اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-184 : ADAKAH MEMADAI MEMBACA DOA IFTITAH DI RAKAAT PERTAMA SOLAT TARAWIH?

ifr

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Maaf mengganggu ustaz. Saya ada satu persoalan berkenaan Solat Tarawih. Adakah memadai membaca doa iftitah pada rakaat pertama solat Tarawih dan tidak perlu lagi baca pada set rakaat yang seterusnya?. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Tidak memadai membaca doa Iftitah pada rakaat pertama solat Tarawih yang terawal sahaja tetapi ia disunatkan untuk membaca doa Iftitah pada setiap permulaan rakaat yang pertama bagi setiap dua rakaat solat sunat Tarawih yang dilakukan. Walaupun membaca doa Iftitah merupakan perkara sunat namun ia amat digalakkan untuk mencapai kesempurnaan solat.

Huraian jawapan :

Doa iftitah adalah bacaan yang dibaca sebelum membaca Surah Al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA. Beliau berkata :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌إِذَا ‌افْتَتَحَ ‌الصَّلَاةَ قَالَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

“Apabila Baginda Nabi SAW memulakan solat, Baginda akan membaca : Maha Suci Engkau wahai Allah dan segala puji bagi Engkau. Nama-Mu penuh berkat dan Maha Tinggi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”[1]

Membaca doa iftitah adalah antara perkara sunat yang dituntut untuk dibaca di dalam solat. Imam Al-Nawawi menjelaskan :

الرابع: القراءة ويسن بعد التحرم دعاء الافتتاح

“(Rukun) Yang keempat adalah membaca Al-Fatihah dan disunatkan selepas takbiratul ihram untuk membaca doa Iftitah.”[2]

Ianya sunat dibaca pada permulaan rakaat yang pertama sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :

وهذا الذى ذكره مِنْ اسْتِحْبَابِ دُعَاءِ الِاسْتِفْتَاحِ لِكُلِّ مُصَلٍّ يَدْخُلُ فِيهَا النَّوَافِلُ الْمُرَتَّبَةُ وَالْمُطْلَقَةُ وَالْعِيدُ وَالْكُسُوفُ فِي الْقِيَامِ الْأَوَّلِ وَالِاسْتِسْقَاءُ وغيرها يستثني مِنْهُ مَوْضِعَانِ

“Perkara yang disebutkan ini menjelaskan sunatnya membaca doa Iftitah bagi setiap orang yang mendirikan solat. Ianya termasuk juga solat Sunat Rawatib, solat Sunat Mutlak, Solat Sunat Hari Raya, Solat Solat Gerhana dan lain-lain pada permulaan qiyam yang pertama (rakaat pertama). Bacaan tersebut dikecualikan pada dua tempat (iaitu Solat Jenazah dan orang yang masbuk).”[3]

Perkara ini juga dijelaskan oleh Sheikh Zakariya Al-Ansari :

(فَصْلٌ وَلْيَأْتِ) نَدْبًا (عَقِبَ التَّكْبِيرِ) لِلْإِحْرَامِ وَلَوْ لِلنَّفْلِ (بِدُعَاءِ الِاسْتِفْتَاحِ) سِرًّا

“Fasal berkenaan sunat membaca doa Istiftah sejurus selepas Takbiratul Ihram walaupun dalam solat sunat yang dibaca secara perlahan.”[4]

Ianya disunatkan untuk dibaca pada setiap permulaan rakaat yang pertama termasuklah solat Sunat Tarawih. Justeru, tidak memadai membaca doa Iftitah pada rakaat pertama solat Tarawih yang terawal sahaja tetapi ia disunatkan untuk dibaca pada setiap permulaan rakaat yang pertama bagi setiap dua rakaat solat sunat Tarawih yang dilakukan.

Sheikh Muhammad Ali ‘Allan memperingatkan bahawa kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika Solat Tarawih adalah meninggalkan doa Iftitah, tasbih dan perkara sunat yang lain. Ia dianggap sebagai bermudah-mudah meninggalkan perkara sunat. Sedangkan perkara sunat itu membawa kepada kesempurnaan solat.[5]

Di samping itu, doa iftitah boleh dipendekkan seperti yang disebutkan dalam hadis

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Selain itu, boleh juga dibaca doa iftitah yang pendek sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadis di atas iaitu :

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Kesimpulannya, tidak memadai membaca doa Iftitah pada rakaat pertama solat Tarawih yang terawal sahaja tetapi ia disunatkan untuk membaca doa iftitah pada setiap permulaan rakaat yang pertama bagi setiap dua rakaat solat sunat Tarawih yang dilakukan. Walaupun membaca doa Iftitah merupakan perkara sunat namun ia amat digalakkan untuk mencapai kesempurnaan solat.

 

Nota Hujung :

[1] Riwayat Al-Tirmizi no 243, Sunan Al-Tirmizi (1975), Syarikat Pencetakan Al-Babi Al-Halabi, Mesir,  j.2 h.11

[2] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Minhaj Al-Talibin (2005), Dar Al-Fikr, Beirut, h.26

[3] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Dar Al-Fikr, Beirut, j.3 h.319.

[4] Abu Yahya Al-Ansari, Zakariya Bin Muhammad, Dar Al-Kitab Al-Islami, j. 1 h.148

[5] Al-Bakri Al-Siddiqi, Muhammad Ali ‘Allan, Al-Futuhat Al-Rabbaniyah ‘ala Al-Azkar Al-Nawawiyah(2009) , Al-Maktabah Al-‘Asriyah, Beriut, j. 1 h.454.