اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-193: SUNAT DATANG AWAL KE SOLAT JUMAAT

 

Soalan: Apakah hadith yang membicarakan berkaitan sunat datang awal ke masjid pada hari Jumaat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Hari Jumaat merupakan  hari yang mulia dan besar buat umat Islam. Tambahan pula, hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan berbanding hari-hari yang lain sebagaimana yang diceritakan menerusi hadith Nabi SAW. Untuk itu, kita dituntut untuk membesarkan hari yang besar dan agung ini.

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menuntut seseorang itu untuk hadir awal ke masjid bagi tujuan menunaikan solat Jumaat. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

 

  • Bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”. [Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)]

 

Makna Hadith

Antara yang boleh difahami berdasarkan hadith di atas adalah tuntutan buat umat Islam agar hadir awal ke masjid disebabkan ganjaran yang terdapat di dalam hadith. Ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi RA:

 

Telah bersepakat ashab kami dan selain daripada mereka bahawa sunat hadir awal ke solat Jumaat pada masa yang pertama berdasarkan hadith yang lepas (hadith di atas). Melihat kepada masa-masa yang disebutkan di atas terdapat tiga pendapat iaitu:

 

  • Setelah terbitnya fajar dan ini yang dipilih oleh penulis (Imam al-Syirazi) dan ramai ulama’.
  • Setelah terbitnya matahari dan pendapat ini tidak dipilih di dalam kitab al-Tanbih serta mengingkari pendapat ini bagi sesiapa yang berpegang teguh padanya.
  • Masa-masa yang dimaksudkan adalah tempoh-tempoh yang singkat selepas tergelincir (matahari) dan inilah yang dipilih oleh al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain dan selain daripada kedua mereka dari ahli Khurasan dan ini adalah mazhab Malik. [Lihat: al-Majmu’, 540/4]

 

Menurut kitab al-Muktamad dalam mazhab al-Syafie, dikira masa-masa tersebut di atas bermula dari terbitnya fajar kerana ia merupakan permulaan pensyariatan (solat Jumaat) dan padanya juga dibolehkan untuk mandi sunat Jumaat. Berkaitan dengan masa pertama dan kedua bukanlah diiktibar tempoh masa tertentu , bahkan ia dikira dengan siapa yang datang dahulu akan mendapat kelebihan tersebut daripada yang datang kemudian. Adapun imam disunatkan untuk melewatkan kehadiran sehingga hampir masuk waktu Jumaat kerana mengikut perbuatan Nabi SAW dan para khulafa’ Baginda SAW dengan tujuan mempersiapkan khutbah (yang akan dibacakan). Begitu juga bagi orang yang uzur (sukar untuk datang awal ke masjid) disunatkan melewatkan kehadiran. [Lihat: al-Muktamad, 528,529/1]

 

Di akhir hadith, dinyatakan bahawa malaikat akan  mendengar khutbah apabila imam telah keluar. Ini menunjukkan bahawa barangsiapa yang hadir selepas daripada imam keluar tidak akan memperolehi ganjaran orang yang hadir awal ke solat Jumaat. Di samping itu, tuntutan datang awal ke masjid adalah bagi menggalakkan orang untuk mendapatkan fadhilat yang disebutkan di dalam hadithو mendapatkan kelebihan saf pertama, menunggunya serta menyibukkan diri dengan perkara-perkara sunat dan berzikir atau seumpama dengannya. Ini semuanya tidak akan diperolehi dengan pergi ke masjid selepas gelincirnya sebahagian daripadanya (matahari) dan tidak juga mendapat kelebihan jika datang selepas daripada tergelincirnya (matahari) kerana ketika itu seruan (azan) dikumandangkan. [Lihat: al-Minhaj, 541/4]

 

Telah berkata Ibn Wahab bahawa beliau bertanya Imam Malik tentang hal ini (maksud masa-masa di dalam hadith). Imam Malik berkata apa yang ada di dalam hatiku bahawa yang dimaksudkan dengan satu masa iaitu masa-masa yang lain berada padanya (kesemua masa-masa itu dikira satu masa). Samada yang pergi pada awal masa pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima. Jika tidak, solat Jumaat tidak akan didirikan sehingga siang hari itu menjadi sembilan masa pada waktu Asar atau hampir dengannya (waktu Asar). [Lihat: al-Tamhid, 23,24/22]

 

Penutup

Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim samada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini. Di samping itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini di dalam kehidupan seharian kita agar mendapatkan kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalam hadith di atas.  Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kesempatan serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewa seperti ini kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam