اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-122: KEPERLUAN MENDAPATKAN TAULIAH MENGAJAR

 

Mukadimah

Isu tauliah bagi mengajarkan agama seringkali menjadi perhatian ramai. Sebahagian pihak mengatakan cukuplah dengan kelayakan akademik yang telah diberikan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Manakala sebahagian yang lain mengatakan, ia sama dengan isu mendapatkan lesen memandu. Sekalipun kita sudah mahir memandu, namun ketiadaan lesen tetap mendatangkan masalah ketika berada di atas jalanraya. Justeru, di dalam Irsyad al-Fatwa kali ini pihak kami akan mengulas berkenaan dengan hukum mendapatkan tauliah bagi mengajarkan agama.

 

Pengertian Tauliah ?

Perkataan tauliah di dalam bahasa arab bermaksud: Menjadikan seseorang itu sebagai wali (wakil) ke atas sesuatu. Dari sudut feqh pula tauliah didefinisikan sebagai: Syarat yang diletakkan oleh penjual kepada pembeli supaya sesuatu barangan yang telah dibeli tidak dijual semula melainkan dengan harga pembelian.

Manakala menurut Kamus Dewan, tauliah bererti: Pelantikan menjadi wali (wakil) ataupun surat pelantikan (menjadi wali, wakil, dll). Rujuk Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam isu ini, yang kami maksudkan dengan tauliah ialah: Kebenaran mengajar oleh badan berautoriti di dalam sesebuah negeri seperti Majlis Agama Islam atau Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang diberikan autoriti untuk mengeluarkan dan memberikan tauliah kepada seseorang yang ingin menyampaikan pengajaran agama.

 

Di Antara Petunjuk Yang Menjadi Panduan

Pertama:  Pesanan Rasulullah Supaya Mengenali Keadaan Masyarakat

Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W kepada Saidina Muaz bin Jabal dengan katanya:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Sesungguhnya kau akan mendatangi kaum ahli kitab. Maka hendaklah perkara pertama yang kau dakwahkan kepada mereka adalah beribadah kepada Allah S.W.T.

Riwayat Muslim (19)

 

Berdasarkan hadis di atas, baginda Rasulullah S.A.W sebagai seorang Rasul dan juga pemimpin memberikan pengenalan-pengenalan asas kepada utusannya Saidina Muaz bin Jabal sebelum berdakwah serta memberikan perkara-perkara penting untuk didahulukan dalam proses dakwah. Ini juga di antara salah satu fungsi tauliah mengajar itu diperkenalkan.

Kedua:  Kisah Rasulullah S.A.W Dengan Muaz Bin Jabal

Ketika Rasulullah S.A.W menghantar Saidina Muaz bin Jabal R.anh ke Yaman, baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz berdasarkan sabdanya yang berikut:

كَيْفَ تَقْضِي ‏فَقَالَ أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ ‏قَالَ فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ قَالَ ‏ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏‏ قَالَ أَجْتَهِدُ رَأْيِي قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Dengan apakah kamu akan berhukum ? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah ? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah S.A.W ? Jawab Muaz: Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W.

Riwayat al-Tirmizi (1327)

 

Jika diteliti hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah S.A.W sedang menguji kelayakan Saidina Muaz dalam menyampaikan dakwah. Setelah berpuas hati dengan manhaj Saidina Muaz dalam berhukum iaitu mendahulukan al-Quran kemudian al-Sunnah dan seterusnya ijtihad, maka baginda pun mengucapkan rasa syukur kepada Allah S.W.T.

Inilah di antara asas bagi proses pentauliahan dalam menjagarkan agama ataupun berdakwah yang dijalankan di setiap negeri dalam Malaysia iaitu untuk mengenalpasti kelayakan seseorang penceramah itu dalam mengajarkan hal-hal yang berkaitan dengan agama.

 

Ketiga: Kisah Saidina Ali Bin Abi Thalib Dengan Imam Hasan al-Basri

Saidina Ali bin Abu Thalib R.anhu pernah bertanyakan kepada Imam Hasan al-Basri Rahimahullah dengan katanya:

مَا مَلَاكُ الدِّينِ قَالَ: الوَرَع قَالَ: مَا فَسَادُ الدِّينِ قَالَ: الطَّمعُ قَالَ: اجْلِسْ فَمِثْلُكَ مَنْ يَتَكَلَّمُ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: Apakah tiang seri bagi agama ? Jawab Hasan al-Basri: Sifat warak. Tanya Saidina Ali: Apa pula yang merosakkan agama ? Jawab Hasan al-Basri: Sifat tamak. Maka Saidina Ali pun berkata: Duduklah kamu, orang seperti kamulah yang layak untuk berbicara ke atas manusia.

Rujuk Iqazh al-Himam Fi Syarh al-Hikam (Hlm. 158).

 

Faedah yang dapat diambil dari athar di atas, jelas daripada perkataan فَمِثْلُكَ bahawa Saidina Ali R.anhu telah mengenalpasti kriteria yang membolehkan seseorang itu mengajarkan ilmu agama kepada masyarakat.

 

Tujuan Diperlukan Tauliah Mengajar

Berikut merupakan beberapa tujuan utama disyaratkan untuk mendapatkan tauliah bagi mengajarkan agama kepada masyarakat awam. Di antaranya:

  • Mengekang penyebaran idelogi menyeleweng dari sudut akidah dalam kalangan masyarakat.
  • Mengelakkan amalan-amalan bidaah dan khurafat dari disebarkan.
  • Membasmi penularan hadis-hadis palsu dan tiada asal dalam kalangan orang awam.
  • Menyatukan dan mengharmonikan adab-adab khilaf di kalangan para guru, masyaikh dan sebagainya agar ia dapat diterima oleh masyarakat dengan hati yang senang dan terbuka.
  • Dengan tauliah terdapat batasan terhadap sikap dan akhlak yang buruk seperti mencerca, memaki hamun terhadap mana-mana pihak dapat dielakkan. Hal ini sudah barang tentu akan memberikan ketenangan kepada masyarakat tanpa perasaan yang tidak baik.
  • Tauliah juga dapat memastikan kesesuaian dan kelayakan seseorang yang ingin mengajarkan agama agar memahami hakikat situasi masyarakat yang ingin diajarkan berserta kemampuan sebenar penerima tauliah tersebut.
  • Tauliah setidak-tidaknya dapat memberikan garis panduan dalam menyampaikan ilmu agar ia lebih tersusun dan menepati kehendak agama yang sebenar. Ini amat penting kepada penerima tauliah sebagai bekalan dan sebuah panduan yang amat berguna untuk mereka.

 

Menjawab Persoalan Hadis

Seringkali kita mendengar bahawa sebahagian cerdik pandai berhujah dengan sebuah hadis yang sahih dan seolah-olah bercanggahan dengan konsep tauliah mengajar. Hadis tersebut diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sampaikanlah dariku walau satu ayat dan ceritakanlah dari Bani Israil tidak ada sebarang dosa padanya. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka hendaklah dia bersedia tempat duduknya di dalam neraka.

Riwayat al-Bukhari (3461)

Justeru, kewajipan menyampaikan ilmu adalah tidak mengira keadaan, tempat, dan juga masa. Yang penting, sampaikan ilmu agar ianya tersebar kepada orang ramai.

Sebenarnya, bukanlah sedemikian yang dimaksudkan. Ini kerana, kalimah ‘sampaikanlah’ seolah-olah seseorang itu telahpun mengetahui adab etika dan telah mempunyai sejumlah ilmu. Ini dapat difahami dengan hadis yang kami bawakan di atas seperti hadis Muaz. Bahkan, perbuatan mengajarkan dan perbuatan menyampaikan itu sendiri mempunyai disiplin yang berbeza di antara keduanya.

Keduanya, perlu difahami bahawa para ulama telah menggariskan muwasafat ataupun ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang muallim (guru) ketika menyampaikan ilmu agar ia lebih berkesan dan tercapai natijah serta matlamat dakwah itu sendiri.

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Setelah dibentangkan pendapat di atas dan juga perbahasan yang panjang lebar, maka kami menyatakan bahawa tauliah amat penting bahkan perlu mengikut kepada realiti semasa. Inilah yang diamalkan oleh negara-negara Islam yang lain seperti di Mesir, Kuwait, Jordan, dan seumpamanya. Ini kerana, kita memahami akan kehendak yang ingin dicapai dan tujuan pengajaran agar ianya munasib (sesuai) kepada pengajar dan ilmu yang diajar serta sasaran masyarakat sehingga memperolehi ilmu dengan sebaik mungkin.

Pada saat yang sama, antara matlamat tauliah adalah bersifat sad al-zariah (menutup jalan yang membawa kerosakan) untuk mengekang golongan yang tidak layak dan tidak berpengetahuan dalam mengajarkan ilmu. Ini sebagai satu tapisan dalam membezakan di antara yang layak dengan yang tidak berkelayakan.

Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya menyebut: Tidak layak bagi seorang imam atau tuan guru serta khatib menyampaikan hadis Nabi S.A.W tanpa menyebutkan riwayat sama ada ia sahih atau sebaliknya. Ini dengan jelas merupakan suatu langkah untuk mengekang hadis palsu dari disebarkan.

Semoga, isu tauliah ini dapat difahami dengan sebaik mungkin. Namun, dalam masa yang sama hendaklah individu-individu yang berkelayakan serta diiktiraf keilmuan mereka dari kalangan ilmuwan Islam diraikan serta dimuliakan. Kami akhiri isu ini dengan sebuah kisah. Suatu hari, Syaikhul Azhar al-Allamah Muhammad Bakhit telah datang ke kota Damsyiq dan sempat mengikuti pengajian yang disampaikan oleh al-Allamah al-Muhaddith al-Akbar Syeikh Badruddin al-Hasani. Selepas mendengarnya, Syaikhul Azhar berkata: Wahai tuan guru, jika kamu datang ke kota Mesir bukan pelajar al-Azhar sahaja yang kami suruh untuk belajar dengan kamu. Akan tetapi para guru dan masyaikh al-Azhar juga perlu belajar dengan kamu. Itulah gambaran kemuliaan seorang tuan guru yang berwibawa. Demikianlah sikap Syeikhul Azhar memuliakan ulama yang sehebat itu.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya orang ramai mendapatkan kefahaman berkenaan dengan isu tauliah. Segala semua urusan permintaan dan penerimaan tauliah juga dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Ameen.

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

18 Julai 2016 bersamaan 13 Syawal 1437 H.