْبَحْنَ عَلَى أَهْلِ النَّارِ كَمَا يَنْبَحُ الْكِلَابُ»

لَمْ يَرْوِ هَذَيْنِ الْحَدِيثَيْنِ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ إِلَّا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ الْيَمَامِيُّ "

[5] Syams al-Din Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Zahabi. (1967). Diwan al-Duʻafa’ wa al-Matrukin. ed. Hammad bin Muhammad al-Ansari. Mekah: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah. 1: 171.

سليمان بن داود اليمامي: عن يحيى بن أبي كثير، ضعفوه.

[6] Ibn Abi Hatim al-Razi. (). Al-Jarh wa al-Taʻdil. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 4: 110.

[7] Ibn Hajar al-‘Asqalani. (2002). Lisan al-Mizan. ed. Abd al-Fattah Abu Ghuddah. t.tp. Dar al-Basya’ir. 4: 140.

وقال ابن حبان: ضعيف.

[8] Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tarmizi. (1975). Sunan al-Tarmizi. ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Awwad. Hadis no. 3895. 5: 709.

[9] Abu Bakr Usman bin Syata al-Dimyati. (1997). Iʻanah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Muʻin. Dar al-Fikr. 3: 421.