اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-187: ZIKIR JUMAAT TERAKHIR REJAB

 

Soalan: Benarkah dengan berzikir “Ahmad Rasulullah, Muhammad Rasulullah” ketika khatib di atas mimbar pada hari Jumaat terakhir bulan Rejab maka tidak akan terputus dirham (rezeki) di tangannya pada tahun itu?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berzikir merupakan salah satu amalan yang mulia dan ia amat digalakkan di dalam agama ini berdasarkan nas-nas Ilahi yang banyak daripada al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW. Ini kerana, dengan berzikir akan mengingatkan kita kepada Allah SWT dan akan menguatkan hubungan seseorang hamba itu kepada Tuhannya.

 

Setelah kami meneliti dan menekuni soalan di atas iaitu berkaitan zikir yang dibaca pada hari Jumaat terakhir bulan Rejab ketika khatib di atas mimbar, kami katakan  bahawa kami tidak menjumpai zikir tersebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW yang sahih dan juga ia tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar seperti kutub sittah dan lain-lain lagi.

 

Akan tetapi, kami mendapati zikir tersebut ada dinyatakan di dalam kitab Kanz al-Najah wa al-Surur yang dikaryakan oleh seorang ulama’ bermazhab al-Syafie iaitu Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali bin Abdul Qadir Quds al-Makki yang wafat pada 1335 hijrah pada halaman ke 147 dan 148 cetakan dar al-Hawi. Tambahan pula, di dalam kitab ini menyatakan bahawa zikir tersebut merupakan antara fawaid (amalan) Syeikh Ali al-Ujhuri sebagaimana yang diceritakan di dalam biografinya di dalam Khulasah al-Athr.

 

Penutup

Kesimpulannya, sebaik-baik zikir untuk dibaca dan diamalkan adalah yang datang daripada al-Qur’an dan juga hadith Nabi SAW. Walaubagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu ingin mengamalkan sesuatu zikir yang maknanya sahih iaitu tidak bercanggah dengan al-Quran dan hadith kerana di dalam bab ini luas, sama seperti berdoa. Akan tetapi, bagi menyatakan atau meletakkan fadhilat dan kelebihan tertentu pada sesuatu zikir, ia perlulah disokong dengan nas-nas Ilahi samada daripada al-Qur’an dan juga hadith Nabi SAW yang sahih. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa membasahi lidah-lidahnya dengan berzikir kepada Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam