اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 589: ALLAH SWT AKAN MENGHALAKAN API NERAKA KE ARAH MUKA IBU BAPA MEREKA YANG MENINGGALKAN SOLAT?

ALLAH_SWT_AKAN_MENGHALAKAN_API_NERAKA_KE_ARAH_MUKA_IBU_BAPA_MEREKA_YANG_MENINGGALKAN_SOLAT.jpg

 

Soalan
Assalamualaikum S.S Datuk, mohon pencerahan/dalil/hadis berkenaan isu berikut:- Setiap kali kita tinggal solat walaupun cuma satu waktu, setiap kali tu jugalah Allah halakan api/batu api dari neraka sekilas kat depan muka mak ayah kita sebagai tanda peringatan

Ringkasan Jawapan

Perkataan yang menyebutkan “Setiap kali kita tinggal solat walaupun cuma satu waktu, setiap kali itu juga Allah SWT halakan api/batu api neraka sekilas ke hadapan muka mak ayah kita sebagai tanda peringatan” tidak mempunyai sandarannya daripada mana-mana dalil syarak. Perkataan tersebut hanya tersebar di media sosial seperti Facebook, Blog dan lain-lain.

Berpandukan kepada syarahan ulama tafsir terhadap ayat 164 surah al-Anʻam menjelaskan bahawa seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain, dia hanya akan mendapat dosa atas perbuatan dosa yang dilakukan dirinya (perbuatannya sendiri) sendiri tanpa melibatkan orang lain. Maka dia akan mendapat hukuman daripada Allah SWT hanya kerana dosa yang dia sendiri lakukan.

Huraian Jawapan

Setelah melakukan penelitian, perkataan yang menyebutkan “setiap kali kita tinggal solat walaupun Cuma satu waktu, setiap kali itu juga Allah SWT halakan api/batu api neraka sekilas ke hadapan muka mak ayah kita sebagai tanda peringatan” tidak mempunyai sandarannya daripada dalil-dalil syarak. Perkataan tersebut hanya tersebar di media sosial seperti Facebook, Blog dan lain-lain.

Dalam Islam, seseorang tidak menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain hatta dosa anak sendiri. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).

Surah al-Anʻam (164)

Ulama tafsir seperti Imam al-Tabari mentafsirkan ayat ini dengan berkata:

(ولا تزر وازرة وزر أخرى) ، يقول: ولا تأثم نفس آثمة بإثم نفس أخرى غيرها، ولكنها تأثم بإثمها، وعليه تعاقب، دون إثم أخرى غيرها.

Maksudnya: (dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)). Dia berkata: Seseorang tidak akan mendapat dosa disebabkan dosa orang lain, dia hanya mendapat dosa disebabkan dirinya (perbuatannya sendiri) sendiri tanpa melibatkan orang lain. Lalu disebabkan dosa itu dia akan diberikan hukuman.[1]

Imam al-Wahidi juga menukilkan tafsiran yang sama terhadap ayat 164 surah al-Anʻam.[2] Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam al-Baghawi dalam tafsirnya, beliau berkata:

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى، أَيْ لَا تَحْمِلُ [نَفْسٌ حَامِلَةٌ] حِمْلَ أُخْرَى، أَيْ: لَا يُؤَاخَذُ أَحَدٌ بِذَنْبِ غَيْرِهِ

Maksudnya: (dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)) ialah seseorang tidak akan menanggung tanggungan orang lain. Bermaksud seseorang tidak menanggung dosa orang lain.[3]

Berdasarkan tafsiran di atas, dapat difahami bahawa jika seseorang meninggalkan solat maka yang menanggung dosa dan juga seksa meninggalkan solat itu hanya dirinya sahaja. Walaupun begitu, jika mana-mana ibu bapa mengetahui bahawa anak mereka mengabaikan tuntutan syarak seperti solat maka hendaklah kedua ibu bapa tersebut menegur dan menasihati anak mereka supaya bertaubat.

Apabila ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka, kemudian anak-anak tersebut meninggalkan solat maka ketika itu ibu bapa tersebut berdosa kerana tidak memberikan didikan agama dengan betul kepada anak-anak. Sebagai ibu bapa memberikan didikan agama kepada anak-anak adalah amat penting dan dituntut. Ini kerana ibu bapa berperanan dalam mencorakkan anak-anak mereka sama ada hendak menjadi seorang anak yang baik mahupun sebaliknya.[4]

Kesimpulan

  1. Perkataan yang menyebutkan bahawa seseorang yang meninggalkan solat akan menyebabkan ibu bapanya dihalakan api neraka ke muka mereka tidak mempunyai sandaran daripada mana-mana dalil syarak.
  2. Seseorang itu hanya menanggung dosanya sendiri di atas maksiat yang dia lakukan. Dia juga akan mendapat hukuman oleh Allah SWT atas perbuatan maksiat yang telah dia lakukan.

Wallahua’lam.

 

Rujukan:

[1]     Abu Jaʻfar al-Tabari, Jamiʻ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Mua’assasah al-RIsalah, 2000), 12: 286.

[2]     ʻAli bin Ahmad al-Wahidi, al-Wasit fi Tafsir al-Quran al-Majid, ed. ʻAdil Ahmad ʻAbd al-Maujud et. Al (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1994), 2: 346.

ولا تؤخذ نفس آثمة بإثم أخرى، أي: لا يؤخذ أحد بذنب غيره،

[3]     Al-Husain bin Masʻud al-Baghawi, Maʻalim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, ed. ‘Abd al-Razzaq al-Mahdi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-ʻArabi, 1420), 2: 179.

[4]     Khairani Kaharuddin & Mohd Dahlan A. Malek, “Perkaitan Keibubapaan dan Keagamaan Dengan Kesedaran Untuk Berubah di Kalangan Remaja Pelajar Politeknik Kuching Sarawak” (makalah, Seminar Kebangsaan Integriti Keluarga 2014, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, 11 Disember 2014), 2.