اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-145: HUKUM SOLAT TIDAK KHUSYUK

 

Soalan:

Apakah hukum solat yang dilakukan sekiranya tidak khusyuk dan adakah ia dikira berdosa ?

Jawapan:

Sebelum menjawab persoalan ini, perkara asas yang perlu diketahui adalah berkenaan definisi khusyuk di dalam solat itu sendiri.

Definisi Khusyuk Di Dalam Solat

Berikut merupakan beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk. Kata Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah Rahimahullah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri. Ibn Al-Qayyim juga turut menyatakan pendapat tokoh ulama tasawuf iaitu Imam Junaid Al-Baghdadi Rahimahullah yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Rujuk Madarij Al-Salikin (1/521).

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. Lihat Al-Khusyuk Fi Al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali (Hlm. 17).

Berkenaan ganjaran bagi golongan ini, Allah S.W.T telah menyatakan akan kejayaan yang diperoleh bagi hamba-hamba-Nya yang khusyuk di dalam solat mereka. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ  الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.

Surah Al-Mu’minuun (1-2)

 

Para mufassirun (ulama tafsir) menyatakan beberapa pengertian terhadap khusyuk di dalam solat. Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Khusyuk adalah: Sebahagian ulama memasukkannya sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. Lihat Fath al-Qadir, Al-Syaukani (1/977).

Imam Al-Thabari Rahimahullah pula mendatangkan beberapa pendapat tokoh ulama salaf berkenaan pengertian khusyuk di dalam solat. Ianya seperti berikut:

Kata Imam Mujahid dan Imam Ibn Syihab Al-Zuhri: Khusyuk dalam solat adalah dengan cara tenang di dalamnya.

Kata Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib R.Anh ketika ditanyakan berkenaan ayat ini: Khusyuk di dalam solat itu bererti: Janganlah kamu berpaling ke sana sini di dalam solat kamu.

Kata Al-Hasan: Mereka khusyuk di dalam jantung hati mereka. Maka mereka pun menundukkan pandangan serta merendahkan sayap mereka. Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (19/8-9).

Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.

Cara-Cara Mendapat Kekhusyukan Di Dalam Solat

Berikut merupakan beberapa cara yang boleh membantu untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat.

Pertama: Mengingati Mati

Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda,

اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ

Maksudnya: Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).

Riwayat Al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd

Kedua: Tidak Tergopoh Gapah Dalam Mengerjakan Solat

Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anh beliau berkata:

 أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ‏"‏ ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.

Riwayat Al-Bukhari (793)

Ketiga: Menghayati Makna Bacaan Di Dalam Solat

Di antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.

Hukum Khusyuk Di Dalam Solat

Para ulama berbeza pendapat dalam isu khusyuk di dalam solat. Adakah ia merupakan di antara perkara wajib di dalam solat atau ia sekadar sunat dan merupakan pelengkap kepada solat. Imam Al-Qurthubi Rahimahullah menyatakan hal ini dengan katanya: Para ulama berbeza pandangan mengenai khusyuk di dalam solat ini kepada dua pendapat:

Pertama: Ia merupakan di antara perkara fardhu (yang wajib) di dalam solat.

Di antara tokoh ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah. Beliau menyebutkan beberapa dalil yang menunjukkan kewajipan khusyuk di dalam solat. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

Kata Imam Al-Ghazali ketika mengulas berkenaan ayat ini; Zahir perintah (mendirikan solat) adalah membawa kepada hukum wajib. Kelalaian (tidak khusyuk) adalah bercanggahan dengan sifat zikir (iaitu mengingati). Maka sesiapa yang lalai dalam keseluruhan solatnya bagaimana dia itu dikira sebagai seorang yang mendirikan solat untuk mengingati Allah ? Rujuk Ihya’ Ulum al-Din, Al-Ghazali (1/159).

Pandangan ini juga merupakan pendapat yang paling sahih menurut Imam al-Qurthubi. Ini dapat dilihat dari kata-kata beliau: Pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang pertama (yang mengatakan khusyuk adalah di antara fardhu solat). Dan tempat bagi kekhusyukan adalah jantung hati. Kata ‘Ubadah bin Al-Shomit R.Anh: Khusyuk adalah ilmu yang terawal diangkat daripada manusia. Rujuk Al-Jamik Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (12/97).

Kedua: Khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat. Pendapat ini dipegang oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah dan beberapa tokoh selainnya.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah mengatakan: Disunatkan untuk khusyuk di dalam solat serta tunduk, mentadabbur ayat-ayat bacaan serta zikir-zikir di dalamnya, dan berpaling dari memikirikan perkara-perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang itu berfikir tentang perkara selain dari solat serta banyak memikirkannya, solatnya tidak terbatal. Akan tetapi perbuatan itu hukumnya makruh sama ada seseorang itu memikirkan perkara-perkara yang mubah (harus) atau memikirkan perkara-perkara yang haram seperti meminum arak.

Kata Imam Al-Nawawi lagi: Telah dinukilkan ijmak bahawasanya perbuatan berfikir dan monolog dalaman adalah tidak membatalkan solat akan tetapi para ulama sepakat bahawa ianya makruh. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anh beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.

Riwayat Al-Bukhari (6664)

Kesimpulan

Setelah meneliti beberapa pandangan di atas, kami lebih cenderung dengan pendapat yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi dan juga jumhur ulama bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat. Manakala jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan. Walaupun begitu, tidak khusyuk di dalam solat akan mengurangkan pahala solat dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.

Kami juga tidak menafikan bahawa pandangan yang mewajibkan untuk khusyuk di dalam solat mempunyai asas yang kukuh. Imam Ibn al-Qayyim pernah mengatakan:

صَلَاةُ المُنَافِقِينَ صَلَاةُ أَبْدَان، لَا صَلَاة قُلُوب

Maksudnya: Solat orang-orang munafiq adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati. Lihat Madaarij Al-Saalikin, Ibn al-Qayyim (1/354).

Lakukanlah solat dengan penuh kekhusyukan serta hayatilah intipati bacaan yang dibaca di dalam solat, supaya solat kita tidaklah sekadar pergerakan anggota badan akan tetapi solat yang terzahir daripada kekhusyukan jiwa, kerendahan hati, tunduk, serta patuh menghadapkan diri di hadapan Allah. Kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kepada kita semua kekhusyukan di dalam solat dan semoga Allah menerima segala amalan soleh yang kita lakukan. Ameen.