Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya, hingga hari kesudahan. kami mengambil maklum atas persoalan wang yang haram. wang fidyah dan juga hasil daripada kaffarah yang diserahkan kepada Baitulmal. Justeru, kami telah mengadakan perbincangan juga Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Kali Ke-92 pada 7 Julai 2015 dan semua bersetuju mengikut apa yang dinyatakan di dalam ini.
Kaffarah Puasa
Kaffarah bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa yang berupa membebaskan hamba, bersedekah dan puasa dengan syarat-syarat tertentu. Ia juga suatu penampal kecuaian yang dilakukan oleh manusia dalam tindakannya.
Pertama: Di Manakah Diagihkan Wang Yang Haram, Tidak Patuh Syarak Atau Yang Syubhah
Menurut Ibn al-Arabi dalam tafsirnya :
فإن التبس عليه الأمر ولم يدر كم الحرام من الحلال مما بيده، فإنه يتحرى قدر ما بيده مما يجب عليه رده حتى
لا يشك أن ما يبقى قد خلص له
Maksudnya: “Jika seseorang itu ragu-ragu tentangnya, dan dia tidak mengetahui berapakah yang halal dan berapakah yang haram ditangannya, maka wajiblah dia berhati-hati kadar harta yang masih ada ditangannya dengan mengembalikannya kepada tuannya sehingga dia tidak ada sebarang kesangsian lagi bahawa yang berbaki sudah bersih daripadanya.”
Al-Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin (2/93) mengatakan : “Jika bercampur antara harta yang halal dengan harta yang haram dan kedua-duanya tidak dapat dibezakan, maka tidaklah mengapa untuk kita menggunakannya. Hal ini adalah seperti harta yang diperolehi pada zaman kita sekarang (pada zaman al-Imam Ghazali yang wafat pada tahun 505H itu sendiri telah pun berlaku percampuran harta yang halal dan haram, apatah lagi zaman yang lebih teruk seperti sekarang!!)” Katanya lagi: “Jika harta tersebut dapat dipastikan mana satu yang halal dan mana satu yang haram maka wajiblah menjauhi perkara yang haram tersebut.”
Kesimpulan yang perlu dilakukan apabila harta pendapatan seseorang bercampur diantara yang halal dan yang haram :
- Cuba asingkan antara duit yang halal dan yang haram.
- Jika dapat diasingkan, duit yang haram dikembalikan kepada tuannya manakala yang baki adalah halal boleh dimiliki serta halal untuk dibelanjakan kepada ahli keluarga.
- Jika percampuran antara harta yang halal dan haram serta ia tidak dapat dibezakan, maka halal untuk seseorang itu menggunakannya sebagaimana keterangan Imam al-Ghazali.
Manakala wang yang diyakini sumbernya haram dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :
- Hendaklah diserahkan kepada pemiliknya jika mampu.
- Diagihkan untuk kemaslahatan muslimin seperti pembinaan jalan, jambatan, tandas dan sebagainya
- Baitulmal
- Disedekahkan bagi pihak tuannya.
Kedua: Fidyah
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qadha) di bulan Ramadan.
Orang yang tidak melakukan qadha bagi puasa yang telah ditinggalkan hingga tiba Ramadan berikutnya hendaklah dia mengeluarkan fidyah serta qadha. Syeikh Muhammad Syarbini al-Khatib menyebut di dalam al-Iqna’ (1/243):
وَمَنْ أَخَّرَ قَضَاءَ رَمَضَانَ مَعَ إمْكَانِهِ حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ آخَرُ لَزِمَهُ مَعَ الْقَضَاءِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدٌّ لِأَنَّ سِتَّةً مِنْ الصَّحَابَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ قَالُوا بِذَلِكَ وَلَا مُخَالِفَ لَهُمْ. وَيَأْثَمُ بِهَذَا التَّأْخِيرِ. قَالَ فِي الْمَجْمُوعِ : وَيَلْزَمُهُ الْمُدُّ بِدُخُولِ رَمَضَانَ. أَمَّا مَنْ لَمْ يُمْكِنْهُ الْقَضَاءُ لِاسْتِمْرَارِ عُذْرِهِ حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ فَلَا فِدْيَةَ عَلَيْهِ بِهَذَا التَّأْخِيرِ.
Maksudnya: “Orang yang melambatkan qadha Ramadan sedangkan dia mampu melakukannya hingga masuk bulan Ramadan yang lain hendaklah dia keluarkan satu mud (secupak) makanan (di Malaysia beras) bagi setiap hari (yang ditinggalkan) bersama dengan qadha kerana enam sahabat R.Anhum memberikan pendapat sedemikian itu dan tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat lain yang menyalahi mereka. Dan berdosa hukumnya dia mentakhirkannya. Dia berkata (al-Nawawi) di dalam al- Majmuk : Wajib dia keluarkan secupak disebabkan masuk Ramadan yang lain. Adapun orang yang tidak mampu mengqadhanya kerana berterusan uzurnya hingga masuk Ramadan lain maka tidak ada fidyah disebabkan penangguhan ini.”
Cara Pembayaran
Pertama : Menurut Imam Al-Syafi`e tidak sah membayar fidyah puasa dan zakat fitrah dalam bentuk wang tunai (harga) sebagai ganti kepada makanan (beras). Llihat al-Mawardi di dalam kitab al-Hawi al-Kabir, (2/179). Walaupun begitu pendapat mutaakhirin dibolehkan dengan wang tunai.
Kedua : Di dalam Mazhab Hanafi pula harus membayar fidyah dengan wang tunai (harga makanan) sebagai ganti bagi makanan tersebut. Jika seseorang yang dikenakan bayaran fidyah puasa itu mengeluarkan harga makanan dengan mata wang kertas seperti Ringgit Malaysia dan sebagainya, ini adalah sesuatu yang sah di sisi mereka. Setelah itu, ulama Mazhab Hanafi berselisih pendapat berhubung perkara yang paling afdhal dikeluarkan; barangan makanan atau harganya (wang tunai). Llihat al-Mawardi di dalam kitab al-Hawi al-Kabir (3/179), az-Zabidi al-`Ibadi dalam al-Jawharah an-Nayyirah (1/134) dan Badruddin al -`Aini al-`itabi al-Hanafi dalam Al-Banayah Syarah al-Hidayah (3/349).
Ketiga : Ketika bertaklid dengan Mazhab Hanafi dalam mengeluarkan harga (wang tunai) mestilah diambil perhatian bahawa ulama Mazhab Hanafi telah menaskan bahawa fidyah puasa adalah ½ gantang daripada gandum atau segantang barli atau tamar. Perlu diingatkan di sini, dalam Mazhab Hanafi mereka tidak berpendapat barang yang dikeluarkan sebagai fidyah itu daripada ghalib qut al-balad (makanan asasi sesebuah Negara) sebagaimana di dalam Mazhab Syafie, tetapi mereka berpendapat barang yang dikeluarkan sebagai fidyah adalah ½ gantang gandum atau segantang barli atau tamar. Segantang (sha`) menurut Mazhab Hanafi adalah 6 mud (cupak) bukannya 4 mud sebagaimana di dalam Mazhab Syafie. Justeru, ketika menilai harga mestilah pihak tuan membezakan dan menyedari perbezaan ini. Sebagai contohnya, dinilaikan harga ½ gantang gandum (menyamai 3 mud di sisi Mazhab Hanafi) dengan menggunakan mata wang kertas kemudian diagihkan kepada orang yang berhak menerima bantuan (para fakir dan miskin). Justeru, untuk mengamalkan perkara ini di Malaysia, maka hendaklah dilihat terlebih dahulu kepada harga ½ gantang gandum atau segantan barli atau tamar. Sekiranya harga ½ gantang gandum RM 3 sebagai contohnya, maka sah dikeluarkan fidyah dengan harga RM3. Jika ingin berjaga-jaga dalam persoalan ini, bolehlah pihak tuan mengutip dan mengagihkan fidyah sebanyak Rm 4 dan meniatkan lebihan sebanyak Rm 1 sebagai sedekah. Lihat Muhammad Bin Hasan as-Syaibani di dalam al-Hujjah `Ala Ahl al-Madinah (1/398), as-Sarakhsi al-Hanafi di dalam al-Mabsuth (3/100).
Keempat : Harus di dalam fidyah puasa mewakilkan pembayaran fidyah kepada pihak tertentu. Perkara ini adalah antara perkara yang dikecualikan daripada ketidakabsahan al-wakalah di dalam perkara yang berhubung dengan ibadat. Dalam hal mewakilkan bayaran fidyah ini, harus untuk diwakilkan kepada seseorang yang thiqah dan mengetahui di manakah sewajarnya dibelanjakan fidyah ini. Begitu juga harus untuk mewakilkan kepada kakitangan yang bekerja di sesebuah pertubuhan Islam (sebagai contoh di sini pihak baitulmal MAIWP sendiri) yang mana pihak tersebut mestilah boleh dipercayai dalam mengagihkan fidyah kepada penerima yang berhak berlandaskan hukum syariat Islam. Lihat al-Khatib Asyarbini as-Syafi`e dalam Mughni al-Muhtaj.
Kelima : Peringatan penting; jangan mempercepatkan pembayaran fidyah puasa sebelum waktunya bahkan dibayar fidyah tersebut pada setiap hari mengikut harinya. Maka tidak sah membayar fidyah pada awal Ramadan untuk 30 hari bagi sebulan kesemuanya. Lihat an-Nawawi di dalam al-Majmu`.
Kesimpulannya ialah yang tidak patuh syariah boleh dimasukkan dalam sumber am dan diberi untuk maslahah umum. Sedangkan fidyah dan kaffarah hendaklah dibagi kepada fakir miskin.
Semoga pencerahan ini memberi jawapan dan menyelesaikan isu wang yang berbaki dalam akaun baitulmal bersabitan dengan wang kifarah, fidyah dan juga patuh syariah.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
21 Ramadan 1436h Bersamaan 07 Julai 2015