SOALAN
Assalamualaikum SS Datuk Mufti, kami para petugas perubatan di Malaysian Field Hospital Cox’s Bazar Bangladesh ada sedikit kemusykilan tentang ibadah puasa dan zakat fitrah sepanjang kami berada di sini:
- Puasa 28 hari.
Kami di Bangladesh mula berpuasa pada Jumaat, 18 Mei 2018. Ada sebahagian dari ahli pasukan akan pulang Malaysia di tengah Ramadan dan dijangka beraya di tanah air pada 15 Jun 2018. Jumlah hari puasa mereka hanya 28 hari sahaja. Apakah status puasa Ramadan mereka? Perlukah dicukupkan atau diqadha menjadi 29 atau 30 hari?
- Lokasi zakat fitrah
Kami akan berada sepanjang Ramadan & Syawal di Cox’s Bazar bagi menyantuni pelarian Rohingya di sini. Sedangkan gaji dan elaun kami dibayar oleh Kerajaan Malaysia, di manakah lebih afdal kami membayar zakat fitrah kami? Di Malaysia atau wakil agama di Kem Pelarian Rohingya?
JAWAPAN
Waalaikumussalam warahmatullah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
I. Puasa Ramadhan tidak mencukupi 29 / 30 hari, perlukah qadha untuk mencukupkan bilangan hari?
Dalam keadaan ini, menurut qaul mu’tamad dalam mazhab Syafie, wajib qadha sehari selepas Ramadhan untuk mencukupkan sekurang-kurang Ramadhan iaitu 29 hari. Ini berdasarkan pandangan Imam Nawawi, Imam Syihabuddin Ar-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami (Rujuk Tuhfatul Muhtaj, 3/384 dan Nihayatul Muhtaj, 3/157).
II. Dimanakah Zakat Fitrah Perlu Ditunaikan?
Menurut qaul mu’tamad dalam mazhab Syafie, zakat fitrah dikeluarkan di tempat seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib membayar zakat fitrah, iaitu apabila bermulanya malam raya dan berakhir sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Dalam erti kata lain, seseorang membayar zakat fitrah dimana dia menyambut hari Raya Aidilfitri. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Imam Ibnu Qudamah yang bermazhab Hanbali, dan demikian juga yang termaktub dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/225; Al-Mughniy, 2/502; Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/345) Inilah juga fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah.
Maka dalam kes ini, isu wang gaji yang diterima bersumber dari Malaysia tidak timbul, kerana kewajipan membayar zakat fitrah tertakluk kepada tempat seseorang itu berada sewaktu masuknya waktu wajib membayar zakat fitrah, bukan dimana hartanya berada atau dari mana pendapatannya diperoleh.
Adapun jika zakat fitrah dibayar di Malaysia, hukumnya sah, cuma ia menyanggahi hukum yang lebih utama.
Wallahu a’lam.