SOALAN
Boleh tak Dato’ Seri, tolong huraikan berkenaan aktiviti berenang dan menyelam semasa bulan Ramadhan?
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Maklum diketahui bahawa salah satu dari perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan secara sengaja.
Imam Al-Nawawi menyebut :“Diantara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu ke dalam rongga (tengah dan yang terbuka).”
(Rujuk Raudhah Al-Talibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 2/356)
يٌفْطِرُ صَائِمُ بِوُصُولِ عَيْنِ مِنْ تِلْكَ إِلَى مَطْلَقِ الْجَوفِ مِن مَنفَذِ مَفْتُوحِ مَعَ العَمْدِ وَالإِخْتِيَارِ وَالعِلمِ بِالتَّحْرِيمِ
Maksudnya: Batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga (tengah dan yang terbuka) secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.
(Rujuk Nihayatuz-Zain, m/s 1/187)
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, adakah berenang atau menyelam akan membatalkan puasa? Isu ini banyak dibincangkan oleh masyarakat terutama di laman sosial bahkan ia menjadi perbalahan hukum sama ada ia batal atau tidak. Sebenarnya isu ini telah dibahaskan oleh ulama’-ulama’ terdahulu dalam menentukan hukumnya.
Para fuqaha’ telah berbeza pendapat dalam menentukan hukum dan terdapat beberapa pendapat para Ulama’ berkenaan isu ini.
Pendapat Imam al-Ramli dan Imam Bujairimi:
لَوْ عُرِفَ عَادَتِهِ أَنَّهُ يَصِلُ الْمَاءَ مِنْهُ إِلَى جَوْفِهِ أُوْ دِمَاغِهِ بِالانغِمَاسِ وَلَا يُمْكِنُهُ اَلتَّحَرُّزُ عَنْهُ أَنَّهُ يُحْرُمُ الانغِمَاسُ وَيَفْطِرُ قَطْعاً
Maksudnya: Jika diketahui secara kebiasaan air akan sampai ke rongga tengah dan juga rongga terbuka dengan cara menyelam dan tidak boleh dielakkan (mengelak daripada sampainya air), maka haram baginya untuk menyelam dan puasanya terbatal secara pasti.
(rujuk Kitab Hasyiyah Jamal ala Syarh Manhaj, m/s 1/473 dan Hasyiyah Bujairimi, m/s 2/74)
Pendapat Imam al-Azra’i:
قَالَ الْأَذْرَعِيُّ لَوْ عَرَفَ مِنْ عَادَتِهِ أَنَّهُ يَصِلُ الْمَاءُ إلَى جَوْفِهِ مِنْ ذَلِكَ لَوْ انْغَمَسَ وَلَا يُمْكِنُهُ التَّحَرُّزُ عَنْ ذَلِكَ حَرُمَ عَلَيْهِ الِانْغِمَاسُ وَأَفْطَرَ بِذَلِكَ وَهُوَ وَاضِحٌ إنْ أَمْكَنَ غَسْلُهُ بِغَيْرِ هَذِهِ الْكَيْفِيَّةِ
Maksudnya: Jika sudah menjadi hal kebiasaan, ketika seseorang menyelam pasti akan ada air yang sampai ke rongga tengahnya, dan tidak memungkinkan baginya untuk menghindari hal tersebut, maka haram baginya menyelam, dan puasanya boleh terbatal disebabkan menyelam. Dan ini jelas, jika dia hendak mandi dia boleh mandi dengan cara lain.
(rujuk kitab Hasyiyah Jamal ala Syarh Manhaj, m/s 3/423)
Pendapat Imam Hasan al-Basri dan Imam Sya’bi:
وَكَرَهَ الحَسَن وَالشَّعْبِي أَنْ يَنْغَمَس فِي المَاءِ خَوْفًا أَن يَدْخُلُ فِي مسامعه
Maksudnya: Makruh bagi mereka yang menyelam, dikhuatiri air akan memasuki melalui telinga.
(rujuk Kitab Syarh al-Kabir Musamma bil Syafie ala Matan Maqna’, m/s 766)
Namun begitu, perbuatan menyelam pernah dilakukan oleh sahabat Nabi SAW iaitu Anas bin Malik:
وَقَالَ أَنسٌ إِنْ لِي أَبْزَنَ أَتقحم فِيهِ وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: Anas berkata, sesungguhnya padaku terdapat sebuah bekas air yang aku terjun padanya dan pada ketika itu aku berpuasa.
Kata Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya Fathul Bari, m/s 4/197:
الأَبْزَن :حَجَرٌ مَنْقُورٌ شَبَهُ الْحَوْضِ وَكَأَنَّ الْأَبْزَنَ كَانَ مَلْآنَ مَاءً فَكَانَ أَنَسٌ إِذَا وَجَدَ الْحَرَّ دَخَلَ فِيهِ يَتَبَرَّدُ بِذَلِكَ
Abzan / bekas: batu yang diukir menjadi tempat mandi, dan ia adalah bekas yang dipenuhi dengan air. Maka apabila Anas merasa panas, beliau akan masuk ke dalam tempat mandi itu untuk menyejukkan diri dengannya.
فَكَأَنَّ اَلأَبْزَنَ يُشْبِهُ مَا يُسَمَّى اَلآنْ بِـ اَلْبَانِيُو
Maksudnya: Abzan pada zaman ini dipanggil dan dinamakan sebagai tub mandi
Rata-rata ulama’ tidak membenarkan apabila dalam keadaan berpuasa untuk melakukan akitiviti berenang atau menyelam atas sebab dikhuatiri air akan memasuki rongga tengah dan terbuka. Adapun begitu, Sahabat Nabi SAW, Anas bin Malik pernah berendam di dalam bekas mandian / tub mandi seperti yang dinyatakan diatas.
Kesimpulan bagi isu ini, kami membahagikan pandangan kami kepada tiga perkara. Pertama, seseorang yang berpuasa adalah Haram melakukan aktiviti berenang atau menyelam sekiranya dilihat dari segi kebiasaan, perbuatan tersebut boleh menyebabkan air memasuki rongga tengah mahupun rongga-rongga yang terbuka.
Kedua, jika seseorang melakukan aktiviti berenang atau menyelam dan pada kebiasaannya perbuatan tersebut tidak menyebabkan air memasuki rongga tengah mahupun rongga-rongga yang terbuka, maka ia adalah Makruh kerana dikhuatiri air akan memasuki rongga.
Ketiga, jika seseorang melakukan aktiviti berenang atau menyelam tetapi ia dilakukan atas alasan darurat sebagai contoh ia merupakan mata pencariannya sebagai nelayan atau juru kimpal pelantar minyak atau penyelam scuba dan sebagainya. Maka di atas perkara darurat ini hukumnya adalah Harus tetapi dengan syarat orang itu perlu menjaga dengan sebaik-baiknya, supaya air tidak memasuki rongga tengah dan rongga-rongga yang terbuka.
Hal ini juga selari dengan kaedah fiqh,
إِذَا ضَاقَ اَلأَمْرُ اِتَّسَعَ
Maksudnya: Apabila suatu perkara menjadi sempit maka hukumnya meluas
Kaedah ini menunjukkan kesusuaian hukum Islam yang boleh diterapkan secara tepat pada setiap keadaan atau diperbolehkan melakukan keringanan dan kemudahan di dalamnya hingga hilangnya sesuatu yang menyulitkan itu.
WallahuA’lam.