اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-103: ADAKAH PESERTA KORBAN BOLEH MENGAMBIL BAHAGIAN-BAHAGIAN LAIN SEPERTI EKOR, KEPALA ATAU TANDUK HAIWAN KORBAN?

ADAKAH_PESERTA_KORBAN_BOLEH_MENGAMBIL_BAHAGIAN-BAHAGIAN_LAIN_SEPERTI_EKOR_KEPALA_ATAU_TANDUK_HAIWAN_KORBAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt SS Mufti. adakah dibenarkan kepada peserta korban untuk mengambil bahagian-bahagian lain daripada haiwan korban mereka seperti ekor, kepala, kaki dan sebagainya ? Mohon penjelasan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum peserta peserta korban mengambil mana-mana bahagian daripada haiwan korban dengan niat untuk dimakan atau dimanfaatkan pada perkara-perkara lain adalah harus. Bahkan perbuatan mengambil bahagian organ dalaman seperti hati untuk dimakan juga menepati sunnah Rasulullah SAW.

Huraian Jawapan

Korban merupakan ibadah yang menuntut individu untuk menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta. Pensyariatan ibadah ini bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pengorbanan terhadap harta yang dicintai.

Secara asasnya, antara perkara yang disunatkan kepada peserta korban adalah mengambil sedikit bahagian daripada haiwan korban untuk dijadikan sebagai makanan. Perkara ini telah dijelaskan menerusi firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

Surah al-Hajj (28)

Selain itu, terdapat hadis Rasulullah SAW yang menunjukkkan bahawa antara amalan sunnah Baginda ketika hari raya Aidiladha ialah mengambil bahagian hati haiwan korban tersebut untuk dimakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husayb al-Aslami:

كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ إذا كانَ يومُ الفطرِ لم يخرُج حتَّى يأكلَ شيئًا, وإذا كانَ الأضحى لم يأكُل حتَّى يرجِعَ, وَكانَ إذا رجعَ أَكلَ من كبدِ أضحيَّتِهِ

Maksudnya: “Apabila tiba hari raya Aidilfitri, Rasulullah SAW makan sesuatu terlebih dahulu sebelum Baginda keluar untuk menunaikan solat. Manakala apabila tiba hari raya Aidiladha pula Baginda hanya akan makan setelah pulang daripada menunaikan solat. Makanan tersebut ialah hati daripada haiwan korban Baginda.”

Riwayat Ahmad (22984)

Kedua-dua dalil di atas menunjukkan bahawa perbuatan mengambil sedikit bahagian daripada haiwan korban termasuk dalam perkara-perkara yang disunatkan. Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil ini, fuqaha kemudiannya meluaskan perbincangan mengenai korban antaranya termasuklah anggota atau bahagian selain daripada daging haiwan korban.

Menurut al-Nawawi, pandangan yang lebih kuat dalam mazhab Syafi’i berkaitan pembahagian daging korban ialah wajib ke atas peserta korban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban tersebut kepada orang lain. Manakala menyedekahkan keseluruhan daging korban pula adalah afdal kecuali mengambil sedikit bahagian untuk dimakan bagi meraih keberkatan daripada pelaksanaan ibadah tersebut[1].

Di samping itu, peserta korban juga boleh memanfaatkan bahagian-bahagian lain daripada haiwan korban seperti kulit haiwan yang boleh digunakan untuk kegunaan dirinya sendiri atau meminjamkan kepada orang lain[2]. Imam Ibn Hajar al-Haytami dalam menghuraikan kenyataan al-Nawawi turut memuatkan contoh seperti tanduk haiwan korban sebagai salah satu anggota atau bahagian yang boleh disedekah atau dimanfaatkan sendiri oleh peserta korban[3]. Perkara ini menunjukkan bahawa peserta korban boleh mengambil anggota atau bahagian lain pada haiwan korban untuk dimanfaatkan oleh dirinya sendiri.

Kesimpulan

Hukum peserta korban mengambil mana-mana bahagian daripada haiwan korban dengan niat untuk dimakan atau dimanfaatkan pada perkara-perkara lain adalah harus. Bahkan perbuatan mengambil bahagian organ dalaman seperti hati untuk dimakan juga menepati sunnah Rasulullah SAW.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Tholibin wa ‘Umdah al-Muftiin fi al-Fiqh (t.tp:Dar al-Fikr,2009), 321.

والأصح وجوب تصدق ببعضها والأفضل بكلها إلا لقما يتبرك بأكلها ويتصدق بجلدها أو ينتفع به

[2] Syams al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar al-Fikr,1984), 8:142.

(وَالْأَفْضَلُ) تَصَدُّقُهُ (بِكُلِّهَا) لِأَنَّهُ أَقْرَبُ إلَى التَّقْوَى وَأَبْعَدُ عَنْ حَظِّ النَّفْسِ (إلَّا لُقَمًا يَتَبَرَّكُ بِأَكْلِهَا) لِلْآيَةِ وَالْأَخْبَارِ، وَيُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ الْأَفْضَلَ كَبِدُهَا لِخَبَرِ الْبَيْهَقِيّ «أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَأْكُلُ مِنْ كَبِدِ أُضْحِيَّتِهِ»

[3] Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiyy,1983), 9:365.

(وَيَتَصَدَّقُ بِجِلْدِهَا) وَنَحْوِ قَرْنِهَا أَيْ الْمُتَطَوِّعُ بِهَا وَهُوَ الْأَفْضَلُ لِلِاتِّبَاعِ