اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 74: JANTINA HAIWAN KORBAN YANG UTAMA

JANTINA_HAIWAN_KORBAN_YANG_UTAMA.jpg

 

Soalan:

Assalammualaikum.  Manakah jenis jantina yang lebih afdal untuk dijadikan haiwan korban? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Menurut fuqaha diharuskan sembelihan korban daripada binatang ternakan jantan mahupun betina. Namun, pemilihan haiwan yang paling utama adalah  daripada   jenis jantina jantan yang  tidak banyak mengawan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.


Para ulama bersepakat bahawa haiwan korban daripada jenis jantina jantan dan betina boleh dijadikan sembelihan korban, namun yang afdal (utama) adalah haiwan daripada jenis jantina jantan berdasarkan hadis berikut:[1]

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA berkata :

قَالَ: «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ،

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibas (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk,

Riwayat Muslim 1966

Sementara itu, al-Khatib al-Syirbini membahaskan keutamaan bagi jantina haiwan korban:[2]

(وَيَجُوزُ ذَكَرٌ وَأُنْثَى) أَيْ التَّضْحِيَةُ بِكُلٍّ مِنْهُمَا بِالْإِجْمَاعِ، وَإِنْ كَثُرَ نَزَوَانُ الذَّكَرِ وَوِلَادَةُ الْأُنْثَى. نَعَمْ التَّضْحِيَةُ بِالذَّكَرِ أَفْضَلُ عَلَى الْأَصَحِّ الْمَنْصُوصِ؛ لِأَنَّ لَحْمَهُ أَطْيَبُ كَذَا قَالَ الرَّافِعِيُّ: وَنُقِلَ فِي الْمَجْمُوعِ فِي بَابِ الْهَدْيِ عَنْ الشَّافِعِيِّ  أَنَّ الْأُنْثَى أَحْسَنُ مِنْ الذَّكَرِ؛ لِأَنَّهَا أَرْطَبُ لَحْمًا وَلَمْ يَحْكِ غَيْرَهُ، وَيُمْكِنُ حَمْلُ الْأَوَّلِ عَلَى مَا إذَا لَمْ يَكْثُرْ نَزَوَانُهُ، وَالثَّانِي عَلَى مَا إذَا كَثُرَ.

“Para ulama bersepakat tentang keharusan korban dengan binatang ternakan jantan dan betina walaupun haiwan jantan yang sering mengawan dan haiwan betina sering beranak. Benar, haiwan korban jantan lagi afdal berdasarkan pendapat yang lebih sahih, sepertimana yang dinaskan(nukilan fatwa Imam Syafi’i) kerana dagingnya lebih baik seperti yang dinyatakan oleh al-Rafi’i. Terdapat pandangan Imam al-Syafi’i yang dinukilkan oleh kitab al-Majmu’ dalam bab binatang korban bahawa beliau menyatakan binatang betina lebih afdal daripada jantan kerana dagingnya lebih lembut, namun pendapat ini tidak diriwayatkan selain daripada al-Nawawi. Pandangan yang pertama boleh ditakwilkan jika haiwan korban jantan tidak sering mengawan (maka ia lebih afdal dijadikan korban). Manakala pandangan kedua ditakwilkan jika haiwan jantan yang sering mengawan (maka haiwan betina lebih afdal dikorbankan)”.

Kesimpulannya, sembelihan haiwan korban daripada jantina betina mahupun jantan adalah harus. Namun, pemilihan haiwan  jantina jantan lebih afdal kerana dagingnya lebih elok dengan mengutamakan haiwan jantan yang tidak banyak mengawan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1]  Mausu’ah Kuwaitiyah

لاَ خِلاَفَ فِي جَوَازِ الْهَدْيِ مِنَ الذَّكَرِ وَالأُْنْثَى، لَكِنَّ الذَّكَرَ أَفْضَل (4) ، وَأَفْضَلُهَا مَا ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لِمَا وَرَدَ

 عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ

[2] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p:12