اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

HUKUM ORANG YANG ENGGAN MENGELUARKAN ZAKAT

SOALAN 56 (21 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 08/07/2015)

Apakah hukum orang yang enggan mengeluarkan zakat?

 

JAWAPAN

Dijelaskan di sini jenis dan bahagian orang yang enggan membayar zakat berdasarkan niat hati masing-masing kepada dua bahagian:

 

Pertama: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Oleh itu, ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.

            Imam al-Nawawi Rahimahullah menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan: “Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran (تأويل) sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumannya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain.”

Syarah Muslim (1/205)

           

Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata: “Adapun dalil kefardhuan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.”

 

Kedua: Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut

Orang yang enggan mengeluarkan zakat, sedangkan dia mengi’tiqadkannya wajib dan mengakui kefardhuannya, akan menyebabkan dia menjadi fasiq, berdosa dan dikenakan azab seksa di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيراً مِنْ الأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿٣٤﴾ يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ

Maksudnya: “Wahai orang –orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambal dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

(Surah al-Taubah: 34-35)

 

Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.A. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَا أُدِّيَتْ زَكَاتُهُ فَلَيْسَ بِكَنْزِ، وَكُلُّ مَا لَا تُؤَدِّي زَكَاتَهُ فَهُوَ كَنْزٌ

Maksudnya: “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan.”

Riwayat al-Bukhari (4)

 

            Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ آتَاهُ اللهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.”

Riwayat al-Bukhari (1338)

 

Seterusnya, Rasulullah SAW membacakan firman Allah SWT:

وَلا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْراً لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah ali-Imran: 180)

 

            Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi. Oleh itu, mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah SWT?

            Di dunia ini, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya. Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang ‘amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah SWT hendaklah menentang mereka.