Pendahuluan
Baru-baru ini tular suatu isu berkenaan cinta pertama Rasulullah SAW. Individu yang dikaitkan dengan cinta pertama ini ialah Ummu Hani’ binti Abu Talib. Dakwaan tersebut menyatakan bahawa Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ sebanyak tiga kali. Ia menjadi bualan hangat orang ramai ekoran ramai yang menyatakan bahawa status hadis yang digunakan bagi mensabitkan kisah ini adalah palsu. Sehubungan dengan itu, JMWP merasa terpanggil untuk memberikan pencerahan berkenaan status hadis tersebut sama ada benar ataupun palsu.
Siapakah Ummu Hani’
Beliau ialah Ummu Hani’ binti Abu Talib dan nama sebenarnya ialah Fakhitah binti Abu Talib. Beliau merupakan sepupu Baginda Nabi SAW dan puteri kepada Abu Talib yang merupakan bapa saudara Baginda serta kakak kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA. Suaminya ialah Hubairah bin ‘Amru bin A‘iz al-Makhzumi.[1]
Beliau memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah namun suaminya Hubairah tidak memeluk Islam pada peristiwa berkenaan. Selain itu, Rasulullah SAW pernah memasuki rumahnya serta menunaikan solat sunat dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan Makkah tersebut. Sayyidatina Ummu Hani’ turut meriwayatkan beberapa hadis daripada nabi SAW bahkan beberapa orang sahabat mengambil riwayat daripadanya seperti Ja‘dah, Ibn ‘Abbas, Abdul Rahman bin Abu Laila, Mujahid bin Jabr, ‘Ata’ bin Abu Rabah, ‘Urwah bin al-Zubair dan lain-lain. Turut direkodkan bahawa terdapat sekitar 46 riwayat hadis dan Nabi SAW yang sampai daripada beliau.[2]
Ummu Hani’ wafat pada tahun ke-50 Hijrah.
Status Hadis Berkenaan Lamaran Rasulullah SAW terhadap Ummu Hani’
Melalui kenyataan yang didakwa, tiga lamaran tersebut berlaku pada tiga latar masa dan keadaan yang berbeza. Dikatakan lamaran tersebut berlaku:
Pada kali pertama, sebelum kedatangan Islam, Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun beliau menolak lamaran tersebut kerana menganggap Baginda Nabi sebagai seorang abang lalu beliau berasa segan untuk menerima lamaran tersebut. Berkenaan penyataan dan dakwaan ini, tidak dapat diketahui sumber daripada mana ia disandarkan, sama ada daripada hadis nabawi mahupun kalam para ulama. Setakat pencarian kami, kami tidak menemui sebarang riwayat ataupun athar yang menyebut perkara sedemikian.
Seterusnya, pada kali kedua, iaitu sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. Riwayat ini ada direkodkan oleh Ibn Sa‘d dalam kitab al-Tabaqat, teks riwayatnya adalah seperti berikut[3]:
أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ السَّائِبِ الْكَلْبِيُّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَى أَبِي طَالِبٍ ابْنَتَهُ أُمَّ هَانِئٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ. وَخَطَبَهَا هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وهب بن عمرو بن عائذ بن عمران بن مخزوم. فتزوجها هبيرة فقال النبي - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: يا عم زوجت هبيرة وتركتني؟ فقال: يا ابن أَخِي إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ. ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الإِسْلامُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ: وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الإِسْلامِ؟ وَلَكِنِّي امرأة مصيبة وَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ. [فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْمَطَايَا نِسَاءُ قُرَيْشٍ. أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ].
Maksudnya: “Hisyam bin Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi mengkhabarkan daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas, beliau berkata: “Nabi SAW telah datang kepada Abu Talib untuk melamar anak perempuannya, Ummu Hani’ pada zaman Jahiliah (yakni sebelum Baginda menjadi Rasul). Dalam masa yang sama juga, Ummu Hani’ turut dilamar oleh Hubairah bin Abu Wahb bin ‘Amr bin ‘A’iz bin ‘Imran bin Makhzum. Namun Abu Talib mengahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah, lalu Nabi SAW bertanya: “Wahai pakcik, mengapa pakcik kahwinkan Ummu Hani dengan Hubairah dan menolak pinanganku?” Maka Abu Talib menjawab: “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami mempunyai hubungan kerabat hasil perkahwinan yang lalu dengan mereka, orang kaya dan mulia selayaknya bersama dengan orang ternama dan mulia juga.”
Jika dilihat pada hadis ini, ia sememangnya menceritakan bahawa Nabi SAW ada melamar Ummu Hani’ dan pinangan Baginda ditolak oleh Abu Talib berdasarkan sebab yang dinyatakan. Namun, hadis ini tidak boleh diterima atas sebab terdapat perawi yang bermasalah pada rantaian sanad hadis ini. Perawi yang dikatakan itu ialah Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi atau nama panggilannya Abu al-Nadhr. Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa hadis yang dibawa olehnya tidak boleh dijadikan hujah[4].
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Lisan al-Mizan menukilkan beberapa perbincangan oleh ulama berkenaan khususnya berkenaan dengan perihal perawi bagi hadis di atas. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Sesungguhnya beliau ialah pemilik hikayat dan perihal nasab. Menurutku tidak ada seorang pun yang mengambil hadis daripadanya. Menurut al-Daruqutni dan selainnya berpandangan hadis tersebut matruk (hadis yang ditinggalkan) manakala menurut Ibn ‘Asakir pula ia adalah seorang Syiah Rafidah serta tidak thiqah.[5] Kepalsuan sanad ini juga dibuktikan dengan penyataan al-Daruqutni berkenaan Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi ini yang secara jelas menyatakan dan mengakui kepalsuan riwayatnya daripada Abu Soleh[6]. Al-Kalbi berkata:
كلَّما حدثت عن أبي صالح فهو كذب
Maksudnya: “Semua yang aku riwayatkan daripada Abu Soleh adalah dusta belaka.”
Meskipun Muhammad bin al-Sa’id al-Kalbi mahir dalam bidang tafsir, namun dalam lapangan hadis, al-Kalbi termasuk dalam kalangan perawi yang terlalu lemah. Oleh yang demikian, jelas bagi kita bahawa hadis ini tidak boleh diterima malah tidak boleh dijadikan hujah. Sehubungan dengan itu, cerita berkenaan lamaran kedua ini adalah tertolak sama sekali.
Seterusnya, lamaran kali ketiga pula berlaku ketika mana Ummu Hani telah memeluk Islam yakni selepas peristiwa pembukaan kota Mekah. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA:
َ، خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ، بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الإبلِ ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ، وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW telah meminang Ummu Hani’ binti Abi Talib lalu Ummu Hani’ berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah tua dan mempunyai keluarga (anak-anak).” Jawab Nabi SAW: “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menunggang unta (wanita ‘Arab), paling sangat penyayang sanggup menjanda untuk anak yang masih kecil, paling sanggup memelihara anak suaminya.”
(Riwayat Muslim)
Hadis ini merupakan hadis sahih kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya. Sebagaimana maklum, ulama bersepakat menerima hadis-hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim seperti mana para cendekiawan menyatakan:
تلقته الأمة بالقبول
Maksudnya: “Kesemua umat Islam menerima pakai (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)”
Benarkah Ummu Hani’ ‘First Love’ Nabi SAW?
Kenyataan berkenaan Ummu Hani’ sebagai first love Nabi Muhammad SAW turut diragui dan mesti diambil perhatian agar kita tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda SAW. Oleh itu, ia mestilah didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan seseorang.
Meskipun begitu, sekadar carian kami, tidak dijumpai mana-mana ayat al-Quran, riwayat hadis ataupun athar para sahabat yang menyebut apatah lagi menceritakan berkenaan cinta pertama Nabi SAW ini. Berhati-hatilah dalam menyatakan sesuatu ke atas Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pendustaan di atas namaku bukanlah seperti pendustaan di atas nama orang lain, siapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berhati-hati Dalam Menyampaikan Sesuatu Perkara Berkaitan Nabi
Bagi menyampaikan sesuatu perkara kepada sekalian masyarakat, hendaklah dipastikan terlebih dahulu fakta yang ingin disampaikan itu berpunca daripada sumber yang betul dan diyakini benar. Hal ini supaya tidak berlaku kepincangan dalam kalangan masyarakat serta apa yang dipegang oleh masyarakat itu merupakan suatu perkara yang diyakini. Ingatlah bahawa perbuatan menyebarkan apa sahaja yang kita baca dan dengar tanpa memastikan kesahihannya boleh dikira sebagai seorang pendusta. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بالمَرْءِ كَذِبًا أنْ يُحَدِّثَ بكُلِّ ما سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dikira menipu apabila dia menyampaikan semua perkara yang dia dengari (tanpa tahu kesahihan berita tersebut).”
Riwayat Muslim (5)
Kesimpulan
Kisah berkenaan Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun ditolak adalah benar namun hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah, sewaktu beliau baru memeluk Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim. Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran. Seterusnya, menyatakan first love Nabi SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berkait dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hal yang demikian supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan Baginda SAW.
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah. (Beirut: Dar al-Kutub, Ed 1, 1415H) Jld 8 hlm 485.
أم هانئ بنت أبي طالب بن عبد المطلب بن هاشم الهاشمية، ابنة عم النبيّ صلى الله عليه وآله وسلم.
قيل: اسمها فاختة، وقيل اسمها فاطمة، وقيل هند، والأول أشهر.
وكانت زوج هبيرة بن عمرو بن عائذ بن عمر بن عمران بن مخزوم المخزوميّ
[2] Al-Zahabi, Syams al-Din Muhammad, Siyar A‘lam al-Nubala’. (Kaherah: Dar al-Hadith, 2006) Jld 3, hlm 535.
دَخَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَى مَنْزِلِهَا يَوْمَ الفَتْحِ فَصَلَّى عِنْدَهَا ثَمَانِ رَكَعَاتٍ ضُحَىً2.
رَوَتْ أَحَادِيْثَ.
حَدَّثَ عَنْهَا: حَفِيْدُهَا جَعْدَةُ وَمَوْلَاهَا أَبُو صَالِحٍ بَاذَامُ وَكُرَيْبٌ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بنُ أَبِي لَيْلَى وَمُجَاهِدُ بنُ جَبْرٍ وَعَطَاءُ بنُ أَبِي رَبَاحٍ وَعُرْوَةُ بنُ الزُّبَيْرِ وَآخَرُوْنَ
[3] Abu Abdullah Muhammad bin Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, Tahkik: Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1410H/1990M), 8/120.
[4] Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, Tahkik: Dr Abdullah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki, (T.tp: Markaz Hajr, cetakan pertama, 1432H/2011M), 12/597.
محمدُ بنُ السّائبِ الكَلبِىُّ لا يُحتَجُّ بهِ.
[5] Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad, Lisan al-Mizan. (Lubnan: Muassasah al-A’lami, Ed 2, 1971M) Jld 6, hlm 196.
"هشام" بن محمد بن السائب الكلبي أبوالمنذر الأخباري النسابة العلامة روى عن أبيه أبي النضر الكلبي المفسر وعن مجالد وحدث عنه جماعة قال أحمد بن حنبل إنما كان صاحب سمر ونسب ما ظننت أن أحدا يحدث عنه وقال الدارقطني وغيره متروك وقال ابن عساكر رافضي ليس بثقة
[6] Najm ‘Abd al-Rahman Khalaf, Mu‘jam al-Jarh wa al-Ta‘dil li Rijal al-Sunan al-Kubra, (T.tp: Dar al-Rayah, cetakan pertama, 1409H/1989M), 1/145.
قال سفيان: قال الكلبي: قال لي أبو صالح: كل ما حدثتك به كذب.