Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, kadang-kadang kita berpuasa sebulan penuh iaitu selama 30 hari, dan kadang-kadang juga kita puasa hanya 29 hari, soalan saya, adakah terdapat perbezaan pada ganjaran pahala antara kedua-dua tempoh tersebut? Mohon jawapan daripada Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Pahala orang yang berpuasa 29 hari adalah sama sempurna seperti orang yang berpuasa 30 hari tanpa melihat kepada perbuatan sehariannya. Adapun apa yang terhasil daripada hari ke-30 itu dari sudut pahala wajib dan sunat sedari sahur sehinggalah berbuka, maka ia merupakan pahala tambahan yang diperoleh mereka yang berpuasa 30 berbanding 29 hari.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah :183)
Ayat ini merupakan dalil pensyariatan puasa ke atas seluruh umat Islam termasuklah juga ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana maklum, satu bulan itu kadangkala mengandungi 29 hari dan kadangkala genap 30 hari. Hal ini jelas berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang buta huruf, kami tidak pandai menulis dan tidak pandai mengira. Manakala sebulan itu adalah sekian-sekian, iaitu kadangkala 29 hari, dan kadangkala 30 hari.”
(Riwayat al-Bukhari :1913)
Begitu juga dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda:
«»الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» وَخَنَسَ الإِبْهَامَ فِي الثَّالِثَةِ
Maksudnya: “Sesuatu bulan itu adalah seperti ini dan seperti ini, kemudian Baginda menghubungkan ibu jari ke jari ketiga.”
(Riwayat al-Bukhari :1908)
Perubahan bilangan hari puasa dalam sebulan ini bukan hanya berlaku pada zaman kini, malah Baginda SAW juga pernah merasai puasa pada kedua-dua tempoh tersebut. Menurut sejarah, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan sebanyak 9 kali[1], iaitu sehinggalah Baginda wafat pada bulan Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah.
Syeikh al-Bujairami menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah berpuasa penuh sebulan iaitu 30 hari hanya sekali dalam hidup Baginda, manakala bagi baki lapan siri puasa Ramadan, Baginda berpuasa sebanyak 29 hari[2]. Terdapat juga beberapa pandangan yang mengatakan bahawa Baginda berpuasa penuh 30 hari sebanyak dua kali[3] dan ada juga yang mendakwa Baginda berpuasa 30 hari sebanyak 4 kali[4].
Sehubungan dengan itu, timbul persoalan berkenaan adakah sama pahala puasa sebanyak 29 hari dengan mereka yang berpuasa selama 30 hari? Syeikh al-Bujairami menjawab:
وَالنَّاقِصُ كَالْكَامِلِ فِي الثَّوَابِ الْمُرَتَّبِ عَلَى رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ نَظَرٍ لِأَيَّامِهِ، أَمَّا مَا يَتَرَتَّبُ عَلَى يَوْمِ الثَّلَاثِينَ مِنْ ثَوَابِ وَاجِبِهِ وَمَنْدُوبِهِ عِنْدَ سُحُورِهِ وَفُطُورِهِ فَهُوَ زِيَادَةٌ يَفُوقُ الْكَامِلُ بِهَا النَّاقِصَ
Maksudnya: “Pahala orang yang berpuasa 29 hari adalah sama sempurna seperti orang yang berpuasa 30 hari tanpa melihat kepada perbuatan sehariannya. Adapun apa yang terhasil daripada hari ke-30 itu dari sudut pahala wajib dan sunat sedari sahur sehinggalah berbuka, maka ia merupakan pahala tambahan yang diperoleh mereka yang berpuasa 30 berbanding 29 hari.[5]”
Syeikh al-Jamal menyebut antara hikmah Nabi SAW menjalani kedua-dua tempoh ibadah puasa iaitu 29 dan 30 hari termasuklah meyakinkan jiwa umatnya bahawa puasa 29 hari adalah sama dengan puasa 30 hari dari sudut pahala yang terhasil daripada Ramadan, tanpa mengira perbuatan dalam kehidupan sehariannya[6].
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/250.
* {فَرْعٌ} صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَمَضَانَ تِسْعَ سِنِينَ لِأَنَّهُ فُرِضَ فِي شَعْبَانَ فِي السَّنَةِ الثَّانِيَةِ مِنْ الْهِجْرَةِ وَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ سَنَةَ إحْدَى عَشْرَةَ مِنْ الْهِجْرَةِ
[2] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H/1995M), 2/371.
قَوْلُهُ: (فِي السَّنَةِ الثَّانِيَةِ) فَصَامَ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - تِسْعَ رَمَضَانَاتٍ ثَمَانِيَةٌ نَوَاقِصُ وَوَاحِدٌ كَامِلٌ عَلَى الْمُعْتَمَدِ،
[3] Syihabuddin al-Ramil, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan akhir, 1404H/1984M), 3/148-149.
وَقَوْلُهُ وَكَأَنَّ حِكْمَةَ إلَخْ قَالَ شَيْخُنَا الشَّوْبَرِيُّ: كَذَا وَقَعَ لحج هُنَا، وَوَقَعَ لَهُ فِي مَحِلَّيْنِ آخَرَيْنِ أَنَّهُ قَالَ: لَمْ يَصُمْ شَهْرًا كَامِلًا إلَّا سَنَتَيْنِ، وَجَرَى عَلَيْهِ الْمُنْذِرِيُّ فِي سُنَنِهِ وَقَالَ: فَمَا وَقَعَ لَهُ هُنَا غَلَطٌ سَبَبُهُ اعْتِمَادُهُ عَلَى حِفْظِهِ اهـ.
[4] Al-Syubramalisi, Nuruddin bin Ali, Hasyiyah al-Syubramalisi ‘ala Nihayat al-Muhtaj, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan akhir, 1404H/1984M), 3/149.
أَقُولُ: لَا يَلْزَمُ أَنَّ مَا هُنَا غَلَطٌ بَلْ يَحْتَمِلُ أَنَّ مَا قَالَهُ الْمُنْذِرِيُّ مَقَالَةٌ لَمْ يَعْرُجْ عَلَيْهَا الشَّارِحُ لِشَيْءٍ ظَهَرَ لَهُ، ثُمَّ رَأَيْت شَيْخَنَا الْعَلَامَةَ الَأُجْهُورِيُّ الْمَالِكِيَّ اسْتَوْعَبَ مَا ذُكِرَ ثُمَّ قَالَ نَظْمًا: وَفَرْضُ الصِّيَامُ ثَانِيَ الْهِجْرَةِ فَصَامَ تِسْعَةً نَبِيُّ الرَّحْمَةِ أَرْبَعَةً تِسْعًا وَعِشْرِينَ وَمَا زَادَ عَلَى ذَا بِالْكَمَالِ اتَّسَمَا كَذَا لِبَعْضِهِمْ وَقَالَ الْهَيْتَمِيُّ: " مَا صَامَ كَامِلًا سِوَى شَهْرٍ " اعْلَمْ. وَلِلدَّمِيرِيِّ: " أَنَّهُ شَهْرَانِ وَنَاقِصٌ سِوَاهُ " خُذْ بَيَانِي اهـ.
[5] Al-Bujairami, Tuhfat al-Habib, 2/371.
[6] Al-Jamal, Sulaiman bin Umar, Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Manhaj al-Tullab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 2/302.
وَحِكْمَةُ ذَلِكَ تَطْمِينُ نُفُوسِ أُمَّتِهِ عَلَى مُسَاوَاةِ النَّاقِصَةِ لِلْكَامِلَةِ فِي الْفَضْلِ الْمُتَرَتِّبِ عَلَى رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ نَظَرٍ إلَى أَيَّامِهِ أَمَّا مَا يَتَرَتَّبُ عَلَى يَوْمِ الثَّلَاثِينَ مِنْ ثَوَابِ وَاجِبِهِ وَمَنْدُوبِهِ عِنْدَ سُحُورِهِ وَفُطُوره فَهُوَ زِيَادَةٌ يَفُوقُ بِهَا عَلَى النَّاقِصِ