Soalan:
Baru-baru ini telah berlakunya cubaan bagi merampas kuasa (kudeta) kerajaan Turki sedia ada melalui gerakan ketenteraan. Apa yang menariknya, masjid-masjid di sekitar Turki melaungkan azan meskipun bukan pada waktunya. Adakah perbuatan ini terdapat di dalam syara’?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Azan serta iqamah seperti yang sedia maklum adalah dari syiar-syiar Islam dan keduanya adalah disyariatkan selepas masuknya waktu untuk menunaikan solat dan juga sebelumnya. Hukumnya adalah sunnah kifayah bagi hak jamaah dan sunnah ‘ainiyyah bagi hak persendirian.[1]
Laungan Azan Selain Dari Waktu Solat
Terdapat juga beberapa keadaan yang mana azan dan iqamah dilaungkan bukan pada waktu solat. Kami nyatakan di sini beberapa keadaan tersebut beserta dalilnya:
- Azan di telinga bayi yang baru dilahirkan.
Ianya adalah pendapat golongan mutaakhirin dari al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah dan ianya juga adalah qaul dari al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah.[2]
Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya RA:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ - حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ - بِالصَّلاَةِ
Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.
Riwayat Abu Daud (5105). Dinilai sahih oleh Al al-Baani & Al-Tirmizi (1514)
Terdapat juga athar yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzak di dalam Musannafnya dan oleh al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah yang mana meriwayatkan daripada Umar bin Abd al-‘Aziz Rahimahullah bahawa ketika beliau mendapat cahaya mata, beliau akan mengazankannya di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri. Namun athar ini tidak terlepas daripada kritikan para muhaddith. Wallahu a’lam.
- Ketika diganggu jin dan syaitan.
Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA:
فَإِذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمُ الْغِيلَانُ فَنَادُوا بِالْأَذَانِ
Maksudnya: Sekiranya al-ghilaan (jin dan syaitan) mengganggu (dengan bertukar rupa bentuk) maka laungkanlah azan.
Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (10725)
Hadith ini juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada yang mengatakan bahawa hadith ini dhoif (lemah) kerana terputus sanadnya. Al-Imam Hasan al-Basri di dalam rantaian perawi hadith ini tidak pernah mendengar daripada Jabir bin Abdullah RA sepertimana yang dikatakan oleh Abu Hatim dan juga al-Bazzar.
Meskipun asal pensyariatan azan adalah untuk pemberitahuan masuknya waktu solat namun, terdapat juga keadaan-keadaan yang lain, yang mana disebutkan oleh para fuqaha’ mengenai melaungkan azan selain dari waktu solat. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah: “Disunatkan azan bukan pada waktu solat sepertimana azan ke telinga bayi yang baru lahir, orang yang dirundum kesedihan dan gundah gulana, orang yang terkena sawan, ketika marah, azan ke telinga orang ataupun haiwan yang buruk perangainya, ketika berlaku pergolakan (aktiviti ketenteraan), ketika berlakunya kebakaran…”[3]
Begitu juga terdapat di dalam hasyiah-hasyiah kitab fiqh seperti Hasyiah al-Syabramallisi dan Hasyiah al-Qalyubi namun tidak didatangkan bersamanya dalil. Namun, setakat pemerhatian kami mungkin sebab dari azan yang dapat menjauhkan syaitan, ianya dikiaskan pada keadaan-keadaan yang lain selain dari solat seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menunjukkan bagaimana syaitan lari menjauhkan diri apabila terdengar laungan azan iaitu:
إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut…
Riwayat Muslim (389)
Namun terdapat juga yang menolak kias seperti di atas dan mengatakan bahawa syaitan menjauhi ketika dikumandangkan azan adalah azan yang khas ketika waktu solat dan bukan yang lainnya. Ini sepertimana yang dikatakan oleh Abu Zur’ah yang dinukilkan sendiri oleh al-Syabramalisi di dalam hasyiahnya. Sebaliknya, al-Syabramallisi mempunyai pendapatnya yang tersendiri dengan mengatakan bahawa tidak ternafi juga bahawa syaitan akan melarikan diri sekiranya terdengar azan dan bukan semestinya azan untuk solat.[4]
Dengan sangkaan baik pendapat al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah, serta al-Syabramallisi Rahimahullah ini maka kami katakan bahawa dibolehkan untuk azan sekiranya berlaku huru-hara dan lebih spesifik lagi dengan keadaan yang berlaku di Turki baru-baru ini. Mungkin dalam keadaan huru-hara tersebut dengan berkumandangnya azan dapat mententeramkan keadaan.
Begitu juga dengan azan dapat memberikan kekuatan kepada umat Islam dan bergantung kepada Allah SWT di samping menggerunkan musuh-musuh Allah. Justeru, sekali lagi kami katakan azan dalam situasi kecamuk ketenteraan seperti di Turki adalah dibolehkan. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
21 Julai 2016 bersamaan 16 Syawal 1437H
[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili. Dar al-Qalam, (1/182).
[2] Lihat al-Bahr al-Ra’iq (1/272), Radd al-Muhtar (1/385), al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/325), Mughni al-Muhtaj (1/134), al-Mughni (13/401), Syarh Muntaha al-Iradaat (1/130-131).
[3] Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (1/461)
[4] Lihat Hasyiah al-Syabramalisi terhadap kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya al-Imam Ibn Hajar al-Haitami (1/401)