Kami nyatakan di sini yang peranan masjid amat besar. Begitu juga ia menzahirkan erti persamaan. Lihat kunjungan jemaah ke tempat yang satu. Mereka melakukan ibadat solat dalam gerakan yang sama sebagai makmum yang mengikut imam. Semua berada dalam saf yang tersusun indah . mereka mengaminkan doa dengan harapan yang satu. Kami nukilkan di sini kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya- Masjid Parlimen Umat. Antara lainnya:
Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding dengan persamaan kaum Muslimin dalam masjid? Orang tua duduk di samping anak kecil, orang kaya di samping orang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, profesor universiti di sebelah artis dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan antara mereka.
Dalam masjid tiada papan tanda yang menyusun barisan jemaah mengikut protokol dan kedudukan iaitu jemaah saf hadapan untuk para pemimpin dan menteri, saf kedua untuk anggota Dewan Rakyat, saf ketiga untuk pegawai kanan kerajaan dan sebagainya.
Kesemua itu tidak diamalkan dalam masjid. Sesiapa yang datang awal boleh terus duduk di barisan atau saf hadapan dan yang datang berikutnya duduk dalam saf seterusnya. Tiada perbezaan dan keutamaan saf untuk menunaikan solat di masjid.
Orang-orang Barat sehingga ke saat ini masih tidak mengenal aspek persamaan ini. Di negara Barat terdapat gereja untuk orang yang berkulit putih dan ada gereja untuk orang berkulit hitam.
Pada satu hari, seorang yang berkulit hitam di Amerika Syarikat telah tersalah masuk ke gereja orang berkulit putih. Paderi yang sedang memberi syarahan, melihat orang yang berkulit hitam ini berada di tengah-tengah hadirin gereja.
Paderi menatap wajah orang yang berkulit hitam dengan tajam dan berkata, “Gereja khusus untuk orang kulit hitam terletak di jalan sekian dan tempat sekian.” Ucapan paderi itu bermaksud untuk mengusir orang kulit hitam dari dalam gereja tersebut.
Kemudian, orang yang berkulit hitam pun bangun dan keluar dari majlis. Dalam hal ini ternyata dalam amalan ritual mereka pun masih membezakan warna kulit.
Seorang filosof Islam terkemuka dari India, Dr. Muhammad Iqbal pernah menyatakan bahawa, apakah pergolakan akan terjadi sekiranya seorang Brahmin, teknokrat dan sombong berdiri di samping orang miskin dan terbuang dari India Selatan atau melakukan ritual ibadat di tempat yang sama?
Seperti yang kita sedia maklum, orang-orang India sejak dari dahulu lagi terbahagi kepada kasta-kasta dan wujud sejak turun temurun. Tidak seorang pun boleh naik ke kasta yang lebih tinggi meskipun dengan cara ketinggian ilmu, taraf pekerjaan atau pun etika tertentu.
Sebesar mana pun pangkat atau setinggi mana pun ilmu yang dimiliki, atau perubahan status yang diperolehi dari masyarakat sosial, tidak akan merubah kasta seseorang ke atas kasta yang lebih tinggi.
Kasta Brahmin adalah para pemimpin, mereka menduduki kasta tertinggi. Mereka diciptakan daripada mulut tuhan. Sedangkan orang-orang lain diciptakan dari lengan atau dari kaki tuhan atau bukan ciptaan tuhan sama sekali seperti orang-orang yang tidak boleh disentuh dan menyentuh orang lain yang kastanya tinggi.
Mereka adalah orang-orang yang lahir dalam keadaan najis dan keji. Mereka tidak memiliki cara untuk bersuci dan berkembang.
Persamaan hakiki hanyalah milik kita kaum Muslim dan milik kita yang paling suci itu berada di dalam masjid. Sesungguhnya institusi masjid dan matlamat masjid perlu kita ketahui.
Kita perlu terus terikat dengan masjid dan melatih anak-anak kita supaya biasa dan tidak kekok untuk pergi ke masjid. Solat berjemaah lebih utama daripada solat secara bersendirian dengan perbezaan 25 atau 27 darjat. Ini sebagaimana disebut dalam hadis Nabi SAW,
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعِ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat jemaah lebih utama daripada solat sendirian dengan 27 darjat.”
Riwayat Malik
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat jemaah lebih utama dari solat sendirian dengan 25 darjat.”
Riwayat Ahmad
Sehubungan dengan itu, siapakah yang dikategorikan sebagai orang yang memakmurkan atau mengimarahkan masjid? Adakah orang-orang yang menganggur, orang-orang yang bekerja atau berkerjaya? Dalam hal ini, Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran, Allah berfirman:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ ﴿٣٦﴾ رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْماً تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأَبْصَارُ
Maksudnya: Nur hidayah pertunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta di peringkat Allahpadanya; di situ juga dikerjakan ibadat bersuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang, (ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh peniaga atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberikan zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
(Surah an-Nur: 36-37)
Tegasnya, orang-orang yang dikategorikan sebagai orang yang memakmurkan masjid itu bukanlah orang-orang yang menganggur tetapi orang-orang yang bekerja.
Ini seperti yang berlaku di kalangan para sahabat Rasulullah SAW. Inilah masjid, inilah rumah Allah SWT, rumah yang dinisbahkan oleh Allah SWT pada diri-Nya sebagaimana disebut dalamhadis qudsi:
إِنّ بُيُوتِيْ فِي الأَرْضِ المَسَاجِدَ وَإِنّ زُوّارِيْ فِيْهَا هُمْ عَمّارُهَا فَطَوْبِى لِمَنْ تَطَهّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمّ زَارَنِي فِي بَيْتيْ فَحَقّ عَلَى المَزُوْرِ أَن يُكْرِمَ زَائِرَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya rumah-Ku di bumi adalah masjid dan sesungguhnya para pengunjung-Ku di dalamnya adalah orang-orang yang memakmurkannya. Alangkah beruntungnya orang yang bersuci di rumahnya kemudian mengunjungi-Ku di rumah-Ku. Wajiblah atas yang dikunjungi untuk memuliakan pengunjung-Nya.
Riwayat al-Tabarani
Justeru, marilah kita imarahkan masjid dengan pengisian ilmu, keroanian dan juga kerjasama yang erat sesama kita. Ini sudah tentu menatijahkan jemaah yang bersatu padu di bawah kemuliaan rumah Allah. Itulah masjid.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Syawal 1436H