اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-139 : PUASA WANITA YANG BELUM MANDI WAJIB AKIBAT HAID TETAPI SUDAH BERNIAT PUASA SEBULAN

IFKR139

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz.

‘Period’ dah habis tapi tak perasan dah tidak ada dan tidak sempat mandi wajib paginya, tetapi dah niat puasa sebulan dan berpuasa pada hari itu, balik rumah petang baru mandi wajib, adakah sah puasanya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Kami sudah menjawab isu berniat puasa selama sebulan dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #74: Niat Puasa Setiap Malam Atau Niat 30 Hari Sekaligus?. Kesimpulannya, diharuskan untuk berniat puasa selama sebulan sebagai langkah ihtiyat (berjaga-jaga) pada awal Ramadhan di samping beriltizam untuk berniat puasa setiap malam. Justeru, jika seseorang itu lupa untuk berniat pada malamnya tetapi sudah berniat sebulan, maka puasanya di bukan Ramadhan pada hari itu sah, dan niat itu memadai mengikut pendapat sebahagian ulama Syafieyyah dan mazhab Maliki.

Namun suka untuk kami sebutkan di sini bahawa menjadi tanggungjawab seorang Muslimah untuk memerhatikan kesucian dirinya khususnya tentang waktu berhenti darah haid. Ini kerana ia tidak hanya berkait dengan ibadah puasa, tetapi juga dengan ibadah solat yang lebih utama. Wajib untuk setiap wanita Islam untuk memeriksa kesucian dirinya pada setiap waktu solat. Firman Allah Taala:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’: 103)

Sengaja meninggalkan bersuci seperti mandi wajib dan wuduk, dan tidak menunaikan solat Subuh adalah dosa besar yang tidak wajar dipandang remeh. Begitu juga, untuk solat Zohor dan Asar.

Akhir kalam, kami berpesan agar saudari yang bertanya untuk lebih berhati-hati, bertaubat daripada kesilapan dan mendalami ilmu tentang bersuci agar puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan mulia ini tidak menjadi sia-sia pahalanya, seperti Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. 

Riwayat Ibnu Majah (no.1690). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik.

Kami telah menghuraikan isu ini dengan menyebutkan keterangan para ulama dalam artikel Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-46 : Hukum Orang Yang Berpuasa Tetapi Tidak Sembahyang.

Wallahua’lam.