Soalan: Benarkah terdapat hadith berkaitan khutbah tanpa tasyahhud seperti tangan yang terputus?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hari Jumaat merupakan antara hari yang mulia berbanding hari-hari yang lain. Di samping itu, pada hari tersebut telah menjadi satu kewajipan kepada setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul-Nya untuk hadir ke menunaikan solat fardhu Jumaat. Ini dijelaskan berdasarkan beberapa buah hadith Nabi SAW, antaranya ialah:
- Daripada Thariq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِى جَمَاعَةٍ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah wajib atas setiap orang Islam lelaki yang ditunaikan secara berjemaah”. [Riwayat Abu Daud (1067)]
Berdasarkan hadith di atas, para ulama’ mengeluarkan hukum bahawa diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang baligh untuk menghadirinya. Selain itu juga, kita dituntut untuk mendengar dua khutbah akan dibacakan oleh khatib sebelum dilaksanakan solat Jumaat. Berbalik kepada soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan sedemikian, iaitu:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ خُطْبَةٍ لَيْسَ فِيهَا تَشَهُّدٌ، فَهِيَ كَالْيَدِ الْجَذْمَاءِ
Maksudnya: “Setiap khutbah yang tidak ada padanya tasyahhud maka ia seperti tangan yang terputus”. [Riwayat Abu Daud (4841) dan al-Tirmizi (1106)]
Hukum Hadith
Antara ulama’ yang mengeluarkan hukum berkaitan hadith ini adalah:
- Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. [Lihat: No. Hadith 1106]
- Imam Ibn Hibban menilai hadith ini sebagai sahih di dalam Sahihnya. [Lihat: 36/7, no. Hadith 2796]
- Imam Ibn Mulaqqin mengatakan hadith ini sahih atau hasan. [Lihat: Tuhfah al-Muhtaj, 498/1]
- Imam Ibn Qayyim menilai hadith ini sebagai thabit. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 182/1]
- Syeikh Syuaib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya baik disebabkan ayah ‘Asim iaitu Kulaib bin Syihab serta perawi-perawi yang lain adalah thiqah. [Lihat: Sunan Abi Daud, 210/7]
Melihat kepada penilaian dan hukum yang dikeluarkan oleh para ulama’ di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah sahih walaupun terdapat tafarrud pada sanad tetapi perawi tersebut dinilai sebagai seorang yang thiqah.
Makna Hadith
Telah berkata Imam al-Munawi bahawa setiap khutbah yang tidak ada padanya tasyahhud atau di dalam satu riwayat syahadah seperti tangan yang terputus. Manakala al-Jazm (الجذم) adalah bermaksud terputus dengan cepat iaitu setiap khutbah yang tidak didatangkan dengan pujian-pujian kepada Allah SWT umpama tangan terputus yang mana tidak ada faedah baginya kepada orang itu. [Lihat: Faidh al-Qadhir, 18/5]
Disebabkan itu, antara rukun khutbah yang telah diletakkan oleh para fuqaha’ adalah:
- Memuji Allah
- Selawat kepada Rasulullah SAW
- Memberi wasiat agar bertaqwa
- Membaca satu ayat daripada al-Qur’an
- Berdoa kepada orang mukmin
Ini adalah rukun-rukun khutbah yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’ al-Syafi’eyyah sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab al-Mu’tamad. [Lihat: al-Mu’tamad, 513,514/1]
Penutup
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memperbaiki dan memuhasabah diri kita dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini agar kita menjadi seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memberi kita taufik dan hidayah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Amin.
Wallahua’lam