اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-124 : ADAKAH DENGAN BERSAHUR SUDAH DIKIRA BERNIAT PUASA?

 Screen Shot 2019 05 13 at 11.53.41 AM

SOALAN

Saya memohon pencerahan daripada Sahibus Samahah Mufti untuk persoalan saya. Sekiranya seseorang itu tidak berniat puasa pada malam hari namun dia bersahur sebagai persiapan untuk berpuasa, adakah sah puasanya menurut mazhab kita?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.

Riwayat Muslim (1907)

Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim:

وفرائض الصوم أربعة أشياء): أحدها (النية) بالقلب؛ فإن كان الصوم فرضًا كرمضانَ أو نذرا فلا بد من إيقاع النية ليلا

Maksudnya: (Dan kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara): salah satunya, (niat) di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam. Lihat Fath al-Qarib (1/136).

Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan. Lihat al-Mausuah al-Fiqhiyyah (28/26).

Dalam menetapkan niat, hendaklah seseorang itu menetapkan niat seperti yang kami sebutkan di dalam artikel sebelum ini yang bertajuk: IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #74: NIAT PUASA SETIAP MALAM ATAU NIAT 30 HARI SEKALIGUS?. Di dalam artikel ini kami nyatakan seperti berikut:

Syarat-Syarat Niat

Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ianya dinamakan dengan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:

  1. Al-Jazm yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
  1. Al-Ta’yiin iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
  1. Al-Tabyiit menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi ﷺ riwayat Hafsah R.Anha:

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).

Riwayat Abu Daud (2454).

Namun begitu, seperti yang disebutkan di dalam persoalan ini, adakah dengan tindakan bangun bersahur dikira sudah berniat tanpa dia menghadirkan di dalam hati niat puasa, maka hal ini dijawab oleh Imam Ibn hajar al-Haithami:

لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْفِطْرِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَعَ خُطُورِ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ كَفَاهُ ذَلِكَ؛ لِأَنَّ خُطُورَ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ مَعَ فِعْلِ مَا يُعِينُ عَلَيْهِ أَوْ تَرْكِ مَا يُنَافِيهِ يَتَضَمَّنُ قَصْدَ الصَّوْمِ

Maksudnya: Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikiranya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa. Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj (3/386).

Berdasarkan kenyataan di atas, orang yang bersahur yang sememangnya untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain, maka sudah cukup menurut salah satu pendapat fuqaha’ mazhab al-Syafie seperti yang dinyatakan di atas.

Kesimpulan

Melihatkan kepada nas dan hujah di atas, kami katakan bahawa puasa orang yang melakukan sahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang tersebut lupa menghadirkan niatnya secara khusus.

Namun begitu, seseorang yang hendak berpuasa wajib terutamanya di bulan Ramadhan ini, hendaklah meniatkan puasanya pada waktu malam dengan menghadirkan niat tersebut di dalam hati. Sekiranya, dia tidak melakukan hal ini, namun telah bersahur dan telah menahan diri apabila tiba waktu fajar, maka puasanya adalah sah.

Semoga kita mendapat taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin