اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 44 : ADAKAH SAH HAIWAN SEMBELIHAN KORBAN YANG BUTA?

 

                                              buta

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ada persoalan tentang pemilihan haiwan sembelihan korban, sekiranya haiwan korban itu berisi dan sihat tubuh badan tapi hanya ada sedikit kecacatan sahaja tanpa menjejaskan isi daging haiwan tersebut seperti buta sebelah matanya. adakah haiwan korban yang buta masih boleh dijadikan haiwan sembelihan korban? Sekiranya tidak sah, adakah masih boleh dimakan daging tersebut. Mohon pencerahan S.S Mufti

Ringkasan Jawapan:

Tidak sah haiwan sembelihan korban yang terdapat cacat cela dan aib termasuklah haiwan itu buta sekalipun hanya sebelah mata. Justeru, penyembelihan haiwan tersebut tidak dianggap daging ibadah korban namun masih boleh dimakan dan disedekah seperti dianggap daging  haiwan biasa  yang disembelih. Hal ini demikian  kerana syarat haiwan sembelihan  korban  mestilah tiada  kecacatan ketara seperti buta sebelah mata, terlalu kurus, sakit yang ketara, tempang kaki yang ketara, terputus telinga atau lebih teruk daripada itu. Namun, haiwan yang tidak ketara kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus mahupun tidak ketara tempangnya, maka sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalil pensyariatan  ibadah korban bagi mereka yang mampu berdasarkan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Surah al-Khauthar (2)

Haiwan sembelihan yang boleh dijadikan korban ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri. Haiwan tersebut sama ada jantan atau betina atau yang telah dikasi. (Rujuk Minhaj al-Talibin  wa Umdatun Muftin fi  al-Fiqh, 320)

Sementara itu, haiwan korban mestilah dipilih daripada yang terbaik dan tiada cacat cela berdasarkan  hadis  sahih daripada  al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي

Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”.

Riwayat Abu Daud  (2802)

Para ulama bersepakat bahawa digalakkan mencari yang terbaik dan sempurna dalam pemilhan haiwan korban. Mereka juga bersepakat bahawa kecacatan yang disebut di dalam hadis di atas atau lebih teruk dari keempat-empat kecacatan tersebut tidak sah untuk dijadikan binatang korban (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/120) 

Al-Nawawi menjelaskan jenis kecacatan yang ketara pada binatang yang tidak menepati syarat-syarat korban:

وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما فلا تجزىء عجفاء ومجنونة ومقطوعة بعض إذن وذات عرج وعور ومرض وجرب بين ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الجرب والله أعلم

Maksudnya: “Syarat haiwan korban mestilah   selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya. Maka tidak sah binatang yang sangat kurus, gila, putus sebahagian telinga, tempang,  buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak terjejas yang sedikit aibnya  begitu juga ketiadaan tanduk-tanduk,  koyak telinga, dan tebukan telinga menurut pendapat yang paling sahih. Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit” (Rujuk Minhaj al-Talibin  wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh, 320).

Berdasarkan kenyataan di atas, haiwan yang tidak jelas kecacatannya, seperti tidak terlalu kurus dan tidak ketara tempangnya, maka sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.

Penjelasan haiwan korban yang dikasi, rujuk perbahasan pada pautan artikel berikut : https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3638-al-kafi-1346-bolehkah-haiwan-kasi-dijadikan-korban

Penutup

Kesimpulannya, kecacatan yang terdapat pada haiwan korban yang jelas kelihatan  seperti buta sebelah mata, terlalu kurus, sakit, jelas tempang kakinya, terputus telinga atau lebih teruk adalah tidak sah untuk dijadikan haiwan korban.  Maka, status penyembelihan haiwan korban itu tidak sah dan tidak dikira amalan ibadah korban namun dagingnya masih boleh dimakan dan disedekahkan seperti haiwan sembelihan biasa. Namun, kecacatan yang tidak ketara atau  terlalu sedikit cacatnya, maka sah untuk dijadikan haiwan sembelihan korban.