اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 218: MANAKAH YANG LEBIH UTAMA, MENGKHATAMKAN AL-QURAN ATAU MEMBACANYA DENGAN TARTIL DAN TADABBUR?

MANAKAH YANG LEBIH UTAMA MENGKHATAMKAN AL QURAN ATAU MEMBACANYA DENGAN TARTIL DAN TADABBUR

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya melihat ramai kawan-kawan saya yang berlumba-lumba untuk mengkhatamkan al-Quran khususnya di bulan Ramadan, ada yang sempat khatam 2-3 kali dalam sebulan dengan bacaan yang laju. Cuma persoalan saya, manakah yang lebih utama antara membaca al-Quran dengan laju supaya dapat mengkhatam al-Quran berulang kali atau membacanya dengan tartil dan tadabbur?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Secara asasnya, tadabbur adalah lebih utama dan lebih penting berbanding memperbanyakkan tilawah al-Quran kerana ia merupakan tujuan al-Quran diturunkan kepada umat manusia.

Walau bagaimanapun, di bulan Ramadan ini kita disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana fadilat yang ada di dalamnya sepertimana yang disebutkan Ibn Rajab al-Hambali. Begitu juga dapat dilihat pada amalan golongan salaf yang menumpukan kepada memperbanyakkan khatam al-Quran di bulan Ramadan berbanding tadabbur.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, antara tujuan al-Quran diturunkan kepada umat manusia adalah untuk ditadabbur maknanya dan difikirkan rahsia keajaibannya.[1] Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

 (Surah Sad: 29)

Bahkan, terdapat empat ayat di dalam al-Quran berkaitan perintah untuk mentadabbur al-Quran ini dan kesemuanya diturunkan dalam konteks untuk mencela sikap golongan munafiq dan golongan kafir yang tidak mahu untuk mentadabburnya.[2] Antaranya firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Maksudnya: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

(Surah al-Nisa’: 82)

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

(Surah Muhammad: 24)

Hal ini menunjukkan keutamaan dan kepentingan tadabbur al-Quran berbanding hanya memperbanyakkan bacaan tanpa memahami isi kandungannya. Oleh itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa apabila seseorang membaca ayat al-Quran, maka hendaklah dia membaca dengan khusyuk dan mentadabbur maknanya kerana ia suatu perkara yang dituntut dan merupakan tujuan al-Quran diturunkan. Perbuatan tersebut akan menjadikan hatinya lapang dan mendapat petunjuk.[3]

Selain itu hadis daripada Abdullah Ibn Amru bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berapa harikah dia harus mengkhatamkan al-Quran[4], maka Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَفْقَهْ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَل مِنْ ثَلاَثٍ

Maksudnya: Tidak akan difahami (makna al-Quran) bagi sesiapa yang mengkhatamkannya kurang daripada tiga hari.

(Riwayat al-Tirmidzi: 2949)

Imam al-Tirmidzi menyebutkan selepas meriwayatkan hadis ini dalam Sunan-nya bahawa:

وَالتَّرْتِيلُ فِي القِرَاءَةِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِ العِلْمِ

Maksudnya: Bacaan al-Quran secara tartil adalah lebih disukai di sisi para ahli ilmu.[5]

Hal ini kerana pada kebiasaan seseorang yang mengkhatamkan al-Quran dalam masa tiga hari akan membacanya dengan laju tanpa memperhatikan makna ayat-ayat yang dibacanya. Justeru, membacanya dengan perlahan dan tenang akan memberikan peluang untuk mentadabbur dan memahami maknanya.[6]

Namun begitu, larangan mengkhatamkan al-Quran kurang daripada tiga hari di atas bukanlah sesuatu perkara yang haram, manakala perintah mengkhatamkannya dalam sebulan pula bukanlah sesuatu yang wajib.[7] Imam al-Nawawi menerangkan bahawa jumlah khatam tersebut adalah berdasarkan kepada kemampuan seseorang untuk memahami ayat-ayat yang dibacanya. Kata beliau:

والاختيار أن ذلك يختلف باختلاف الأشخاص فمن كان يظهر له بدقيق الفكر لطائف ومعارف فليقتصر على قدر ما يحصل له كمال فهم ما يقرؤه.

Maksudnya: Pandangan yang dipilih dalam perbahasan ini ialah kemampuan setiap seorang berbeza dengan yang lain. Sesiapa yang mampu untuk memahami makna dan rahsia al-Quran dengan ketajaman fikirannya maka hendaklah dia berpada dengan kadar yang mampu untuk dia menyempurnakan kefahaman apa yang dibacanya.[8] (Rujuk al-Tibyan, 1:61)

Oleh yang demikian, jika seseorang mampu untuk memahami dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran dengan sempurna dengan membacanya secara laju, maka diharuskan baginya untuk melakukan sedemikian.

Di samping itu, Ibn Rajab al-Hambali menyatakan bahawa apabila seseorang berada di dalam waktu atau tempat yang mulia seperti bulan Ramadan atau berada di kota suci Mekah, maka dia disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Kata beliau:

وإنّما ورد النهي عن قراءة القرآن في أقلّ من ثلاث على المداومة على ذلك. فأمّا في الأوقات المفضّلة كشهر رمضان، خصوصا الليالى التى يطلب فيها ليلة القدر أو في الأماكن المفضّلة كمكّة -شرفها الله- لمن دخلها من غير أهلها، فليستحبّ الإكثار فيها من تلاوة القرآن اغتنما للزمان والمكان.

Maksudnya: Adapun larangan mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh kurang daripada tiga hari adalah jika seseorang berterusan melakukan sedemikian. Walau bagaimanapun, jika seseorang berada pada waktu yang afdal seperti bulan Ramadan khususnya pada malam-malam yang diharapkan untuk mendapat Lailatul qadar atau di tempat yang afdal seperti di kota suci Mekah bagi sesiapa yang bukan daripada penduduknya, maka disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran bagi merebut peluang kemuliaan masa dan tempat tersebut.[9] (Rujuk Lataif al-Maarif: 319)

Berkaitan persoalan ini juga, Ibn Qayyim al-Jawziah menyebutkan khilaf dalam perkara ini kepada dua pandangan:

Pandangan pertama: Pandangan Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas bahawa membaca al-Quran dengan tartil dan tadabbur walaupun sedikit bacaannya adalah lebih afdal berbanding membaca al-Quran dengan laju dan banyak bacaannya. Ini kerana tujuan penurunan al-Quran adalah untuk difahami, dipelajari dan ditadabbur ayat-ayatnya. Adapun membaca dan menghafalnya adalah salah satu cara untuk sampai kepada tujuan tersebut iaitu untuk mengetahui makna-maknanya.[10]

Pandangan kedua: Pandangan daripada para ulama mazhab al-Syafie bahawa bacaan yang banyak lebih afdal berdasarkan hadis Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka dia mendapat pahala dan digandakan pahala tersebut sepuluh kali ganda. Aku tidak katakan ‘الم’ satu huruf, namun ‘ا’  satu huruf, ‘ل’ satu huruf dan ‘م’ satu huruf.” Hadis sahih riwayat al-Tirmidzi.[11]

Di sisi Ibn Qayyim, pandangan yang benar baginya ialah pahala membaca al-Quran secara tartil dan tadabbur adalah lebih besar dan tinggi darjatnya, manakala pahala membaca al-Quran dengan bacaan yang banyak adalah lebih banyak pahalanya.[12]

Kesimpulan

Kesimpulannya, secara asas tadabbur adalah lebih utama dan lebih penting berbanding sekadar memperbanyakkan bacaan kerana ia merupakan tujuan al-Quran diturunkan.

Apa yang dapat disarankan dalam hal ini pada bulan-bulan biasa ialah seseorang boleh membahagikan bacaannya dalam sehari kepada dua iaitu; pertama, bacaan untuk tadabbur yang mengambil masa yang lama untuk khatam dan kedua bacaan untuk khatam. Hal ini supaya kita mendapat menghimpunkan kedua-dua kebaikan iaitu pahala tadabbur dan pahala banyak membaca al-Quran.

Namun begitu, jika seseorang berada dalam masa atau tempat yang afdal seperti di bulan Ramadan atau di kota suci Mekah, maka disunatkan baginya untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran untuk mengambil peluang fadilatnya. Begitu juga dapat dilihat pada amalan golongan salaf yang menumpukan kepada memperbanyakkan khatam al-Quran di bulan Ramadan berbanding tadabbur.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] {ليدبروا آيَاتِهِ} أي أنزالناه ليتدبروا آياته ويتفكروا بما فيها من الأسرار العجيبة، والحكم الجليلة. (صفوة التفاسير، دار الصابوني، ج 3، ص 53)

[2] وقد جاءَ الأمرُ بتدبُّرِ القرآنِ في أربعةِ مواضعَ من القرآنِ، والعجيبُ أنَّ آيتينِ نزلتْ في سياقِ المنافقينَ، وهما قوله تعالى: (أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفًا كَثِيرًا) [النساء: 82] ، وقوله تعالى: (أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا) [محمد: 24] .

وجاءت آيتانِ في سياقِ الكفَّارِ، وهما قوله تعالى: (أَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا الْقَوْلَ أَمْ جَاءهُم مَّا لَمْ يَأْتِ آبَاءهُمُ الْأَوَّلِينَ) [المؤمنون: 68] ، وقوله تعالى: (كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الأَلْبَابِ) [ص: 29]. (مفهوم التفسير والتأويل والاستنباط والتدبر والمفسر، ج 1، ص 185)

[3] فَإِذَا شَرَعَ فِي الْقِرَاءَةِ فَلْيَكُنْ شَأْنُهُ الْخُشُوعَ وَالتَّدَبُّرَ وَالْخُضُوعَ فَهُوَ الْمَطْلُوبُ وَالْمَقْصُودُ وَبِهِ تَنْشَرِحُ الصُّدُورُ وَتَسْتَنِيرُ الْقُلُوبُ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى (كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ) وقال تعالى (أفلا يتدبرون القرآن) وَالْأَحَادِيثُ فِيهِ كَثِيرَةٌ. (المجموع شرح المهذب، ج 2، ص 164)

[4] فَقَالَ: «اقْرَإِ القُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ» ، قَالَ: إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ فَمَا زَالَ، حَتَّى قَالَ: «فِي ثَلاَثٍ». (صحيح البخاري، دار طوق النجاة، ج 3، ص 40، 1978)

[5] Al-Tirmidzi, Muhammad Ibn Isa, 1975, Sunan al-Tirmidzi, Maktabah Mustafa al-Halabi, jld. 5, hlmn. 196.

[6] ذلك أنّ الأناة في القراءة تتيح الفرصة للتأمل والتدبّر، وهو الغاية المنشودة من القراءة. (كيف نتعامل مع القرآن العظيم؟، دار الشروق، ص 170)

[7] وقد فسر الحافظُ ابنُ حجر في "الفتح" 9/97 تعدد الروايات بتعدد القصة، وقال: لا مانع أن يتعدد قول النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لعبد الله بن عمرو ذلك تأكيداً، ويؤيده الاختلاف الواقع في السياق، وكأن النهي عن الزيادة ليس على التحريم، كما أن الأمر في جميع ذلك ليس للوجوب، وعرف ذلك من قرائن الحال التي أرشد إليها السياق، وهو النظر إلى عجزه عن سوى ذلك في الحال أو في المآل. وقال النووي: والاختيار أن ذلك يختلف باختلاف الأشخاص، فمن كان من أهل الفهم وتدقيق الفكر، استحب له أن يقتصر على القدر الذي لا يختل به المقصود من التدبر، واستخراج المعاني، وكذا من كان له شغل بالعلم، أو غيره من مهمات الدين ومصالح المسلمين العامة، يستحب له أن يقتصر منه على القدر الذي لا يخل بما هو فيه، ومن لم يكن كذلك، فالأولى له الاستكثار من غير خروج إلى الملل، ولا يقرؤه هذرمة. (مسند الإمام أحمد بن حنبل ت شعيب الأرنؤوط، مؤسسة الرسالة، ج 11، ص 53)

[8] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1994, al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, Dar Ibn Hazm, jld. 1, hlmn. 61.

[9] Al-Hambali, Ibn Rajab, 1999, Lataif al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-‘Am Min al-Wazhaif, Dar Ibn Kathir, hlmn. 319.

[10] وَقَدِ اخْتَلَفَ النَّاسُ فِي الْأَفْضَلِ مِنَ التَّرْتِيلِ وَقِلَّةِ الْقِرَاءَةِ، أَوِ السُّرْعَةِ مَعَ كَثْرَةِ الْقِرَاءَةِ: أَيُّهُمَا أَفْضَلُ؟ عَلَى قَوْلَيْنِ.

فَذَهَبَ ابْنُ مَسْعُودٍ وَابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَغَيْرُهُمَا إِلَى أَنَّ التَّرْتِيلَ وَالتَّدَبُّرَ مَعَ قِلَّةِ الْقِرَاءَةِ أَفْضَلُ مِنْ سُرْعَةِ الْقِرَاءَةِ مَعَ كَثْرَتِهَا.

وَاحْتَجَّ أَرْبَابُ هَذَا الْقَوْلِ بِأَنَّ الْمَقْصُودَ مِنَ الْقِرَاءَةِ فَهْمُهُ وَتَدَبُّرُهُ، وَالْفِقْهُ فِيهِ وَالْعَمَلُ بِهِ، وَتِلَاوَتُهُ وَحِفْظُهُ وَسِيلَةٌ إِلَى مَعَانِيهِ. (زاد المعاد في هدي خير العباد، مؤسسة الرسالة، ج 1، ص 327)

[11] وَقَالَ أَصْحَابُ الشَّافِعِيِّ رَحِمَهُ اللَّهُ: كَثْرَةُ الْقِرَاءَةِ أَفَضْلُ، وَاحْتَجُّوا بِحَدِيثِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ، فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ: الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ». رَوَاهُ الترمذي وَصَحَّحَهُ. (زاد المعاد في هدي خير العباد، مؤسسة الرسالة، ج 1، ص 328)

[12] والصواب في المسألة أن يقال: إن ثواب قراءة الترتيل والتدبر أجلُّ وأرفع قدرا، وثواب كثرة القراءة أكثرُ عددا: فالأول: كمن تصدق بجوهرة عظيمة أو أعتق عبدا قيمته نفيسة جدا .والثاني: كمن تصدق بعدد كثير من الدراهم أو أعتق عددا من العبيد قيمتهم رخيصة. (زاد المعاد في هدي خير العباد، مؤسسة الرسالة، ج 1، ص 328)