اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-147: ISU ‘BIN-BINTI’ BAGI ANAK LUAR NIKAH

 

Soalan:

Saya ada anak tapi tidak di’bin’kan atas nama saya. Memang sejarah yang silam semua orang ada melaluinya, tetapi adakah hukuman itu harus saya tanggung sampai mati? Anak saya dah nak bersekolah. Memang benda ini akan memberi kesan yang negatif bila anak saya dah berada dalam usianya. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tidak dapat dinafikan bahawa zina adalah salah satu dosa besar yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadis Baginda. Begitu banyak hadis mengenai kecaman bagi mereka yang melakukan zina yang mana tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjauhkan umat Islam dari perbuatan jijik dan kotor tersebut.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا 

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

(Al-Isra’: 32)

 

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa zina ini boleh membawa kepada neraka dan ianya adalah salah satu dari dosa besar (al-Kabair). Tidak ada khilaf padanya dan padanya juga keburukan lebih-lebih lagi jika melakukan zina dengan isteri jiran.[1]

Dalam sebuah hadis pula, daripada Abdullah RA yang mana beliau telah bertanyakan kepada Rasulullah SAW:

أَىُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ: ‏ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهْوَ خَلَقَكَ‏.‏ قُلْتُ إِنَّ ذَلِكَ لَعَظِيمٌ‏.‏ قُلْتُ ثُمَّ أَىّ قَالَ: ‏ ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ تَخَافُ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ.‏ قُلْتُ ثُمَّ أَىّ قَالَ: ثُمَّ أَنْ تُزَانِيَ بِحَلِيلَةِ جَارِكَ.

Maksudnya: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah SWT? Jawab Baginda: “Kamu menjadikan Allah sebagai seterumu sedangkan Dia-lah yang menciptakan  kamu”. Aku telah berkata: “Sesungguhnya itu adalah dosa yang besar”. Kataku lagi: “Kemudian dosa apa lagi?”. Jawab Baginda: “Kemudian kamu membunuh anakmu takut anakmu itu berkongsi makanan denganmu”. Aku berkata lagi: “Kemudian dosa apa lagi?”. Jawab Baginda: “Kamu berzina dengan isteri jiranmu”.

Riwayat Al-Bukhari (7520)

 

Begitulah petunjuk Nabi SAW yang mana meletakkan dosa berzina ini dikalangan dosa-dosa besar selepas syirik dan membunuh menunjukkan betapa seriusnya perbuatan zina ini sehingga boleh memporak-perandakan kehidupan seseorang.

 

Anak Tidak Sah Taraf

Menurut Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 2. Tafsiran, anak ‘tidak sah taraf’ diertikan sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

Begitu juga melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-44 bersamaan 25 Jun 1998 yang mana lebih terperinci dalam mendefiniskan anak tidak sah taraf dengan mengatakan:

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  1. Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
  1. Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan:

“Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil dari perzinaan.”[2]

 

Penamaan Anak Tidak Sah Taraf

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.[3]

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, kami melihat bahawa isu kesahtarafan anak itu termaktub di dalam akta yang mana terikat dengan undang-undang sedia ada bagi setiap negeri-negeri di Malaysia. Akta atau enakmen tersebut perlulah dipatuhi kerana ianya telah diwartakan. Disebabkan oleh itu, isu ini perlu dilihat dari sudut perundangan agar ianya dapat ditangani dengan lebih baik serta cermat tanpa terdapatnya percanggahan antara satu sama lain. Rujuklah juga Jabatan Pendaftaran Negara dan juga Mahkamah 

Buat mereka yang pernah terlanjur, ketahuilah bahawa pintu taubat masih terbuka luas. Sebesar mana sekalipun dosa tersebut, ketahuilah juga bahawa pengampunan Allah SWT itu lebih besar dari dosa-dosa tersebut. Kami bawakan sebuah hadis bagi menggambarkan betapa besarnya pengampunan Allah SWT itu seperti mana yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang mana ianya adalah sebuah hadis al-Qudsi:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ يَقُولُ: قَالَ اللهُ تَعَالَى: "يَا ابْنَ آَدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوتَنِيْ وَرَجَوتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلا أُبَالِيْ، يَا ابْنَ آَدَمَ لَو بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ استَغْفَرْتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ، يَا ابْنَ آَدَمَ إِنَّكَ لَو أَتَيْتَنِيْ بِقِرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لقِيْتَنِيْ لاَتُشْرِك بِيْ شَيْئَاً لأَتَيْتُكَ بِقِرَابِهَا مَغفِرَةً". رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحَيْحٌ.

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik RA telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW berkata: “Allah SWT berkata: Wahai anak Adam, selagi kalian berdoa dan berharap kepada-Ku, pasti Aku ampuni dosa yang telah dilakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya sampai dosamu setinggi langit kemudian kamu memohon keampunan, nescaya akan Aku ampunkan. Wahai anak Adam, sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, pasti Aku mendatangimu dengan pengampunan sepenuh bumi. Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan belaiu berkata: Hadith hasan sahih.

Riwayat Al-Tirmizi (3540) & Ahmad (21804)

 

Wallahu a’lam.

 

[1] Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, (10/253).

[2] Lihat Buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2010. Terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Cetakan Pertama 2012. Hlm. 8.

[3] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Terbitan JAKIM, Bahagian Pengurusan Fatwa. Cet. Ke-5. Hlm. 115