اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI 18 : BERI MAKAN DAGING KORBAN KEPADA HAIWAN

SOALAN:

Salam. Apakah hukum memberi makan daging korban kepada haiwan peliharaan seperti kucing atau ayam?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Allah SWT berfirman:

لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Surah al-Hajj, (22:28)

Zahir ayat ini menunjukkan daging korban itu dimanfaatkan oleh manusia dan bukannya haiwan. Namun begitu tidak menjadi kesalahan bagi seseorang yang menerima daging korban untuk memberi makan sebahagiannya kepada haiwan peliharaan kerana termasuk dalam ruang tasarruf (kepenggunaan). Apatahlagi dalam hal kita sudah memanfaatkan semungkin bahagian korban seperti daging, tulang dan kulitnya, tetapi masih berlebihan maka bolehlah diberi makan kepada haiwan dan itu lebih aula daripada dibuang begitu sahaja.

Memberi makanan kepada haiwan yang kelaparan adalah satu bentuk perlakuan ihsan kepada makhluk Allah. Daripada Syaddad bin Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mewajibkan perlakuan ihsan dalam semua perkara.

Hadis riwayat Muslim (1955)

Rasulullah SAW pernah bercerita tentang seorang lelaki yang memberi minum anjing yang kehausan menggunakan sarung kakinya lalu Allah meredainya dan mengampuninya. Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah bagi kami pahala jika (kami memberi makan dan minum) kepada haiwan ternakan?”

فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: Dalam setiap hati yang basah terdapat pahala padanya.

Hadis riwayat al-Bukhari (2363)

Maksudnya sikap belas kasihan dan berbuat baik kepada makhluk adalah berpahala. Bahkan, Islam mencela orang yang tidak memberi makan kepada bintang peliharaannya. Ibnu Umar R.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خِشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Seorang wanita masuk neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makan dan tidak dibebaskan untuk makan daripada binatang melata di bumi.

Hadis riwayat al-Bukhari (3318)

Justeru, memberi makan bahagian korban kepada haiwan peliharan tidaklah haram dan berdosa. Ini termasuklah kepada haiwan jalanan yang tidak terurus makan minumnya.

Wallahua’lam.