SOALAN
Nyatakan perbezaan antara fardu dan wajib.
JAWAPAN
Fardu ialah sesuatu yang dituntut oleh Allah dengan tuntutan secara muktamad (جزم) dan pelakunya diberi pahala, manakala yang meninggalkannya dikenakan azab.
Contohnya ibadat puasa: Syariat Islam menuntut supaya menunaikannya dengan tuntutan secara muktamad. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa.
(Surah al-Baqarah: 183)
Oleh itu, sesiapa yang berpuasa akan diberikan nikmat di dalam syurga dan sekiranya tidak berpuasa akan dikenakan azab di dalam neraka.
Dalam mazhab Syafie, wajib dan fardu adalah sama kecuali pada bab haji. Wajib dalam bab tersebut ialah perkara yang tidak menjadi syarat sah ibadat haji. Dengan kata lain, meninggalkan perkara wajib haji tidak menyebabkan ibadat haji batal.
Contohnya: Melontar anak-anak batu di ketiga-tiga jamrah, berihram di miqat dan perkara wajib haji yang lain. Oleh itu sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara wajib dalam ibadat haji, hajinya tetap sah tetapi dia dianggap telah melakukan kesalahan. Justeru dia wajib menggantikannya dengan fidyah, iaitu menyembelih binatang ternakan.
Sementara fardu dalam bab haji ialah perkara yang apabikla ditinggalkan akan menyebabkan ibadat haji luput dan tidak sah.
Contohnya: Wuquf di Arafah, tawaf ifadhah dan fardu-fardu yang lain. Sesiapa yang meninggalkannya ketika menunaikan haji, batallah ibadat haji.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
29 Syawal 1436H bersamaan 14 Ogos 2015