Soalan
Salam SS Datuk, saya ada terbaca satu posting yang mengatakan bahawa hadis melihat muka ayah kita dapat pahala itu adalah hadis daif, adakah hadis itu tidak boleh diamalkan?
Ringkasan Jawapan
Hadis “Merenung Wajah Ayah Mendapat Ganjaran Pahala” merupakan hadis yang daif. Meskipun begitu, beramal dengan hadis daif dalam perkara fada’il (kelebihan) adalah harus di sisi para ulama dengan syarat hadis tersebut bukan syadid al-daʻf (daif berat). Bahkan, seseorang akan mendapat pahala jika melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan perasaan kagum terhadap keagungan dan kekuasaan Allah SWT, apatah lagi sekiranya dia turut berdoa dan memuji ke hadrat Allah SWT.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hadis yang dimaksudkan oleh si penanya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami dalam karyanya al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab:
النّظر إِلَى الْكَعْبَة عبَادَة وَالنَّظَر إِلَى وَجه الْوَالِدين عبَادَة وَالنَّظَر فِي كتاب الله عز وَجل عبَادَة
Maksudnya: Melihat kepada Kaabah, wajah kedua ibu bapa dan al-Quran adalah ibadah.[1]
Riwayat al-Dailami
Berkenaan dengan status hadis ini telah pun dijawab dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri Ke-275: Hadis Melihat Al-Quran, Ibu Bapa dan Laut Adalah Ibadah. Hadis ini dihukumkan sebagai daif kerana di dalam sanad hadis tersebut terdapat perawi yang bernama Zafir bin Sulaiman al-Quhastani yang dikritik kredibilitinya.
Menurut Ibn ‘Adi, Zafir bin Sulaiman al-Quhastani adalah perawi yang daif, secara umumnya apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak memiliki sandaran dan jika hadis Zafir diriwayatkan maka ulama akan menyebutkan bersama kedaifannya.[2]
Oleh kerana persoalan yang diajukan adalah berkaitan pengamalan, perbincangan artikel ini akan memfokuskan kepada isu pengamalan dengan hadis daif yang melibatkan hadis “melihat wajah kedua ibu bapa adalah ibadah”.
Dalam berinteraksi dengan hadis daif ini, Imam al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badiʻ menukilkan bahawa Imam Ibn al-Salah yang mengharuskan periwayatan hadis daif dengan kebarangkalian terkandung kebenaran dalam maknanya. Sejurus selepas beliau menyebutkan tentang tidak boleh meriwayatkan hadis palsu melainkan dijelaskan bersama kepalsuannya, berbeza dengan hadis-hadis daif yang mempunyai kebarangkalian kebenarannya pada makna.[3]
Bahkan, Imam al-Nawawi menyatakan hadis daif boleh diamalkan jika memenuhi syarat-syarat berikut:[4]
- Hadis daif tersebut tidak palsu.[5]
- Tidak berkaitan hukum hakam.
- Boleh diamalkan dalam hal fada’il(kelebihan), targhib(galakan) dan tarhib(ancaman).
Oleh itu, maka dapat difahami bahawa walaupun hadis ini merupakan hadis yang daif tetapi ia boleh diamalkan dalam hal yang melibatkan kelebihan mendapatkan pahala. Hal ini kerana ia termasuk dalam kelebihan beramal, bahkan apabila seseorang melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan disulami perasaan kagum dengan keagungan dan kekuasaan Allah SWT, dengan izin Allah SWT dia akan beroleh pahala. Lebih-lebih lagi jika ia disusuli dengan doa dan pujian ke hadrat Allah SWT. Dalam satu hadis sahih daripada ‘Amir bin Rabiʻah RA, beliau meriwayatkan bahawa:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu yang menakjubkan pada diri saudaranya, maka dia hendaklah mendoakan keberkatan untuknya.”[6]
Riwayat Ibn Majah
Oleh itu, hadis melihat wajah ayah merupakan hadis yang daif tetapi jika perbuatan melihat tersebut disertakan dengan doa kepada Allah SWT maka ia adalah suatu perkara yang baik. Ia juga merupakan amalan para ulama terdahulu seperti Imam Malik, Wahb Ibn Munabbih dan lain-lain.[7]
Kesimpulan
- Hadis “Merenung Wajah Ayah Mendapat Ganjaran Pahala” merupakan hadis yang daif. Meskipun begitu, beramal dengan hadis daif dalam perkara fada’il(kelebihan) adalah dibolehkan oleh para ulama dengan syarat hadis tersebut bukan syadid al-daʻf(daif berat)
- Seseorang akan mendapat pahala jika melihat sesuatu ciptaan Allah SWT dengan perasaan kagum terhadap keagungan dan kekuasaan Allah SWT, apatah lagi sekiranya dia turut berdoa dan memuji ke hadrat Allah SWT.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Dailami, al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab, ed. Al-Saʻid Baisuni Zaghlul (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1986), hadis no. 6864, jld. 4: hlm. 293.
[2] Ibn ‘Adi al-Jurjani, al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Muʻawwad (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1997), jld. 4: hlm. 206.
قَالَ الشَّيْخُ: وَهَذَا يَرْوِيهِ زَافِرٌ وَلِزَافِرٍ غَيْرُ مَا ذَكَرْتُ وكان أحاديثه مقلوبة الإسناد مقلوبة المتن وعامة ما يرويه، لاَ يُتَابَعُ عَليه ويكتب حديثه مع ضعفه.
[3] Muhammad bin ʻAbd al-Rahman bin Muhammad al-Sakhawi, al-Qaul al-Badiʻ fi al-Ṣalah ʻala al-Ḥabib al-Syafiʻ (Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, t.t), 256.
جواز رواية الضعيف باحتمال صدقه في الباطن فإنه قال عقب قوله بعدم جواز رواية الموضوع إلا مقروناً بخلاف الأحاديث الضعيفة التي تحتمل صدقها في الباطن
[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Azkar (Beirut: Dar al-Fikr, 1994), 8.
[5] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Taqrib wa al-Taisir li Maʻrifah Sunan al-Basyir al-Nazir (Beirut: Dar al-Kitab al-ʻArabi, 1985), 48. Dalam al-Taqrib al-Nawawi menambahkan bahawa boleh beramal dengan hadis daif selagi mana tidak berkaitan dengan hal-hal akidah.
[6] Ibn Majah Muhammad bin Yazid al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (t.tp.: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, 1431), hadis no. 3509, jld. 2: hlm. 1160.
[7] Al-Qurtubi, al-Jamiʻ li Ahkam al-Qur’an, ed. Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfisy (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964), jld. 10: hlm. 406.
قَالَ مَالِكٌ: يَنْبَغِي لِكُلِّ مَنْ دَخَلَ مَنْزِلَهُ أَنْ يَقُولَ هذا. وقال ابن وهب وقال لِي حَفْصُ بْنُ مَيْسَرَةَ: رَأَيْتُ عَلَى بَابِ وَهْبِ بْنِ مُنَبِّهٍ مَكْتُوبًا" مَا شاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ".