اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-152: HUKUM KELUAR DARI MASJID SELEPAS AZAN DILAUNGKAN

 

Soalan:

Apakah hukum seorang yang keluar daripada masjid ketika azan dilaungkan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Terdapat hadith sahih yang jelas melarang perbuatan seperti pertanyaan di atas, iaitu keluar dari masjid setelah azan berkumandang. Abu al-Sya’tha’ melaporkan:

كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ فَقَامَ رَجُلٌ مِنَ الْمَسْجِدِ يَمْشِي فَأَتْبَعَهُ أَبُو هُرَيْرَةَ بَصَرَهُ حَتَّى خَرَجَ مِنَ الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ أَمَّا هَذَا فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: Ketika mana kami sedang duduk bersama Abu Hurairah, maka telah azan muazin dan telah bangun seorang lelaki berjalan keluar dari masjid. Mata Abu Hurairah memerhatikannya sehinggalah lelaki tadi keluar dari masjid lalu berkata: Adapun perbuatan lelaki tersebut, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim (Nabi Muhammad SAW).

Riwayat Muslim (655)

 

Dalam sebuah hadith yang lain, daripada Abu Hurairah RA berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إذَا كُنْتُمْ فِي الْمَسْجِدِ فَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَلَا يَخْرُجْ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُصَلِّيَ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan kami jika kalian berada di masjid dan azan sedang berkumandang untuk didirikan solat, maka janganlah keluar seorang pun dari kalian sehinggalah solat.

Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya (10933)

 

Para ulama’ berbeza pandangan terhadap hukum keluar dari masjid setelah azan berkumandang tanpa uzur. Sebahagian mengatakannya haram dan sebahagian lagi mengatakan ianya makruh

Di dalam fiqh mazhab Hanbali, Ibn Qudamah Rahimahullah di dalam al-Mughni menyebutkan bahawa tidak dibolehkan untuk keluar dari masjid selepas azan kecuali uzur. Beliau kemudian membawakan kalam al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah yang mana juga menyebutkan bahawa ianya adalah amalan ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi SAW dan mereka yang hidup selepasnya yang mana tidak seorang dari mereka keluar dari masjid selepas azan kecuali yang uzur.[1] Begitu juga di dalam al-Iqna’ turut mengatakan haram keluar dari masjid selepas azan tanpa uzur atau niat untuk kembali menunaikan solat.[2]

Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah pula menyebutkan bahawa kedua hadith yang disebutkan di atas (hadith Abu al-Sya’tha’ dan Abu Hurairah) menjadi dalil bahawa haram untuk keluar dari masjid selepas mendengar azan kecuali bagi mereka yang tiada wudhu’, qadha’ hajat, darurat sehinggalah ditunaikan solat tersebut.[3]

Di dalam kitab fiqh mazhab Maliki pula, sekiranya keluar selepas iqamah bagi yang ingin bersuci untuk solat tersebut namun tidak kembali, maka perbuatan tersebut adalah haram. Adapun keluar selepas azan maka hukumnya makruh kecuali dengan niat untuk kembali ke masjid. Namun sekiranya dia keluar dari masjid dengan tujuan untuk berpaling tidak menunaikan solat, maka dia adalah munafik dan ditakuti akan ditimpa musibah ke atasnya seperti sebahagian manusia.[4]

Al-Imam al-Nawawi Rahimullah pula ketika mensyarahkan hadith Abu al-Sya’tha’ di atas, beliau mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh sahaja bagi mereka yang keluar dari masjid selepas azan berkumandang sehingga dia solat fardhu kecuali uzur.[5] Perkara yang sama disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.[6]

Adapun uzur yang membolehkan seseorang itu untuk keluar dari masjid selepas berkumandangnya azan adalah seperti untuk mengambil wudhu’ yang mana tempat wudhu’nya berada di luar masjid atau pun keluar dengan niat untuk kembali ke masjid seperti mengejutkan ahli keluarga kemudian kembali ke masjid ataupun keluar menuju ke masjid yang lain untuk berjemaah kerana diketahui akan kelebihan imam di situ. Boleh juga untuk keluar sekiranya terdapat perkara yang darurat, sakit yang mana perlu mendapatkan rawatan segera dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa makruh hukumnya untuk keluar dari masjid setelah azan berkumandang  tanpa sebarang keuzuran sesuai dengan pendapat Syafi’eyyah seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah di dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh[7].

Meskipun makruh hukumnya untuk keluar, sebaiknya adalah dengan kekal di dalam masjid jika azan telah dikumandangkan dan tunaikan solat secara berjemaah sehingga selesai sebagai jalan keluar terhadap khilaf dalam permasalahan ini, melainkan padanya terdapat keuzuran. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

29 November 2016 bersamaan 29 Safar 1438 H.

 

[1] Lihat al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, (1/296).

[2] Lihat al-Iqna’ fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal. Dar al-Ma’rifah, (1/80).

[3] Lihat Nayl al-Awtar. Dar al-Hadith, (2/192).

[4] Lihat al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani. Dar al-Fikr, (1/172).

[5] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, (5/157).

[6] Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, (2/179).

[7] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dar al-Fikr, (1/711).