Soalan
Assalamualaikum wrt.wbt, baru-baru ini saya ada mendengar ceramah dimana penceramah tersebut membacakan Hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Pada hari kiamat kelak, arasy Allah dikelilingi kerusi-kerusi yang sangat mulia. Sahabat bertanya siapa yang akan dapat duduk di kerusi tersebut. Lalu jawab Nabi SAW, mereka adalah adik beradik yang saling sayang menyayangi antara mereka.” Boleh saya sahkan status hadis tersebut ?
Ringkasan Jawapan
Hadis yang menyebutkan tentang pada hari kiamat arasy Allah dikelilingi kerusi bagi adik beradik yang saling menyayangi tiada asalnya. Hal ini kerana tidak dijumpai teks atau matan hadis tersebut dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Meskipun begitu ia tidak menafikan bahawa Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa saling berkasih sayang antara satu sama lain kerana ia sifat mulia yang dikurniakan kelebihan yang banyak.
Huraian Jawapan
Setelah melakukan penelitian, tidak dijumpai matan hadis yang berbunyi seperti berikut:
“Pada hari kiamat kelak, arasy Allah dikelilingi kerusi-kerusi yang sangat mulia. Sahabat bertanya siapa yang akan dapat duduk di kerusi tersebut. Lalu jawab Nabi SAW, mereka adalah adik beradik yang saling sayang menyayangi antara mereka.”
Namun terdapat suatu riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dalam al-Muʻjam al-Kabir yang menceritakan berkenaan orang-orang yang saling berkasih sayang dan keadaan mereka di hari kiamat kelak. Habib bin Abi Thabit meriwayatkan bahawa Ibn ʻAbbas RA berkata:
إِنَّ لِلَّهِ جُلَسَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، عَنْ يَمِينِ الْعَرْشِ، وَكِلْتَا يَدَيِ اللهِ يَمِينٌ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ، وُجُوهُهُمْ مِنْ نُورٍ لَيْسُوا بِأَنْبِيَاءَ، وَلاَ شُهَدَاءَ، وَلاَ صِدِّيقِينَ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ , مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْمُتَحَابُّونَ بِجِلاَلِ اللهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sesungguhnya pada hari kiamat Allah memiliki orang yang duduk di sebelah kanan arasy dan tangan Allah berada di atas mimbar yang dicipta daripada cahaya, wajah mereka pun bercahaya dan mereka ini bukan para nabi, orang yang mati syahid(syuhada) dan bukan juga siddiqin. Seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah siapakah mereka? Rasulullah SAW bersabda: Mereka ialah orang yang berkasih sayang kerana keagungan Allah SWT.[1]
Riwayat al-Tabrani
Imam al-Haythami mengatakan bahawa perawi bagi hadis ini keseluruhannya dinilai thiqah. Kata beliau:
رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ، وَرِجَالُهُ وُثِّقُوا
Maksudnya: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabrani. Para perawinya dinilai thiqah.[2]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, hadis yang menyebutkan tentang pada hari kiamat arasy Allah dikelilingi kerusi bagi adik beradik yang saling menyayangi tiada asalnya. Hal ini kerana tidak dijumpai teks atau matan hadis tersebut dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Meskipun begitu, Islam mengajarkan kepada umatnya untuk sentiasa saling berkasih sayang antara satu sama lain kerana ia sifat mulia yang diberikan kelebihan yang banyak. .
Wallahuaʻlam
Rujukan:
[1] Abu al-Qasim al-Tabrani. (t.t.). al-Muʻjam al-Kabir. ed. Hamdi ʻAbd al-Majid al-Salafi. Kaherah: Maktabah Ibn Taymiyyah. no. hadis 12686. 12: 134.
[2] Abu al-Hasan al-Haythami. (1994). Majmaʻ al-Zawa’id wa Manbaʻ al-Fawa’id. Kaherah: Maktabah al-Qudsi. 10: 277.