اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE - 58: BOLEHKAH WANITA HAID MELAKSANAKAN SA’IE?

 

 

saie min

 

Soalan:

Assalammualaikum, Saya ada persoalan berkaitan wanita haid yang melaksanakan Sa’ie tanpa berwuduk kerana dalam keadaan hadas, adakah boleh wanita tersebut melaksanakan sa'ie ? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Menurut majoriti fuqaha tiada larangan bagi wanita haid untuk melaksanakan rukun-rukun haji dan umrah melainkan larangan bertawaf. Justeru itu, wanita yang mengalami haid boleh melaksanakan saie dari bukit Safa ke bukit Marwah. Hal ini kerana kerana suci daripada hadas hanya termasuk dalam perkara sunat sa’ie dan bukan menjadi syarat sa’ie, maka sah perlaksanaan sa’ie ketika haid.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Perlaksanaan ibadah sa’ie merupakan salah satu dari tuntutan rukun haji dan umrah dan ia berdasarkan dalil berikut, firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ‎‏

Maksudnya: Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah (158)

Seterusnya, salah satu perkara sunat sa’ie ialah suci daripada hadas dan najis, Namun sekiranya sa’ie dalam keadaan berhadas, berjunub, haid, nifas, mahupun terdapat najis, maka perlasanaannya masih dikira sah dan harus dilaksanakan.  [1] Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA.anha, beliau  berkata :

قَدِمْتُ مَكَّةَ وَأَنَا حَائِضٌ، وَلَمْ أَطُفْ بِالْبَيْتِ، وَلاَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، قَالَتْ فَشَكَوْتُ ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Maksudnya: “Ketika aku sampai di Mekah aku dalam keadaan ditimpa haid.   Aku belum melaksanakanTawaf dan Sa’ie antara Safa dan Marwah. Kemudian aku mengadu tentang perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda menjawab: " Tunaikankah semua ibadah haji seperti jemaah haji yang lain, tetapi janganlah kamu melakukan Tawaf di Baitullah sehingga kamu suci (dari haid).

Riwayat Bukhari 1650

Hadis ini menunjukkan hukum bagi mereka yang berhadas kecil atau berhadas besar dilarang daripada melaksanakan ibadat tawaf sahaja, sama wanita yang ditimpa haid, berjunub atau berhadas kecil.  Sementara, sai’e daripada bukit Safa ke Marwah tidak disyaratkan perlu bersuci seperti tawaf. Ibn Munzir menyatakan harus melaksanakan kesemua ibadah haji dan umrah dalam keadaan tidak bersuci (berhadas) kecuali larangan khusus bagi tawaf di Baitullah [2]

Selain dari hadis Nabi SAW, terdapat beberapa riwayat pandangan beberapa orang sahabat RA yang menjelaskan bahawa syarat bersuci hanya wajib pada ibadah tawaf dan tidak pada ibadah saie, antaranya:

النُّفَسَاءُ وَالْحَائِضُ إِذَا أَتَتَا عَلَى الْوَقْتِ تَغْتَسِلانِ وَتُحْرِمَانِ، وَتَقْضِيَانِ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا، غَيْرَ الطَّوَافِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Para wanita yang ditimpa nifas dan haid sampai waktu berihram, mereka mandi (sunat ihram), berihram, dan melaksanakan amalan haji dan umrah semuanya melainkan tawaf di Kaabah.”

Sunan Abu Daud (1744)

Athar(Kalam sahabat) daripada Ibnu Umar, beliau berkata

إذا طافت، ثم حاضت قبل أن تسعى بين الصفا والمروة فلتسع

Maksudnya: “Sekiranya wanita telah melakukan tawaf kemudian dia telah haid haid sebelum sa’ie antara Safa dan Marwah maka hendaklah lakukan sa’ie

Riwayat Abi Syaibah

Terdapat juga athar yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Aanha dan Ummu Salamah bahawa mereka berdua berkata :

إذا طافت المرأة بالبيت وصلت ‏ركعتين ثم حاضت فلتطف بالصفا والمروة

Maksudnya: “Sekiranya wanita telah melakukan tawaf di Baitullah dan solat sunat tawaf 2 rakaat kemudian dia telah didatangi haid, maka ulang alik lah dari bukit Safa ke Marwah (Sa’ie)

Sunan Abu Bakar al-Athram

Walau bagaimanapun, jika seseorang ingin melaksanakan ibadat saie dia disunatkan untuk bersuci sebelum melakukan ibadah tersebut. Namun begitu bersuci daripada hadas tidak menjadi syarat bagi perlaksanaan sa’ie. Ini merupakan pandangan kebanyakan ulama termasuk imam Syafie. [3]

Oleh itu, jemaah haji dan umrah sangat digalakkan (sunat) untuk sentiasa dalam keadaan bersuci (berwuduk) dalam melaksanakan kesemua amalan rukun haji dan umrah kerana bersuci itu perkara yang disukai oleh syarak. [4]  Namun, wanita haid hanya terhalang melaksanakan rukun tawaf sahaja berdasarkan pandangan ijma ulama:

وَأَجْمَعُوا أن الحائض والنفساء لا تمنع من شئ مِنْ مَنَاسِكِ الْحَجِّ إلَّا الطَّوَافَ وَرَكْعَتَيْهِ نَقَلَ الْإِجْمَاعَ فِي هَذَا كُلِّهِ ابْنُ جَرِيرٍ وَغَيْرُهُ

“Ulama bersepakat bahawa wanita yang ditimpa haid mahupun nifas tidak terhalang daripada melaksanakan ibadah haji melainkan tawaf dan solat sunat tawaf seperti yang dinukilkan ijma’ pada semuanya termasuk Ibn Jarir dan selainnya.[5] 

 

Penutup

Berdasarkan dalil yang dikemukakan, hukum sa’ie bagi wanita yang kedatangan haid adalah sah perlaksanaannya. Hal ini kerana suci daripada hadas tidak menjadi syarat sah sa’ie dan hanya termasuk dalam perkara sunat sa’ie.

 

[1]Muhammad al-Zuhaili, (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 2/361

 يستحب أن يسعي على طهارة من الحدث، والنجس، وأن يكون ساترا عورته، فلو سعی محدثة، أو جنبأ، أو حائضا، أو نفساء، أو

 عليه نجاسة، أو مکشوف بعض العورة، جاز وصح سعيه،

[2] Ibn Battal, (2003), Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, Riyadh: Sa’udiah, Maktabah al-Rusyd   J: 4 P: 330

فكان فى حكم الحائض كل من ليس على طهارة من جنب وغير متوضئ؛

وأما السعى بين الصفا والمروة فلا أعلم أحدًا شرط فيه الطهارة

قال ابن المنذر: قوله عليه السلام لعائشة: (لفعلى ما يفعل الحاج غير ألا تطوفى بالبيت) يبين أن ذلك جائز؛ لأنه أباح لها السعى بين الصفا والمروة بعرفة وجميع المناسك على غير طهارة، غير الطواف بالبيت خاصة.

[3] Al-Muqaddasi, 1968 Mughni li Ibn Qudamah Maktabah Qaherah . J: 3 P  355-356

وَالْمُسْتَحَبُّ مَعَ ذَلِكَ لِمَنْ قَدَرَ عَلَى الطَّهَارَةِ أَنْ لَا يَسْعَى إلَّا مُتَطَهِّرًا، وَكَذَلِكَ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَكُونَ طَاهِرًا فِي جَمِيعِ مَنَاسِكِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ أَيْضًا الطَّهَارَةُ مِنْ النَّجَاسَةِ وَالسِّتَارَةُ لِلسَّعْيِ؛ لِأَنَّهُ إذَا لَمْ تُشْتَرَطْ الطَّهَارَةُ مِنْ الْحَدَثِ، وَهِيَ آكَدُ، فَغَيْرُهَا أَوْلَى.

أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ يَرَوْنَ أَنْ لَا تُشْتَرَطَ الطَّهَارَةُ لِلسَّعْيِ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ. وَمِمَّنْ قَالَ ذَلِكَ عَطَاءٌ، وَمَالِكٌ، وَالشَّافِعِيُّ

[4] Sayyid Sabiq, (1977) Fiqh Sunnah Bayrut: Dar Kitab A’rabi J: 1 P: 713

 وإن كان المستحب أن يكون المرء على طهارة في جميع مناسكه فإن الطهارة أمر مرغوب شرعا.

[5] Al-Nawawi, t.th, Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr   J: 2 P: 356