اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 581: PENJELASAN BERKENAAN HADIS LARANGAN MENYIKAT RAMBUT

PENJELASAN BERKENAAN HADIS LARANGAN MENYIKAT RAMBUT 2

 

Soalan

Assalamualaikum wrth, apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW melarang untuk sikat rambut?

Ringkasan Jawapan

Larangan menyikat rambut dalam hadis “Rasulullah SAW melarang daripada menyikat rambut melainkan sekali sekala” ini bukanlah larangan yang bersifat mutlak. Tetapi yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah jangan terlalu sibuk menghias rambut mahupun diri sehingga mengabaikan perkara-perkara lain yang lebih utama. Sedangkan, pada zaman tersebut perbuatan menyibukkan diri dengan menyikat rambut ini adalah salah satu daripada lambang kemewahan serta mereka yang terlalu cintakan dunia. Selain itu, ulama syafi’iyyah seperti Imam Syihab al-Din al-Ramli menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukannya kerap. Oleh itu dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah menyuruh sahabatnya Abu Qatadah RA menyikat dan merapikan rambutnya yang panjang.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Akhirat.

Hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hasan al-Basri daripada ‘Abdullah bin Mughaffal yang menyebutkan bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّرَجُّلِ إِلَّا غِبًّا

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada menyikat rambut melainkan sekali sekala.[1]

Riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi

Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan sahih.[2] Dalam mentafsirkan perkataan “غِبًّا” ini para ulama berbeza pandangan, antaranya Imam al-Hasan al-Basri menyebutkan bahawa memadai sikat rambut hanya seminggu sekali.[3] Manakala Imam Ahmad bin Hanbal menyebutkan bahawa sikat rambut dengan kadar selang sehari.[4] Ulama mazhab al-Syafiʻi seperti Imam al-Baijuri menyebutkan bahawa perkataan “غِبًّا” dalam hadis tersebut membawa maksud larangan untuk sentiasa menyikat dan mendandan rambut kerana sikap terlampau berlebihan mengurus rambut termasuk dalam perkara-perkara berhias dan bermewah-mewah sedangkan perbuatan tersebut merupakan perbuatan kaum wanita.[5]

Selain itu, ulama syafi’iyyah menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukan dengan maksud kerap. Hal ini didasarkan kepada pandangan yang dikemukakan oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli dalam Syarh Matn al-Zubad:

يسن أن يدهن غِبّاً أي وقتاً بعد وقت بحسب الحاجة

Maksudnya: Disunatkan untuk mendandan rambut secara sekali sekala iaitu mengikut kepada keperluan.[6]

Sebenarnya, larangan ini bukanlah bersifat mutlak kerana Imam al-Syaukani menyebutkan bahawa:

وَالْحَدِيثُ يَدُلُّ عَلَى كَرَاهَةِ الِاشْتِغَالِ بِالتَّرْجِيلِ فِي كُلِّ يَوْمٍ لِأَنَّهُ نَوْعٌ مِنَ التَّرَفُّهِ

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan larangan terlalu sibuk menyikat rambut pada setiap hari kerana ia merupakan salah satu lambang kemewahan.[7]

Selain itu, dinukilkan bahawa Imam al-Munawi menyebut Nabi SAW melarang daripada menyikat rambut tersebut adalah kerana perbuatan itu merupakan amalan selain masyarakat Arab bahkan amalan mereka yang cintakan dunia.[8]

Kemudian, terdapat riwayat yang lain Nabi SAW meminta Abu Qatadah RA untuk menyikat rambutnya pada setiap hari kerana beliau mempunyai rambut yang panjang. Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa:

كَانَتْ لَهُ جُمَّةٌ ضَخْمَةٌ، فَسَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «فَأَمَرَهُ أَنْ يُحْسِنَ إِلَيْهَا، وَأَنْ يَتَرَجَّلَ كُلَّ يَوْمٍ»

Maksudnya: Dia mempunyai rambut yang tebal dan panjang, lalu dia bertanya kepada Nabi SAW. Maka Nabi SAW menyuruhnya untuk memperelokkan rambutnya dengan menyikatnya pada setiap hari.[9]

Riwayat al-Nasa’i

Selain itu, dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah juga mempunyai bab khusus berkenaan menyikat rambut.[10] Dalam bab tersebut Imam al-Tarmizi menghimpunkan hadis-hadis berkenaan Nabi SAW menyikat dan merapikan rambut Baginda SAW.

Kesimpulan

Larangan menyikat rambut dalam hadis tersebut bukanlah larangan yang bersifat mutlak. Tetapi yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah jangan terlalu sibuk menghias rambut mahupun diri sehingga mengabaikan perkara-perkara lain yang lebih utama. Sedangkan, pada zaman tersebut perbuatan menyibukkan diri dengan menyikat rambut ini adalah salah satu daripada lambang kemewahan serta mereka yang terlalu cintakan dunia. Selain itu, ulama syafi’iyyah seperti Imam Syihab al-Din al-Ramli menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukannya kerap. Oleh itu dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah menyuruh sahabatnya Abu Qatadah RA menyikat dan merapikan rambutnya yang panjang.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), no. hadis 4159, jld. 4: hlm. 75. Rujuk juga Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, Sunan al-Tarmizi, ed. Ibrahim Atauwah ‘Awad (Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), no. hadis 1756, jld. 4: hlm. 234.

[2] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, Sunan al-Tarmizi, ed. Ibrahim Atauwah ‘Awad, jld. 4: hlm. 234.

[3] Muhammad Asyraf al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Daud (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415), jld. 11: hlm. 144.

وَقَالَ الْحَسَنُ أَيْ فِي كُلِّ أُسْبُوعٍ مَرَّةً انْتَهَى

[4] Ibid.

وَفَسَّرَهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ بِأَنْ يُسَرِّحَهُ يَوْمًا وَيَدَعَهُ يَوْمًا وَتَبِعَهُ غَيْرُهُ

[5] Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri, al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala al-Syama’il al-Muhammadiyyah, ed. ‘Imad Zaki al-Barudi (Kaherah: Dar al-Mustafa li al-Tibaʻah, 2015), hlm. 107.

فالمراد: أنه صلى الله عليه وسلم نهى عن دوام تسريح الشعر وتدهينه، لأن مواظبته تشعر بشدة الإمعان في الزينة والترفه، ذلك شأن النساء.

[6] Syihab al-Din al-Ramli, Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan, ed. Sayyid bin Syaltut (Beirut: Dar al-Minhaj, 2009), hlm. 154.

[7] Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani, Nail al-Autar, ed. ‘Isam al-Din al-Sababiti (Mesir: Dar al-Hadith, 1993), jld. 1: hlm. 158. Rujuk juga ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jamiʻ al-Tarmizi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), jld. 5: hlm. 364.

[8] Al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah, 1356), jld. 6: hlm. 311. Rujuk juga Muhammad Asyraf al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Daud, jld. 11: hlm. 144.

نَهَى عَنِ التَّرَجُّلِ أَيِ التَّمَشُّطِ أَيْ تَسْرِيحِ الشَّعْرِ فَيُكْرَهُ لِأَنَّهُ مِنْ زِيِّ الْعَجَمِ وَأَهْلِ الدُّنْيَا

[9] Ahmad Syuʻaib al-Arna’ut, Sunan al-Nasa’i, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Halab: Maktab al-Matbuʻat al-Islamiyyah, 1986), no. hadis 5237, jld. 8: hlm. 184.

[10] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, al-Syama’il al-Muhammadiyyah, ed. ‘Imad Zaki al-Barudi (Kaherah: Dar al-Mustafa li al-Tibaʻah, 2015), hlm. 102-108.