اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-178 : ADAKAH TUNTUTAN UNTUK MENGKHATAMKAN AL-QURAN DI BULAN RAMADAN?

IFKR178

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah terdapat tuntutan untuk kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan? Ini kerana saya ada terdengar bahawa kita wajib khatam al-Quran sekali setahun iaitu dalam bulan Ramadan.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan Ramadan termasuk amalan membaca al-Quran. Justeru, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali di bulan Ramadan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan para salafussoleh. Walau bagaimanapun, tiada perintah atau arahan yang khusus daripada syarak yang berbentuk wajib untuk kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan. Justeru itu, galakan dan saranan tersebut berbentuk sunat dan bukannya wajib.

Oleh yang demikian, jika sekiranya seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan dalam keadaan dia mampu, maka ia tidaklah dikira berdosa, namun sesungguhnya dia telah terlepas kebaikan dan kelebihan yang banyak. Justeru, marilah kita berusaha untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan mulia ini dan mengkhatamkannya lebih daripada sekali jika mampu, insha Allah. WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Bulan Ramadan amat sinonim dengan al-Quran kerana di dalam bulan ini diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi sekelian manusia. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Surah al-Baqarah: 183

Begitu juga, kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadah di bulan Ramadan kerana setiap amal ibadah yang dilakukan di dalam bulan ini akan dilipat-gandakan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi.

Riwayat Muslim

Menurut satu hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ، كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً، كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan amalan sunat daripada perkara kebaikan di dalamnya (bulan Ramadan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardu (di bulan Ramadan), sama seperti pahalanya menunaikan 70 amalan fardu di bulan-bulan yang lain.

Sahih Ibn Khuzaimah (1887)

Antara amal-amal ibadah yang digalakkan untuk diperbanyakkan di bulan Ramadan termasuklah juga membaca al-Quran. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri bertadarus bersama Jibril di malam hari bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.

Riwayat al-Bukhari (3220)

Walau bagaimanapun, tiada perintah atau arahan yang khusus daripada syarak yang berbentuk wajib supaya kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan. Kewajipan di dalam Islam ialah apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata:

أَنَّ أَعرابِيًّا أَتى النَّبِيَّ ﷺ فَقَال: يَا رَسُول اللَّهِ دُلَّني عَلَى عمَل إِذا عمِلْتُهُ، دخَلْتُ الجنَّةَ. قَالَ: تَعْبُدُ اللَّه وَلاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكاَة المَفْرُوضَةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ قَالَ: وَالذي نَفْسِي بِيَدِهِ، لا أَزيدُ عَلى هَذَا. فَلَمَّا وَلَّى، قالَ النَّبِيُّ ﷺ: مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ فَلْيَنْظُرْ إِلى هَذَا

Maksudnya: Seorang Arab Badwi datang menghadap Rasulullah SAW kemudian berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tunjukkanlah kepadaku kepada amalan yang mana jika aku lakukannya maka aku akan masuk syurga.” Sabda Rasulullah SAW: “Kamu menyembah Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain. Kamu mendirikan solat, menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan. Lalu dia berkata: “Demi Allah SWT yang diriku berada di dalam kekuasaannya, aku tidak akan menambah lebih dari apa yang disebutkan ini.” Maka apabila dia telah beredar, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka untuk melihat seseorang dalam kalangan ahli syurga, maka lihatlah dia ini.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis di atas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu melaksanakan apa yang wajib ke atasnya, walaupun tanpa menambah amalan sunat yang lain, maka ia akan dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam syurga-Nya. Oleh yang demikian, semua galakan dan saranan untuk mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan tersebut adalah sunat dan tidak sampai menjadi suatu kewajiban. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi di dalam Nihayat al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin bahawa:

وَالتَّاسِع ختم الْقُرْآن فِي جَمِيع رَمَضَان

Maksudnya: (Sunat puasa) ke-9 : Mengkhatamkan al-Quran di keseluruhan bulan Ramadan.[1] (Rujuk Nihayat al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin: 195)

Disunatkan juga untuk mengkhatamkan al-Quran dalam solat sunat tarawih iaitu dengan dibaca satu juzuk pada setiap malam yang dibahagikan kepada 20 rakaat.[2]Selain itu juga, amalan memperbanyakkan bacaan dan mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan juga merupakan adat kebiasaan para sahabat, tabi’in dan ulama salaf. Contohnya:

  • Diriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha'ie, seorang tabi’in iaitu al-Aswad Ibn Yazid mengkhatamkan al-Quran pada setiap dua malam pada bulan Ramadan.
  • Begitu juga, Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam masa tujuh hari, apabila tiba bulan Ramadan beliau mengkhatamkan dalam masa tiga hari dan apabila tiba sepuluh terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.
  • Mujahid pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak sekali pada setiap malam di bulan Ramadan.
  • Manakala  Imam al-Syafie pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di dalam bulan Ramadan sepertimana yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sepertimana dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.

Oleh itu, hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikut Rasulullah SAW dan para salaf dalam memperbanyakkan bacaan al-Quran sehingga khatam bahkan lebih daripada sekali jika mampu. Jika sekiranya seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan dalam keadaan dia mampu, maka tidaklah dikira berdosa, namun sesungguhnya dia telah terlepas banyak kebaikan dan kelebihan.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Jawi, Muhammad Nawawi, Nihayat al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 195.

[2] I’anah al-Talibin ‘ala Alfaz Fath al-Mu’in (1/307) dan al-Khulasah al-Fiqhiah ala Mazhab Sadah al-Malikiyyah (1/133)