اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 593: KEBERKATAN ANAK SULUNG PEREMPUAN

KEBERKATAN_ANAK_SULUNG_PEREMPUAN.jpg

 

Soalan

Salam, S.S Datuk Mufti benarkah hadis yang menyebutkan bahawa sesiapa yang mendapat anak sulung perempuan mendapat keberkatan? Jadi kalau dapat anak lelaki sulung adakah tidak berkat?

Ringkasan Jawapan

Riwayat “Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan” adalah tidak sahih bahkan palsu menurut ulama hadis. Meskipun begitu, tetap tidak dinafikan bahawa kehadiran anak sama ada lelaki mahupun perempuan ke dalam sesebuah keluarga membawa ketenangan dan keberkatan. Oleh yang demikian, setiap pasangan yang berkahwin dianjurkan untuk berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Setiap pasangan yang berkahwin mesti mengharapkan cahaya mata yang akan menambah keceriaan dalam rumah tangga mereka. Anak merupakan anugerah dan rezeki daripada Allah SWT. Kelahiran anak juga membawa rezeki yang baik kepada ahli keluarganya. Namun, yang menjadi persoalannya ialah adakah benar jika anak sulung itu perempuan maka keluarga berkenaan beroleh keberkatan?

Setelah melakukan carian terhadap karya-karya hadis maka ditemui riwayat dengan lafaz seperti berikut:

مِنْ يُمْنِ الْمَرْأَةِ تَبْكِيرُهَا بِالْأُنْثَى

Maksudnya: Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan.[1]

Berkenaan status riwayat ini:

  1. Al-‘Ajluni menukilkan penilaian al-Suyuti terhadap riwayat ini yang menyebutkan bahawa riwayat keberkatan anak sulung perempuan adalah tidak sahih.[2]
  2. Ibn al-Jauzi pula menilai hadis ini sebagai palsu.[3]
  3. Al-Sakhawi al-Dailami turut meriwayatkannya melalui jalur daripada Wasilah bin al-Asqaʻ secara marfuʻ dengan lafaz sedikit berbeza, iaitu:

مِنْ بَرَكَةِ الْمَرْأَةِ تَبْكِيرُهَا بِالْأُنْثَى، أَمَا سَمِعْتَ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ} ، فَبَدَأَ بِالْإِنَاثِ قَبْلَ الذُّكُورِ

Maksudnya: Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan. Tidakkah kamu mendengar Firman Allah SWT: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”. Allah SWT memulakan dengan anak perempuan sebelum anak lelaki.”[4]

Begitu juga beliau riwayatkan dengan jalur Aisyah RA secara marfuʻ, lafaz seperti berikut:

من بركَة الْمَرْأَة على زَوجهَا تيسير مهرهَا وَأَن تبكر بالإناث

Maksudnya: Antara keberkatan wanita ke atas suaminya ialah memudahkan maharnya dan memulakan kelahirannya dengan anak perempuan.[5]

Al-Sakhawi menyebutkan bahawa kedua-dua riwayat tersebut adalah daʻif.[6] Hal ini kerana dalam jalur Wasilah bin al-Asqaʻ terdapat dua perawi bermasalah iaitu Hakim bin Hizam dan al-‘Ala’ bin Kathir al-Dimasyqi. Hakim bin Hizam dikritik oleh Abu Hatim al-Razi sebagai matruk al-hadith (hadisnya ditinggalkan).[7] Al-Saji juga mengkritik Hakim bin Hizam sebagai seorang yang sering meriwayatkan hadis-hadis palsu.[8] Kemudian, al-‘Ala’ bin Kathir al-Dimasyqi pula dikritik oleh Ibn Hibban sebagai sering meriwayatkan hadis-hadis palsu yang disandarkan kepada perawi yang thiqah.[9] Manakala jalur yang bersumberkan daripada Saidatina ‘Aisyah RA pula hanya melalui jalur ‘Ibad bin ‘Abd al-Samad seorang sahaja (tafarrud).[10] Oleh itu, riwayat sokongan berkaitan perkara ini juga tidak boleh menjadi penguat kepada riwayat asal kerana kelemahannya.

Meskipun begitu, tetap tidak dinafikan bahawa kehadiran anak sama ada lelaki mahupun perempuan ke dalam sesebuah keluarga membawa ketenangan dan keberkatan. Disebabkan itu pasangan yang berkahwin dianjurkan untuk berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah. Firman Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

(Al-Furqan :74)

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”

 

Kesimpulan

  1. Riwayat “Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan” adalah tidak sahih bahkan palsu menurut ulama hadis.
  2. Tidak dinafikan bahawa kehadiran anak sama ada lelaki mahupun perempuan ke dalam sesebuah keluarga membawa ketenangan dan keberkatan.
  3. Pasangan yang berkahwin dianjurkan untuk berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

Wallahuaʻlam.

[1] Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah, ed. Muhammad ‘Uthman al-Khit (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1985), hlm. 677.

[2] Abu al-Fida’ al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa’ wa Mazil al-Ilbas, ed. Hindawi (t.tp.: al-Maktabah al-‘Asriyyah, 2000), jld. 2: hlm. 346.

[3] Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, ed. ‘Abd al-Rahman Muhammad ‘Uthman (Madinah: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1966), jld. 2: hlm. 276.

هَذَا حَدِيثٌ مَوْضُوعٌ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

[4] Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytahirah ‘ala al-Alsinah, hlm. 678.

[5] Ibid.

[6] Ibid.

وهما ضعيفان

[7] Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, jld. 2: hlm. 276.

وَأما حَكِيم فَقَالَ أَبُو حَاتِم الرَّازِيّ: مَتْرُوك الحَدِيث.

[8] Al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, ed. ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif & ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1399H), jld. 1: hlm. 55.

حَكِيم بن حزَام قَالَ السَّاجِي يحدث بِأَحَادِيث بَوَاطِيلُ

[9] Ibn al-Jauzi, al-Mauduʻat, jld. 2: hlm. 276.

قَالَ ابْنُ حِبَّانَ: يَرْوِي الْمَوْضُوعَاتِ عَن الاثبات

[10] Al-Kinani, Tanzih al-Syariʻah al-Marfuʻah ‘an al-Akhbar al-Syaniʻah al-Mauduʻah, jld. 2: hlm. 202.

قَالَ السُّيُوطِيّ وَجَاء من حَدِيث عَائِشَة من بركَة الْمَرْأَة على زَوجهَا تيسير مهرهَا وَأَن تبكر بالبنات أخرجه أَبُو الشَّيْخ إِلَّا أَنه من طَرِيق عباد بن عبد الصَّمد.