اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-118: BENARKAH UNGKAPAN 'JANGAN BERIBADAH KERANA RAMADHAN'

IBADAH KRN RMDHN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah ungkapan, "Jangan beribadah kerana Ramadhan kerana Ramadhan akan pergi, tetapi beribadahlah kerana Allah." Adakah salah jika kita beribadah lebih banyak di bulan Ramadhan berbanding di bulan lain?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, ibadah pada bulan Ramadhan adalah digalakkan untuk kita memperbanyakkannya. Nasihat yang dinyatakan di atas tidaklah bercanggah. Disebabkan itulah, para salafus soleh berkata:

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

Maksudnya: “Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadhan.”

Sesungguhnya beribadat pada bulan Ramadhan dengan menggandakannya adalah amalan Rasulullah SAW. Ini lebih-lebih lagi pada sepuluh akhir Ramadhan.

Benarlah sepertimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuknya hari sepuluh terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).”

Riwayat al-Bukhari (2024)

Dalam riwayat yang lain menyebut :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَجْتَهِدُ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِى غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir Ramadhan melebihi kesungguhan Baginda pada waktu yang lain.”

Riwayat Muslim (2845)

Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah SAW menggandakan acara ibadatnya pada sepuluh akhir Ramadhan berbanding dengan waktu yang lain.

Sebenarnya momentum kesungguhan ibadat pada bulan Ramadhan itu hendaklah dilangsungkan dan diheret kepada bulan yang lain agar semangat kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah sentiasa berlangsungan. Oleh itu, selepas selesai sahaja Ramadhan, adanya kefarduan zakat fitrah dan bermulanya musim haji. Ini menunjukkan dua rukun Islam sedang menanti umat Islam mengisyaratkan bahawa acara ibadat hendaklah berlangsungan sepertimana yang berlaku pada bulan Ramadhan.

Marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan menggandakan acara ibadat semampu mungkin agar Ramadhan tidak berlalu pergi begitu sahaja, akan tetapi diikuti dengan semaksima mungkin pahala dengan izin Allah SWT. Semoga pada akhirnya ia dapat melahirkan serta menatijahkan takwa dalam diri kita. Benarlah firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan orang-orang yang bertakwa. Amin.