اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-143: HUKUM MAKAN DAGING ZIRAFAH

Soalan: Mohon pandangan mengenai zirafah, adakah dibolehkan memakan dagingnya.

Jawapan:
Sebelum menjawab berkaitan ini, kami bentangkan terlebih dahulu takrifan mengenai zirafah.

Pengertian Zirafah

Di dalam perkataan arab, ianya disebut sebagai zarafah atau zurafah. Melalui kitab al-A’jaib al-Makhlukhat melalui Al-Imam Al-Qazwini Rahimahullah ada menyebut tentang kelainan haiwan ini dimana apabila ianya perlu untuk memulakan langkah, ia akan memulakannya dengan kaki kiri terlebih dahulu berbeza dengan lain-lain haiwan berkaki empat.

Menurut kitab Tarikh Ibn Khallikan bahawa Muhammad bin Abdullah al-Utabi al-Basri al-Akhbari al-Sya’ir mengatakan bahawa zirafah adalah gabungan daripada 3 jenis haiwan iaitu unta betina liar, lembu betina dan dubuk jantan. Menurutnya lagi, apabila dubuk melakukan hubungan dengan unta betina liar, kemudian anaknya dilahirkan jantan dan melalukan hubungan dengan lembu betina maka lahirlah zirafah.

Namun Al-Jahiz tidak bersetuju dengan pendapat ini malah beliau mengatakan bahawa pendapat seperti itu hanyalah keluar daripada kejahilan yang melampau. Ini kerana Allah taala berhak untuk mencipta apa sahaja binatang seperti kuda , himar dan sebagainya.

Habitat Zirafah
Zirafah (giraffa camelopardalis) adalah mamalia berkuku genap (even-toed ungulate), yang tertinggi dalam semua spesies daratan. Zirafah jantan mampu mencecah ketinggian sehingga 4.8 hingga 5.5 meter (16 hingga 18 kaki) dengan berat sehingga 900 kilogram(2,000 poun). Zirafah betina biasanya rendah sedikit dan lebih ringan. Dalam keluarga zirafah, hanya terdapat dua spesies, iaitu Okapi dan Zirafah.

Zirafah merupakan haiwan mamalia yang tinggal di kawasan padang rumput savana kering, tetapi zirafah meragut jauh lebih tinggi berbanding haiwan lain. Diet zirafah kebanyakannya daun acacia dan aprikot liar, selain pucuk, buah dan tumbuhan yang lain. Biasanya dahan kecil ditarik masuk kedalam mulut zirafah dengan menggunakan lidahnya yang panjang dan kemudiannya kepalanya ditarik sementara daunnya diragut melalui giginya yang jarang seperti pengerat.

Ketinggian melampau zirafah menyebabkan ia perlu membuka kakinya dan adakalanya melutut untuk minum. Apabila berdiri, jantungnya mengepam tekanan tinggi untuk sampai ke otak. Apabila tunduk, injap satu hala bertindak mengawal tekanan dan aliran darah agar tidak merosakkan otak. Biasanya zirafah memerlukan kawasan ragut sekitar 160 kilometer persegi / 62 batu persegi. 

Para ulama telah berbeza pandangan dalam menentukan hukum memakan zirafah. Imam al-Damiri  menyebutkan di dalam kitabnya 'Hayat Al-Hayawan Al Kubra bahawa terdapat dua pandangan di dalam permasaalahan hukum memakan zirafah. Antara ulama yang mengHARAMkan memakan haiwan ini ialah:

  • Menurut Imam Al Nawawi (dalam kitabnya Majmu' Syarah Muhazzab dan Imam Abu Ishak Al Syirazi di dalam kitabnya Al-Tanbith mengatakan memakan zirafah hukumnya adalah haram.
  • Bagi Al-Imam Al-Qadhi Abu Al Khattab Al-Hambali juga mengatakan HARAM memakan daging zirafah. Sebahagian ulama mengatakan zirafah adalah hasil perhubungan antara binatang yang halal dan haram di makan.

Namun, terdapat juga sesetengah ulama berpandangan HARUS memakan daging zirafah, antaranya:

  • Ini berdasarkan fatwa Syeikh Taqiyuddin Ibni Abi al-Dam al Hamwi dan beliau menukilkan fatwa Qadhi Hussain Al-Shafie. Al Imam Ibnu Rif'ah mengatakan bahawa pendapat ini muktabar sepertimana difatwakan juga oleh Imam Al Baghawi.
  • Imam Qadhi Hussain mengatakan, "Aku mengatakan bahawa ia halal kerana ia mirip kepada binatang yang halal dimakan iaitu unta dan lembu."
  • Al Imam Al-Damiri bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa adalah harus untuk dimakan. Ini juga merupakan pendapat Mazhab Imam Ahmad dan Imam Malik serta Imam Abu Hanifah.

Tarjih
Setelah meneliti permasalahan ini, kami lebih cenderung mengatakan hukum memakan daging zirafah adalah harus memandangkan ia dilihat sejenis haiwan herbivor yang tidak bertaring dan juga bukan daripada spesis karnivor. Selain itu, haiwan ini juga bukannya spesis kacukan daripada haiwan-haiwan yang diharamkan memakannya seperti anjing dan babi serta tidak langsung menyerupainya. Oleh itu, haiwan ini dilihat lebih mirip kepada kumpulan lembu dan kerbau yang halal dimakan meskipun memiliki fizikal yang agak tinggi berbeza dengan haiwan yang lain.