اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-127: HUKUM MEMBUAT LAKARAN DAN ILUSTRASI ISTERI-ISTERI NABI AS TERDAHULU

 

Mukadimah

Isteri-isteri para anbiya’ ada sebahagiannya diceritakan di dalam al-Quran. Misalannya kisah isteri Nabi Nuh AS, Nabi Ayub AS, Nabi Lut AS dan Nabi Ibrahim AS, Nabi Zakaria AS dan terdapat juga kisah-kisah wanita solehah yang diceritakan.

Tiadalah yang lebih penting mengenai kisah-kisah mereka itu selain untuk kita mengambil manfaat dan juga ‘ibrah daripadanya. Adapun di zaman sekarang, dengan kecanggihan teknologi sedia ada, ‘ibrah dari kisah-kisah mereka itu ingin diketengahkan kepada masyarakat umum dengan pelbagai metod dan di antaranya adalah melalui lukisan dan juga animasi. Bagaimanakah pandangan Islam terhadap isu melukis atau melakar ilustrasi ister-isteri Nabi AS yang terdahulu?

 

Hukum Melukis Gambar  & Animasi

Memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengatakan: “Hukum melukis sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan menjadi khilaf dikalangan para ulama. Jumhur mengatakan bahawa ianya haram dan sebahagian para ulama’ mengatakan ianya dibolehkan. Apa pun, penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara’ sekiranya menjadi medium yang amat penting dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada manusia dan ini tidaklah menjadi gambar yang haram padanya sepertimana gambar-gambar yang mengangkat sesuatu yang tidak bermoral, kezaliman dan gambar-gambar yang tidak senonoh.”

Seterusnya Fadhilah al-Syeikh memberikan beberapa justifikasi terhadap pendapatnya itu, dan secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  1. Sesungguhnya lukisan kartun bukanlah lukisan yang sempurna bahkan ianya gambar yang mempunyai ciri yang tersendiri dan tidak ada padanya ciri-ciri gambar yang hakiki.
  1. Penggunaannya adalah untuk berdakwah dan juga pendidikan (tarbawiyyah) dan anak-anak kecil menerimanya, mengikutinya dan terkesan dengannya. Sewajarnya ke atas kita untuk tidak mengabaikan wasilah ini dan kita perlu menggunakannya di dalam pengajaran kanak-kanak apa yang sepatutnya dipelajari melalui akidah dan sebagainya.
  2. Manusia yang lainya telah menggunakan metod ini sekian lamanya dan jika melihat kepada trend sedia ada ianya seolah-olah telah menjadi ‘makanan ruji’ bagi kanak-kanak yang sedang membesar seharian dengan program animasi-animasi yang ditayangkan di kaca televisyen. Sekiranya tiada inisiatif untuk menggantikannya dengan animasi yang lebih islamik dan sarat dengan maklumat pasti ianya merugikan.

 

Hukum Melukis, Melakar Ilustrasi & Melakonkan Watak Para Anbiya’, Sahabat Nabi SAW Serta Aal al-Bayt Nabi SAW

Sebelum kita mengetahui akan hukum mengenai persoalan di atas, suka untuk kami kemukakan di sini mengenai hukum melukis dan melakonkan watak para anbiya’, Nabi Muhammad SAW, sahabat Baginda serta Aal al-Bayt Baginda SAW (ahli keluarga Baginda termasuk isteri-isteri Baginda).

Syeikh ‘Atiyyah Saqr Rahimahullah melalui bukunya, Ahasin al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam (hlm.156-158) menyebutkan bahawa melukis dan melakar ilustrasi para anbiya’, para sahabat Nabi SAW dan ahli bait Baginda adalah tidak dibolehkan. Ini berdasarkan kepada beberapa perkara antaranya:

  1. Sesungguhnya lukisan atau lakaran tidak akan selamanya menyerupai yang asal. Akan berlaku penipuan sekiranya apa yang digambarkan itu tidak sama dengan hakikatnya.
  1. Ketidakcermatan dalam menghalusi seseorang individu tersebut baik dari segi rupa sifatnya serta akhlak perilakunya yang diadaptasi di dalam lukisan, lakaran ataupun lakonan adalah sesuatu yang dapat menyakiti seseorang itu jika didapati terdapat kekurangan pada gambar atau lakonan tersebut.
  1. Mereka adalah qudwah (ikutan) kepada yang lain. Penipuan ke atas mereka baik dari segi lakonan dan sebagainya boleh menyebabkan orang lain memandang serong terhadap mereka.
  1. Sekiranya lukisan, lakaran atau lakonan sekiranya tidak dibuat dengan baik dapat memberikan kesan buruk kepada orang yang melihatnya. Boleh jadi seseorang yang pada asalnya menyanjung dan mencintai mereka namun setelah melihat kekurangan yang dizahirkan melalui lukisan, lakaran ataupun lakonan boleh berubah sikap dari rasa cinta kepada yang lainnya sedangkan kita semua dituntut untuk menyayangi mereka dan mengikuti mereka.

 

Berdasarkan perkara di atas, Syeikh ‘Atiyyah Saqr mengatakan bahawa melakonkan watak mereka, melukis, lakaran ke atas mereka dari segala apa jenis wasilah adalah diharamkan.

Hal ini dikuatkan juga melalui keputusan-keputusan berikut:

  1. Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf Rahimahullah yang bertarikh 5 Mei 1950 melalui al-Fatawa al-Islamiyyah, Jilid 4, halaman 1297 yang mana turut mengatakan haram.
  2. Lajnah al-Fatwa Al-Azhar pada Jun 1968.
  3. Majlis Majma’ Buhuth Islamiyah pada bulan Februari 1972.
  4. Muktamar ke-8 Majma’ pada bulan Oktober 1977.
  5. Majlis Majma’ pada bulan April 1978.
  6. Dar Ifta’ Mesir pada bulan Ogos 1980.

 

Antara yang dinaskan di dalam kitab Syeikh ‘Atiyyah Saqr ialah:

وكان منطلق التحريم هو أن درء المفاسد مقدم على جلب المصالح، فإذا كانت الثقافة تحتاج إلى خروج على الآداب فإن الضرر من ذلك يفوق المصلحة- وذلك إلى جانب متررات التحريم التى سبق ذكرها- كما جاء فى عبارة دار الإفتاء: أن عصمة الله لأنبياءه ورسله من أن يتمثل بهم شيطان مانعة من أن يمثل شخصياتهم إنسان.

ويمتد ذلك إلى أصولهم وفروعهم وزوجاتهم وصحابة الرسول عليه الصلاة والسلام، ومن جهة العبرة من قصص الأنبيا قال: كيف تتأتى الإستفادة من تمثيل إنسان لشخص نبي، ومن قبل مثل شخص عربيد مقامر سكير رفيق حانات وأخ للدعارة والداعرات، ومن بعد يمثل كل أولئك أو كثيرا منهم؟

Maksudnya: Pengharaman ini adalah berdasarkan kaedah fiqhiyah (menghindarkan kerosakan adalah diutamakan daripada mengambil kemaslahatan). Apabila sesuatu kebudayaan memerlukan kepada keluarnya daripada adab dan norma maka sesungguhnya kemudaratan itu mengatasi kemaslahatan. Di samping itu, terdapat banyak alasan pengharaman yang telah disebutkan seperti mana yang disebut di dalam dar al-Ifta’ Mesir: Sesungguhnya Allah telah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru ataupun dilakonkan oleh syaitan. Demikian jugalah Allah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru atau dilakonkan oleh manusia .

Demikian jugalah pengharaman meniru usul (nenek moyang) furu’ (anak cucu), isteri-isteri dan sahabat-sahabat Rasul. Adapun yang berkaitan dengan pengajaran yang diambil daripada kisah-kisah nabi, fatwa ini menyebutkan bagaimana mungkin kita mengambil pengajaran daripada lakonan seorang manusia biasa terhadap peribadi seorang nabi. Siapakah yang sanggup menerima lakonan seorang bodoh, kaki judi, pemabuk, pelanggan kedai arak dan persundalan? Merekakah yang melakonkan lakonan para nabi dan sahabat?

 

Kesimpulan

Melihat kepada pendapat-pendapat ulama’ serta badan-badan fatwa dunia mengenai isu ini, kami nyatakan bahawa tidak boleh dan tidak wajar untuk melukis, melakar ataupun melakonkan watak para anbiya’, Nabi SAW, sahabat Baginda, Aal al-Bayt Baginda termasuklah di sini isteri-isteri Nabi kerana ianya boleh disalah fahami akan hakikat sebenarnya.

Berdasarkan ini juga, kami berpendapat bahawa melukis, melakar isteri-isteri Nabi yang terdahulu juga adalah tidak dibenarkan dan tidak wajar. Ini kerana:

  • Sebagai penghormatan kepada Nabi-Nabi itu sendiri.
  • Qias kepada larangan lukisan, lakaran ilustrasi dan lakonan buat para anbiya’, Nabi SAW, Sahabat-sahabat Baginda yang utama dan begitu juga ahli keluarga Baginda SAW.

 

Semoga kita diberikan taufiq serta hidayah oleh Allah SWT. Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

27 Ogos 2016 bersamaan 24 Zulkaedah 1437 H.