اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-44: DALIL PENSYARIATAN SOLAT HARI RAYA

 solat raya.JPG

Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut.

Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kautsar: 2)

Ulama tafsir menyatakan maksud sembahyang dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسِ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَن يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)

Musalla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Jumhur ulama menyebut adalah sunat kita melakukan solat hari raya fitrah dan korban di Musalla (tempat yang lapang atau padang).

Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat lapang dan ianya lebih afdal dari solat di masjid.”

Begitu juga yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Akan tetapi bagi mazhab al-Syafie tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.

Berkata Mikhnaf bin Sulaim (seorang sahabat Nabi SAW): “Keluar pada masa hari raya fitrah seperti mengerjakan umrah dan keluar pada masa hari raya korban seperti melakukan haji.”

Semoga Allah faqihkan kita dalam agama ini. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

1 Syawal 1436H bersamaan 17  Julai 2015