اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-93: APAKAH HUKUM MEMBACA AL-QURAN DENGAN TUJUAN MEMENANGKAN MASJID AL-AQSA

 

 

Soalan:

Adakah harus membaca Al-Quran dengan tujuan memenangkan Masjid al-Aqsa?

 

Jawapan:

 

Sebelum berbicara lebih jauh, suka ingin kami nyatakan bahawa hukum menziarahi  Masjid al-Aqsa pada masa kini telah kami bincangkan pada artikel Bayan Linnas siri ke-15[1] dan suka juga di sini ingin kami kemukakan beberapa kelebihan Masjid al-Aqsa agar menjadi pedoman buat kita semua. Antara kelebihan-kelebihan Masjid al-Aqsa yang warid di dalam Al-Quran dan hadis ialah:

 

  • Kiblat pertama umat Islam sebelum diperintahkan untuk menghadap Kaabah.
  • Tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
  • Solat di dalam Masjid al-Aqsa lima ratus (500) kali lebih afdhal berbanding solat di tempat lain kecuali di Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi.

 

Berkenaan apa yang terjadi sekarang ini iaitu Masjid al-Aqsa dikuasai oleh rejim Zionis, ianya amat menyedihkan kerana jika dinilai melalui sejarah ketamadunan manusia dan hakikat sebenar, umat Islam sebenarnya yang layak untuk memiliki Masjid al-Aqsa.

 

Mengenai persoalan di atas, iaitu hukum membaca Al-Quran sebagai salah satu daripada niat untuk mendapat hajat bagi memenangkan Masjid al-Aqsa, dalam isu ini kami berpendapat ianya termasuk dalam bentuk tawassul yang dibenarkan.

Tawassul dari segi segi bahasa bermaksud mendekatkan diri. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pendapat yang lain mengatakan bahawa tawassul itu adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT dan juga dengan amal soleh yang dikerjakan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah yang dibenarkan oleh syara’ tanpa khilaf. [Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait, 14/149-150]

 

Berbalik kepada isu yang dibincangkan, dalam isu ini terdapat dua (2) jenis tawassul yang dibenarkan iaitu:

 

  • Pertama: Bertawassul dengan amal soleh dan hal ini berbetulan dengan sabda Nabi SAW dari Ibn Umar R.Anhuma diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari[2] Rahimahullah di dalam sahihnya yang mana mengisahkan tiga orang yang terperangkap di dalam gua dan kemudian setiap dari mereka bertawassul dengan amal soleh masing-masing dan akhirnya Allah SWT menyelamatkan mereka.

 

Di dalam hadis tersebut diceritakan bagaimana pemuda pertama bertawassul dengan amal solehnya iaitu mentaati kedua orang tuanya. Pemuda kedua pula bertawassul dengan amal solehnya yang mana dia dahulu pernah hampir melakukan zina kemudian ditinggalkannya kerana takut akan azab Allah SWT. Manakala pemuda ketiga pula bertawassul dengan amalan solehnya dengan mengatakan beliau seorang yang amanah. Memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Mereka bertawassul dengan amal soleh mereka masing-masing dan sedikit demi sedikit batu yang menutup pintu gua tempat mereka terperangkap terbuka.

 

Ini menunjukkan keberkesanan tawassul dengan amal soleh, yakni dengan menjadikan amal soleh sebagai perantara di dalam doa kita dan kesannya dapat dilihat dengan cepat. Di dalam konteks ini, kita menjadikan amal soleh kita membaca Al-Quran sebagai perantara dalam doa untuk menunaikan hajat kita.

 

Justeru apa yang boleh dilakukan di sini setelah membaca Al-Quran, hendaklah kita berdoa kepada Allah SWT dengan perantaraan amal soleh bacaan kita tadi semoga Allah SWT memenangkan Masjid al-Aqsa. Mudah-mudahan dikabulkan, InsyaAllah.

 

  • Kedua: Ayat Al-Quran itu sendiri menjadi kalamullah dan kita memohon mewakili nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT yang terdapat di dalam Al-Quran. Maka ia diizinkan oleh Islam lebih-lebih lagi kalam-Nya itu bersifat mukjizat. Ianya berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,”

(Al-A’raaf: 180)

Justeru, perbuatan seperti ini tidaklah menyalahi syara’ kerana padanya terdapat ciri-ciri tawassul yang dibenarkan (masyru’). Wallahu a’lam.

 

Saya tertarik dengan pendapat yang telah dikeluarkan oleh Fadhilah al-Syeikh Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi Hafizahullah apabila ditanyakan adakah harus membaca al-Quran bertujuan memenangkan Masjid al-Aqsa. Syeikh berkata:

 

“Membaca Al-Quran adalah adalah ibadat kepada Allah. Maka tiadalah halangan bagi pembaca Al-Quran berniat ibadat dallam bacaan ini untuk memenangkan al-Aqsa. Ini dengan makna mendekatkan diri kepada Allah dengan bacaan ini. Seterusnya bertawassul dengannya mengharapkan daripada Allah kemenangan bagi Masjid al-Aqsa. Seperti yang dimaklumi bahawa harus tawassul kepada Allah dengan amal yang soleh. Jadilah bacaan dengan niat ini gambaran daripada gambaran yang baru dalam bentuk menolong Masjid al-Aqsa dan juga medatangkan dengan cara-cara yang baru.”

 

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih cakna ,mengasihi dan mencintai Masjid al-Aqsa dan mengambil peduli apa yang berlaku terhadapnya. Semoga suatu hari nanti, Masjid al-Aqsa akan bebas dari cengkaman Yahudi Zionis dan kita semua dapat solat di dalamnya dengan penuh rasa ketenangan. Ameen.

 

 

Akhukum fillah,

 S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

6 November 2015 bersamaan 24 Muharram 1437H.

 

 

 

[1] http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=223

[2] Ianya merupakan hadis yang sangat panjang. Kami hanya menukilkan isi penting daripada hadis tersebut untuk perbincangan kita kali ini. Adapun hadis ini al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya di dalam Kitab al-Riqaq, Bab Qissatu Ashab al-Ghar wa al-Tawassul bi Solih al-A’mal, No. Hadis: 2743.