اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-138: BOLEHKAH MENGQADA’ TARAWIH

 Screen Shot 2019 05 27 at 12.52.53 PM

SOALAN

 

Disebabkan kerja yang terlampau banyak sehingga memaksa saya untuk bekerja sehingga lewat malam. Bolehkah saya mengqada’kan tarawih yang saya tertinggal?

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Solat sunat tarawih adalah salah satu keistimewaan pada bulan Ramadhan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan oleh hadith Nabi SAW:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan keimanan dan penuh pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Riwayat al-Bukhari (37) Muslim (759)

Imam al-Nawawi menyatakan maksud ‘mendirikan’ yang disebutkan di dalam hadith adalah solat sunat qiyam atau solat sunat tarawih. Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim (7/378).

Hukum solat tarawih adalah sunat seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas. Solat sunat tarawih ini menjadi sunat kerana terdapat qarinah yang menyebabkan solat sunat ini tidak menjadi wajib. Hal ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Urwah RA bahawa Aisyah R.Anha telah memberitahunya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ، فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ، فَصَلَّوْا مَعَهُ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَصَلَّى، فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ، فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَىَّ مَكَانُكُمْ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah keluar pada tengah malam lalu solat di masjid dan beberapa orang lelaki pun solat bersama Baginda, maka keesokan paginya manusia membincangkan hal itu sehinggakan pada malam berikutnya manusia berkumpul lebih ramai lalu mereka solat bersama bersama Baginda. Pada keesokan paginya mereka kembali membincangkan hal tersebut, maka pada malam ketiga jumlah jemaah masjid makin bertambah lalu Rasulullah SAW keluar dari rumahnya melaksanakan solat dan mereka solat bersama Baginda. Pada malam keempat masjid sudah tidak mampu menampung jumlah jama’ah, hingga Baginda keluar untuk melaksanakan solat Subuh, setelah Baginda selesai menunaikan solat Subuh, beliau memaling ke arah jemaah lalu bersyahadat kemudian bersabda: “Amma ba’du, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kalian lakukan (semalam) akan tetapi aku (tidak hadir ke mesjid) kerana bimbang andai kelak difardhukan ke atas kamu sehingga kamu tidak sanggup melaksanakannya” 

Hadith di atas sangat jelas menunjukkan solat sunat tarawih itu tidak wajib dan kekal sebagai salah suatu amalan sunat yang disyariatkan. Maka, berdasarkan hal ini, para ulama’ berbeza pendapat sama ada solat sunat tarawih yang hanya sunat ini boleh diqada’kan atau tidak.

  • Pendapat paling sahih di sisi Mazhab Imam Abu Hanifah dan pendapat Mazhab Imam Ahmad menyatakan tidak diqada’kan solat sunat tarawih apabila sudah terkeluar daripada waktunya iaitu dengan masuknya waktu subuh. Lihat Rad al-Mukhtar (1/473) dan Kasyf al-Qina’ (1/426).
  • Di sisi mazhab Imam al-Syafie pula menyebutkan secara umum bagi mereka yang meninggalkan solat-solat sunat pada waktunya, boleh diqada’kan. Ini seperti mana yang dinukilkan pendapat Imam al-Nawawi:

لَوْ فَاتَ النَّفَل الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الأْظْهَرِ

Maksudnya: Sekiranya tertinggal amalan sunat yang mempunyai waktu khusus, disunatkan untuk mengqada’kannya pada pendapat yang paling zahir. Lihat Mughni al-Muhtaj (1/224).

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa solat sunat tarawih boleh diqada’kan apabila terlepas daripada waktunya. Hal ini kerana pahala orang yang mendirikan solat sunat tarawih sangat besar selain bulan Ramadhan ini adalah bulan ibadah. Setiap ibadah yang tertinggal itu sangat sayang untuk dibiarkan begitu sahaja.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk menghidupkan Ramadhan dengan ibadah kepada Allah SWT. Amin