اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 214: ENAM KEADAAN YANG MEWAJIBKAN SESEORANG UNTUK IMSAK (MENAHAN DIRI DARI MAKAN DAN MINUM) KETIKA SIANG RAMADAN

ENAM KEADAAN YANG MEWAJIBKAN SESEORANG UNTUK IMSAK MENAHAN DIRI DARI MAKAN DAN MINUM KETIKA SIANG RAMADAN

 

Soalan

Assalamualaikum, Saya pernah bersahur kemudian saya sedar bahawa waktu subuh telah lama masuk. Kawan saya kata puasa saya terbatal tetapi saya tetap tidak boleh makan dan minum walaupun saya dianggap tidak berpuasa pada hari tersebut. Benarkah terdapat keadaan tertentu yang apabila seseorang dikira tidak berpuasa namun dia tetap perlu untuk menahan diri dari makan dan minum?

Ringkasan Jawapan

Dalam artikel yang bertajuk: Menyangka Fajar Belum Terbit Atau Maghrib Sudah Masuk kami telah bincangkan mengenai hukum seseorang yang bersahur sedangkan waktu subuh telah masuk. Imsak bermaksud menahan diri dari makan dan minum. Terdapat beberapa keadaan yang mewajibkan seseorang untuk menahan diri dari makan dan minum disamping dia wajib mengantikan puasanya pada hari tersebut. Syeikh Salim al-Hadrami menyebutkan enam keadaan yang mewajibkan seseorang untuk melakukan imsak iaitu:

  1. Orang yang segaja berbuka puasa pada siang hari Ramadan.
  2. Tidak berniat puasa pada waktu malam.
  3. Orang yang bersahur dengan menyangka waktu subuh belum lagi masuk kemudian ternyata subuh telah masuk.
  4. Orang yang menyangka bahawa waktu berbuka (maghrib) telah masuk namun ternyata dia tersalah.
  5. Seseorang yang mengetahui pada siang 30 syaaban bahawa bulan Ramadan telah masuk.
  6. Orang yang tertelan air dengan sebab melampau dalam melakukan kumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

Walaupun pada hari tersebut dia dianggap tidak berpuasa namun dia tetap diwajibkan menahan diri dari makan dan minum sebagai menghormati kemulian bulan Ramadan.

Huraian Jawapan

Dalam artikel yang bertajuk: Menyangka Fajar Belum Terbit Atau Maghrib Sudah Masuk kami telah bincangkan mengenai hukum seseorang yang bersahur sedangkan waktu subuh telah masuk. Menurut mazhab Syafi’i terdapat beberapa keadaan yang apabila seseorang itu melakukannya maka dia perlu mengantikan puasanya disamping dia perlu menahan dirinya dari makan dan minum. Seorang yang berbuka puasa tanpa keuzuran atau kerana tersilap tidak dibenarkan untuk makan atau minum sebagai menghormati kemulian bulan Ramadan[1]. Imam al-Malibari berkata:

(وَ) يَجِبُ (إِمْسَاكٌ) عَنْ مُفْطِرٍ (فِيْهِ) أيْ رَمَضَانَ فَقَطْ، دُوْنَ نَحْوِ نَذَرٍ وَقَضَاءٍ، (إِنْ أَفْطَرَ بِغَيْرِ عُذْرٍ) مِنْ مَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ، (أَوْ بِغَلَطٍ)

Maksudnya:Seseorang itu wajib menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa ketika puasa Ramadan sahaja - tidak pada puasa nazar atau qada’ - , jika dia berbuka puasa tanpa keuzuran seperti keuzuran sakit atau musafir atau berbuka puasa dengan sebab tersilap[2].

Dalam Matn Safinah al-Najah disebutkan bahawa terdapat 6 keadaan yang mewajibkan seseorang untuk melakukan imsak iaitu:

  1. Orang yang segaja berbuka puasa pada siang bulan Ramadan.
  2. Tidak melakukan niat berpuasa pada waktu malam.
  3. Orang yang bersahur dengan menyangka waktu subuh belum lagi masuk kemudian ternyata subuh telah masuk.
  4. Orang yang menyangka bahawa waktu berbuka (maghrib) telah masuk namun ternyata dia tersalah.
  5. Ketika siang 30 sya’ban dia mengetahui bahawa bulan Ramadan telah masuk.
  1. Seseorang yang mengetahui pada siang 30 sya’ban bahawa bulan Ramadan telah masuk[3].

Antara alasan yang dikemukakan oleh ulama syafi’iyyah ialah kerana pada asalnya seorang muslim diharamkan untuk makan atau minum di siang Ramadan. Oleh kerana dia terlepas untuk berpuasa sama ada disebabkan oleh kecuaian atau tidak pengharaman itu masih kekal dan dia tetap perlu menahan diri dari makan dan minum. Imam al-Rafi’i dalam hal ini berkata:

وَيَجُوْزُ أَنْ يُوَجَّهَ الأَمْرُ بِالِإِمْسَاكِ بِأَنَّ الأَكْلَ فِي نَهَارِ رَمَضَانَ حَرَامٌ عَلَي غَيْرِ الـمَعْذُوْرِ فَإِنْ فَاتَهُ الصَوْمُ بِتَقْصِيْرٍ أَوْ غَيْرِ تَقْصِيْرٍ لَمْ يَرْتَفِعْ التَحْرِيْمُ

Maksudnya: “Boleh diberikan alasan mengenai perintah untuk melakukan imsak disebabkan ketika siang Ramadan diharamkan bagi orang yang tiada keuzuran untuk makan. Jika dia terlepas untuk berpuasa sama ada dengan jalan sengaja atau tidak pengharaman itu masih tidak terangkat darinya[4].”

Walaupun dia menahan dirinya dari segala perkara yang membatalkan puasa namun dia tetap tidak dianggap sebagai telah melakukan puasa yang fardu dan dia wajib mengantikan puasa pada hari tersebut. Selain itu dia juga berdosa jika melakukan jimak pada hari tersebut meskipun dia tidak wajib untuk melakukan kafarah disamping dimakruhkan untuk menghidu bauan yang wangi dan bersiwak setalah tenggelamnya matahari mengikut pendapat yang muktamad[5]. Walau bagaimanapun terdapat 3 golongan yang hanya disunatkan untuk melakukan imsak iaitu:

  1. Orang yang sakit tetapi kemudian sembuh.
  2. Seorang musafir yang tidak berpuasa dan tiba di rumahnya pada waktu siang Ramadan.
  3. Perempuan haid yang suci ketika siang Ramadan[6]

Tuntasnya, ulama syafiiyah merumuskan bahawa “setiap orang yang tidak memiliki keuzuran untuk berbuka puasa sedangkan dia mengetahui pada waktu itu ialah bulan Ramadan maka dia wajib melakukan imsak iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa[7].”

WallahuA'lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Dimyati, Ianah al-Talibin ala Hill al-Alfaz Fath al-Muin, Beirut: Dar al-Fikr (1997), jld. 2, hlm. 268.

[2] Ibid.

[3] Syeikh Salim al-Hadrami, Matn Safinah al-Naja,  Qahirah: Mustafa al-Bab al-Halabi (t.t), hlm. 9.

ويجب مع القضاء الإمساك للصوم في ستة مواضع:الأول في رمضان لافي غيره على متعد بفطره، والثاني على تارك النية ليلا في الفرض، والثالث على من تسحر ظانا بقاء الليل فبان خلافة أيضا ، والرابع على من افطر ظانا الغروب فبان خلافه ايضا ، والخامس على من بان له يوم ثلاثين من شعبان أنه من رمضان ، والسادس على من سبقه ماء المبالغة من مضمضة واستنشاق

[4] Imam al-Rafie, Syarh al-Kabir, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 6, hlm. 435.

[5]  Al-Dimyati, Ianah al-Talibin ala Hill al-Alfaz Fath al-Muin, Beirut: Dar al-Fikr (1997), jld. 2, hlm. 268.

(قوله: وليس الممسك في صوم شرعي) قال ع ش: ومع ذلك، فالظاهر أنه يثبت له أحكام الصائمين، فيكره له شم الرياحين ونحوهما.

ويؤيده كراهة السواك في حقه بعد الزوال - على المعتمد.

اه.

(قوله: لكنه يثاب عليه) أي الإمساك، وهو استدراك من عدم كونه صوما شرعيا.

(قوله: فيأثم) لا معنى للتفريع، فالمناسب التعبير بالواو، وتكون عاطفة مدخولها على يثاب، فيصير في

حيز الاستدراك.

أي لكنه يثاب، ولكنه يأثم بجماع، ومثل الجماع كل محظور.

(وقوله: ولا كفارة) أي ومع الإثم في الجماع لا يلزمه كفارة عليه، لأنه ليس صوما حقيقيا.

[6]  Ibid.

 وليس الممسك في صوم شرعي، لكنه يثاب عليه، فيأثم بجماع، ولا كفارة.

وندب إمساك لمريض شفي، ومسافر قدم أثناء النهار مفطرا، وحائض طهرت أثناءه

[7] Ghayah al-Muna Syarh Safinah al-Naja. Yaman: Maktabah Tarim al-Hadisah (2008),  Hlm. 483.

يجمعها قاعدة أن كل من لا يجوز له الإفطار مع علمه بحقيقة اليوم يلزمه الإمساك