اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-66: CIRI-CIRI DAN JENIS-JENIS KEMAMPUAN BAGI SESEORANG DALAM MENGERJAKAN IBADAT HAJI DAN UMRAH

 

 

 

SOALAN

Apakah ciri-ciri dan jenis-jenis kemampuan bagi seseorang dalam mengerjakan ibadat haji dan umrah

 

JAWAPAN

Ciri-Ciri Kemampuan Bagi Seseorang Dalam Mengerjakan Ibadat Haji Dan Umrah

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.

(Surah ali-Imran: 97)

 

            Imam Nawawi dalam al-Idhah menyebut: Istitha’ah terbahagi kepada dua jenis:

  • Istitha’ah secara langsung dengan dirinya.
  • Istitha’ah untuk mengerjakan dengan orang lain.

 

Ciri-ciri kemampuan ialah:

  • Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila dia memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk:
    • Kos pengangkutan.
    • Perbelanjaan pergi dan balik, di samping bayaran untuk passport perjalanan.
    • Upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah.
    • Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya.
  • Kesihatan tubuh badan.
  • Bagi wanita, hendaklah wujud bersamanya mahram atau wanita yang thiqah dalam perjalanan menuju ke Makkah.

 

Dalam buku Istitha’ah: Pengertian, Syarat dan Permasalahan Hukum, menyebut, perjalanan aman sama ada nyawa dan harta benda. Sekiranya merasa bimbang terhadap dirinya akan perkara:

  • Penyamun, perompak atau lanun.
  • Waba’ penyakit, seperti ta’un, selsema burung dan lain-lain.
  • Harta yang dibimbangi dirampas.

 

Maka, dia termasuk yang tidak mempunyai istitha’ah. Ini bertepatan dengan kaedah:

إِنَّ كُلَّ تَصَرُفٍ جَرَّ فَسَادًا أَوْ دَفَعَ صَلاَحًا فَهُوَ مَنْهِيٌّ عَنْهُ

Maksudnya: “Bahawa setiap tindakan yang membawa kerosakan atau yang menolak kemaslahatan, maka ianya ditegah.”

 

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Keselamatan bermaksud keselamatan nyawa, harta orang yang mengerjakan haji disepanjang jalan, yang akan dilalui dan tempat yang sepatutnya diziarahi, walaupun hanya secara berat sangka (zanni).”

Maksudnya ialah keselamatan pada keseluruhannya. Jika seseorang itu merasa tidak selamat atau bimbang terhadap keselamatan nyawanya, isterinya atau hartanya kerana ada binatang buas, seteru, perompak atau penyamun (yang menunggu mereka) dan jalan-jalan lain yang selamat tidak ada, maka pada ketika itu, haji tidak wajib ke atasnya kerana bencana dan ancaman tersebut.

 

Jenis-Jenis Kemampuan Bagi Seseorang Dalam Mengerjakan Ibadat Haji Dan Umrah

Berkemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung dan kemampuan secara tidak langsung.

  • Kemampuan secara langsung ialah seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadat haji dan umrah kerana masih berupaya iaitu badan yang sihat, mampu menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadat tanpa mengalami kemudaratan dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

 

  • Kemampuan secara tidak langsung pula bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya, sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.

 

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW di mana seorang lelaki berkata:

((يَا رَسُولَ اللهَّ إِنَّ أَبِي مَاتَ، وَلَمْ يَحُجُّ، أَفَأَحَجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: ((أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ؟)) قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: ((فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ

            Maksudnya: “Hai Rasulullah! Bapaku telah meninggal dunia sedangkan dia belum lagi mengerjakan haji. Adakah aku boleh menunaikan haji bagi pihaknya? Baginda Rasulullah SAW bersabda: Bagaimanakah sekiranya bapa engkau berhutang, adakah engkau akan melunaskannya? Dia menjawab: Ya! Baginda SAW bersabda lagi: Hutang terhadap Allah lebih berhak ditunaikan.”

Riwayat al-Nasaie (2639)

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

25 Syawal 1436H bersamaan 10 Ogos 2015