اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 591: BENARKAH NABI MELARANG MELAWAT KE TEMPAT YANG DILAKNAT SEPERTI DI MADAIN SALEH

BENARKAH_NABI_MELARANG_MELAWAT_KE_TEMPAT_YANG_DILAKNAT_SEPERTI_DI_MADAIN_SALEH.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, mohon pencerahan pihak pejabat mufti berkenaan isu ziarah tempat tinggal kaum Nabi Saleh iaitu Madain Saleh yang terletak di Arab Saudi. Ada yang menyatakan bahawa Nabi SAW melarang pergi melawat ke Madain Saleh. Benarkah? Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan

Larangan Nabi SAW melawat Madain Saleh adalah larangan dalam bentuk makruh di sisi para ulama kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang dilaknat dan diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dalam keadaan penuh dengan keinsafan, takut dengan azab Allah SWT dan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa umat terdahulu.

Huraian Jawapan

Al-Hijr atau dikenali sebagai Madain Saleh merupakan perkampungan kaum Nabi Saleh yang terletak berhampiran dengan al-‘Ula. Penduduk kaum Nabi Saleh dianugerahkan umur yang panjang[1], dan mereka tinggal di kawasan bukit-bukit batu dengan menebuk dan membina rumah di dalamnya.[2]

Menurut Imam Ibn Kathir, kaum Nabi Saleh digelar sebagai kaum Thamud yang diambil dari nama nenek moyang mereka iaitu Thamud saudara kepada Jadis. Mereka berdua merupakan anak kepada ‘Abir bin Iram bin Sam bin Nuh berbangsa arab asli dan menetap di al-Hijr yang terletak di antara Hijaz dan Tabuk[3], juga dikatakan terletak di antara kota Madinah dan Tabuk[4].

Kaum Thamud merupakan kaum yang dimurka dan diazab oleh Allah SWT atas pendustaan mereka terhadap rasul yang diutuskan. Kisah mereka meminta bukti tentang kebenaran agama yang disampaikan oleh Nabi Saleh AS. Lalu Allah SWT memperkenankan doa Baginda AS dan permintaan kaumnya dengan mengeluarkan seekor unta betina daripada batu besar sebagai bukti kepada mereka. Setelah kejadian itu, Nabi Saleh AS memerintahkan kaumnya supaya memelihara dan menjaga unta tersebut serta anaknya dengan baik. Namun atas sikap kufur dan ingkar, unta tersebut dan anaknya dibunuh lantas Allah SWT menurunkan azab ke atas mereka kerana pendustaan dan pelanggaran yang mereka lakukan[5]. Hal ini seperti mana yang dirakamkan dalam al-Quran, firman Allah SWT:

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً ۖ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ ۖ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-A’raf, 73)

Ketika Nabi SAW bersama rombongan melalui bumi al-Hijr iaitu penempatan kaum Thamud dalam perjalanan pulang dari Tabuk, tiba di satu kawasan telaga lalu Baginda SAW melarang untuk meminum air dari telaga tersebut kerana pernah diminum oleh kaum Thamud yang dilaknat oleh Allah SWT. Hal ini kerana dibimbangi akan terkesan dengan azab dan siksa yang menimpa mereka.[6] Di samping itu, Nabi SAW berpesan supaya tidak masuk ke kawasan yang pernah diturunkan azab oleh Allah SWT, malahan apabila Baginda SAW melalui kawasan tersebut, Baginda SAW berjalan laju serta menutupi kepala dan bersegera meninggalkan kawasan tersebut. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma katanya:

لَمَّا مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِالْحِجْرِ قَالَ ‏ "‏ لاَ تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ، أَنْ يُصِيبَكُمْ مَا أَصَابَهُمْ إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ ‏"‏‏.‏ ثُمَّ قَنَّعَ رَأْسَهُ وَأَسْرَعَ السَّيْرَ حَتَّى أَجَازَ الْوَادِيَ‏

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW lalu di kawasan al-Hijr, Baginda bersabda: “Janganlah kamu masuk ke kawasan orang-orang yang mezalimi dirinya sendiri, kerana sesungguhnya dibimbangi kalian akan ditimpa musibah seperti mana musibah yang menimpa mereka, melainkan kalian masuk dalam keadaan bersedih”. Lalu Baginda menutup kepalanya dan cepat berlalu pergi sehingga menyeberangi wadi tersebut.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Kebanyakan ulama dalam kalangan mazhab al-Syafi’i[7], Maliki[8] dan Hanbali[9] menyatakan bahawa makruh memasuki kawasan yang diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dengan perasaan takut ke atas azab Allah SWT di samping mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku serta tidak berlama-lama berada di tempat tersebut[10]. Menurut Ibn Battal sekiranya berkunjung ke tempat yang diazab oleh Allah SWT dalam keadaan gembira dan seumpamanya, maka dikhuatiri akan ditimpa azab sebagaimana mereka sebelum ini.[11] Sehubungan dengan itu, Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya memerhati dan mengambil iktibar terhadap umat-umat terdahulu sebagai pedoman dan panduan dalam hidup. Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ كَانُوا مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوا هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ اللَّهِ مِن وَاقٍ

Maksudnya: “Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.

(Surah al-Ghafir, 21)

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa larangan Nabi SAW melawat Madain Saleh adalah larangan berbentuk makruh kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang dilaknat dan diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dalam keadaan penuh dengan keinsafan, takut dengan azab Allah SWT dan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa umat terdahulu.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Abu Fida’ Islamil bin Umar bin Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah. (Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, 1408H) Jld. 1 Hlm. 159

وَقَدْ ذُكِرَ أَنَّ قَوْمَ صَالِحٍ كَانَتْ أَعْمَارُهُمْ طَوِيلَةً فَكَانُوا يَبْنُونَ الْبُيُوتَ مِنَ الْمَدَرِ فَتَخْرَبُ قَبْلَ مَوْتِ الْوَاحِدِ مِنْهُمْ فَنَحَتُوا لَهُمْ بُيُوتًا فِي الْجِبَالِ

[2] Abhas Haiah Kibar al-‘Ulama, Haiah Kibar al-Ulama bi al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Saudiyyah. Jld.3 Hlm. 90

وذكر الأستاذ صلاح البكري: في مقال نشر في مجلة (قافلة الزيت) تحت عنوان (الآثار في الشمال الغربي من المملكة العربية السعودية) عن حاجي خليفة من كتابه [جهان نما]- أنه على مسيرة نصف يوم تقريبا من العلا يوجد مسجد النبي صالح، وهو منقور في الصخر، وعن محمد أديب في كتابه [المنازل]- أن الحجر تعرف بـ: (مدائن صالح) أو (قرى صالح) أو (عدال) ، والمساكن في مدائن صالح منحوتة في الصخر: ولا يسكنها أحد، ويقول: إن هناك جبلا يعرف باسم (أنان) في مرتفع منه يوجد مسجد صالح عليه الصلاة والسلام، وهو منقور في الصخر.

[3] Abu Fida’ Islamil bin Umar bin Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah. (Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, 1408H) Jld. 1 Hlm. 150

وَهُمْ قَبِيلَةٌ مَشْهُورَةٌ يُقَالُ ثَمُودُ بِاسْمِ جَدِّهِمْ ثَمُودَ أَخِي جَدِيسٍ وَهُمَا ابْنَا عَابَرَ بْنِ إِرَمَ بْنِ سَامِ بْنِ نُوحٍ وَكَانُوا عَرَبًا مِنَ الْعَارِبَةِ يَسْكُنُونَ الْحِجْرَ الَّذِي بَيْنَ الْحِجَازِ وَتَبُوكَ.

[4] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir. (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu’asir, 1418) Jld. 14 Hlm. 63

وكذلك كذّب أصحاب الحجر (ديار ثمود بين المدينة وتبوك) نبيهم صالحا

[5] Abu Fida’ Islamil bin Umar bin Kathir, Qasas al-Anbi’a. (Kaherah: Matba’ah Dar al-Ta’lif, 1388) Jld. 1 Hlm. 168

وَذَكَرُوا أَنَّ صَالِحًا عَلَيْهِ السَّلَامُ لَمَّا سَأَلُوهُ آيَةً، فَأَخْرَجَ اللَّهُ لَهُمُ النَّاقَةَ مِنَ الصَّخْرَةِ، أَمَرَهُمْ بِهَا وَبِالْوَلَدِ الَّذِي كَانَ فِي جَوْفِهَا، وَحَذَّرَهُمْ بَأْسَ اللَّهِ إِنْ هُمْ نَالُوهَا بِسُوءٍ، وَأَخْبَرَهُمْ أَنَّهُمْ سَيَعْقِرُونَهَا وَيَكُونُ سَبَبُ هَلَاكِهِمْ ذَلِكَ

[6] Ibid. Jld. 1 Hlm. 163

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: لَمَّا نَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ عَلَى تَبُوكَ، نَزَلَ بِهِمُ الْحِجْرَ عِنْدَ بُيُوتِ ثَمُودَ، فَاسْتَقَى النَّاسُ مِنَ الْآبَارِ الَّتِي كَانَتْ تَشْرَبُ مِنْهَا ثَمُودُ، فَعَجَنُوا مِنْهَا وَنَصَبُوا الْقُدُورَ، فَأَمَرَهُمْ رَسُول الله فأهراقوا الْقُدُور، وعفلوا الْعَجِينَ الْإِبِلَ، ثُمَّ ارْتَحَلَ بِهِمْ حَتَّى نَزَلَ بِهِمْ عَلَى الْبِئْرِ الَّتِي كَانَتْ تَشْرَبُ مِنْهَا النَّاقَةُ، وَنَهَاهُمْ أَنْ يَدْخُلُوا عَلَى الْقَوْمِ الَّذِينَ عُذِّبُوا: " إِنِّي أَخْشَى أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ

[7] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 3 Hlm. 159

اختلف العلماء في ذلك فكرهه مالك وأجازه أصحابه قال واختلف في علة كراهته فقيل مخافة نزول عذاب عليهم وسخط لأنها مواضع العذاب والسخط وقد ثبت في الصحيح أن النبي صلى الله عليه وسلم " نهى عن دخول ديار المعذبين وهم ثمود أصحاب الحجر " خشية أن يصيب الداخل ما أصابهم قال إلا أن تكونوا باكين فمن دخلها لطلب الدنيا فهو ضد ذلك وقيل مخافة أن يصادف قبر نبي أو صالح بينهم

[8] Abu al-‘Abbas al-Qurafi al-Maliki, al-Zakhirah. (Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiy, 1994) Jld.13 Hlm.352

قَالَ لَا تَدْخُلْ دِيَارَ ثَمُودَ وَعَادٍ وَغَيْرِهِمْ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ وَلَا تَشْرَبْ من مَائِهِمْ وتجنب آثَارهم لقَوْله - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ - لَا تَدْخُلُوهَا إِلَّا بَاكِينَ أَوْ مُتَبَاكِينَ وَعَجَنَ بَعْضُ الصَّحَابَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ بِمَائِهِمْ فَأَمَرَ الله فَأُطْعِمَ الْإِبِلَ

[9] Mansur bin Yunus al-Buhuti al-Hanbali, Kasyaf al-Qina’ ‘an Matn Iqna’ (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t) Jld. 4 Hlm. 186

(وَيُكْرَهُ دُخُولُ دِيَارِهِمْ) أَيْ ثَمُودَ (إلَّا لِبَاكٍ مُعْتَبِرٍ، لَا يُصِيبُهُ مَا أَصَابَهُمْ) مِنْ الْعَذَابِ لِلْخَبَرِ.

[10] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran. (Kaherah: dar al-Kutub al-Misriyyah, 1384) Jld. 10 Hlm. 46

كَرَاهَةُ دُخُولِ تِلْكَ الْمَوَاضِعِ، وَعَلَيْهَا حَمَلَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ دُخُولَ مَقَابِرِ الْكُفَّارِ، فَإِنْ دَخَلَ الْإِنْسَانُ شَيْئًا مِنْ تِلْكَ الْمَوَاضِعِ وَالْمَقَابِرِ فَعَلَى الصِّفَةِ الَّتِي أَرْشَدَ إِلَيْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الِاعْتِبَارِ وَالْخَوْفِ وَالْإِسْرَاعِ

[11] Zaiuddin Abdul al-Rahman, Fath al-Bari li Ibn Batal. (Kaherah: Maktab Tahqiq Dar al-Haramain, 1417) Jld. 3 Hlm. 237

نص في المنع من الدخول على مواضع العذاب، إلا على أكمل حالات الخشوع والاعتبار، وهو البكاء من خشية الله وخوف عقابه الذي نزل بمن كان في تلك البقعة، وان الدخول على غير هذا الوجه يخشى منه إصابة العذاب الذي أصابهم