اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-104: HUKUM SOLAT TERAWIH 4 RAKAAT DENGAN SATU SALAM

 

 

Soalan:

Assalamualaikum. Saya nak tanya berkaitan solat terawih dengan cara 4 rakaat satu salam, adakah cara solat seperti ini dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam permasalahan ini, berlaku khilaf dalam kalangan fuqaha’:

Mazhab Syafi’e: Menurut Imam Nawawi, solat Terawih yang dilaksanakan dengan 4 rakaat satu salam tidak sah, dan ini merupakan fatwa yang dikeluarkan oleh Qadhi Husain kerana ia menyalahi ketetapan syara’ (khilaf al-masyru’). Solat terawih hendaklah dilakukan dengan cara dua rakaat satu salam sebagaimana yang biasa dilakukan. (Rujuk Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 4/32)

Ini berdasarkan hadith dimana Baginda s.a.w telah bersabda:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مثنى

Maksudnya: Solat malam (terawih) itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam)...

(Hadith Riwayat Muslim: 749)

Imam Ramli pula menambah bahawa solat terawih 4 rakaat satu salam tidak sah jika ia dilakukan secara sengaja. Jika tidak, solat itu dihukumkan sebagai solat sunat mutlaq (Rujuk Nihayatul Muhtaj, 2/127). Syeikh Zakariyya al-Ansari pula menyebut, solat sunat 4 rakaat berjemaah dengan satu salam akan menyerupai solat fardhu, maka ia tidak dibenarkan (Rujuk Fathul Wahhab bi Syarh Minhaj at-Thullab, 1/67).

Namun begitu, Imam Nawawi dalam pendapat beliau yang lain mengatakan, solat Terawih dua rakaat dengan satu salam adalah sunat sahaja, dan solat Terawih 4 rakaat dengan satu salam adalah sah hukumnya (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/30).

 

Mazhab Hanafi: Ulama Hanafiyah berpendapat bahawa jika seseorang solat terawih seluruhnya dengan sekali salam, maka solatnya sah, namun ianya menjadi makruh jika disengajakan menurut pendapat yang lebih sahih.

Namun menurut Muhammad bin Hasan as-Syaibani, solatnya tidak sah. Ini berbeza dengan Imam Abu Hanifah sendiri dan Qadhi Abu Yusuf yang tetap menghukumnya sebagai sah. Maka cukup sekadar memberi salam pada rakaat terakhir sahaja. (Rujuk Bada’ie as-Sona’ie, 1/289)

 

Mazhab Maliki: Menurut Abul Hasan as-So’idi, disunatkan dalam solat Terawih untuk memberi salam setiap dua rakaat, dan dimakruhkan memberi salam pada setiap empat rakaat atau lebih (Rujuk Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Kifayah at-Thalib, 1/463).

 

Mazhab Hanbali: Menurut Al-Mardawi, yang lebih afdhal dalam solat sunat ialah melaksakan secara dua rakaat satu salam, adapun jika lebih maka hukumnya tetap sah (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifat ar-Rajih minal Khilaf, 2/186).

(Rujuk juga Al-Mausu’ah AL-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/144-145)

Memang disana terdapat hadith yang mengisyaratkan Nabi solat 4 rakaat dengan 1 salam, iaitu hadith daripada ‘Aisyah r.anha:

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا

Maksudnya: Nabi s.a.w pernah solat malam sebanyak 4 rakaat, jangan bertanya betapa baik dan lamanya solat itu. Kemudian Baginda solat lagi 4 rakaat, jangan bertanya betapa baik dan lamanya solat itu, kemudian Baginda solat (witir) 3 rakaat...

(Hadith Riwayat Bukhari: 3569)

Namun begitu hadith ini tidak menafikan bahawa Nabi duduk pada setiap dua rakaat dan mengucapkan salam berdasarkan kepada sabda Nabi yang lain: "Solat malam itu dua rakaat dua rakaat (satu salam setiap dua rakaat)". Dan adalah mustahil Nabi s.a.w menyuruh sesuatu lalu melakukan yang sebaliknya. Ini adalah pendapat Imam Az-Zarqani.

(Rujuk Syarh Al-Zarqani ala Muwatto Al-Imam Malik, 1/432)

 

Pendapat Terpilih

Berdasarkan pandangan para fuqaha’ yang dikemukakan, kami cenderung untuk mentarjihkan qaul mu’tamad dalam mazhab Syafi’e, iaitu solat terawih perlu dilakukan secara dua rakaat satu salam. Jika dilakukan selain daripada cara ini, seperti 4 rakaat satu salam, atau lapan rakaat satu salam, maka solatnya tidak sah.

Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya solat empat rakaat tarawih dengan satu salam, maka solat tersebut tidak sah. Ini juga sebagaimana disebut oleh al-Qadhi Husain dalam al-Fatawa kerana menyalahi ketetapan syara’. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/437)

Namun demikian, memandangkan masalah ini merupakan satu bentuk khilaf yang muktabar, maka sikap berlapang dada amatlah penting, dan jika ada yang berpegang dengan pandangan mazhab lain, maka ia tidak boleh dicegah dan dilarang.

Wallahu a’lam.