SOALAN:
BAGAIMANAKAH CARA MENUNAIKAN SOLAT DI ANGKASA?
JAWAPAN:
Angkasa ialah udara, langit. Angkasa lepas bermaksud ruang lapisan udara yang mengelilingi bumi.
Mengikut buku garis Panduan Ibadah Di International Space Station, ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa), cara pelaksanannya adalah seperti berikut:
Pertama: Penentuan Kiblat.
Mengikut kemapuan berdasarkan urutan berikut:
- Kaabah
- Unjuran Kaabah.
- Bumi
- Mana-mana arah.
Kedua: Penentuan Waktu Solat.
Lima waktu solat dalam tempoh 24 jam (1 hari di bumi) mengguna pakai waktu solat tempat berlepas (dengan penyesuaian untuk kawasan melebihi latitude 45’ utara mengikut buku Kaedah Panduan Falak Syarie angkasawan.
Ketiga: Cara Menunaikan Solat.
- Solat boleh ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada’.
- Pelaksanaan rukun fi’li (perbuatan) solat adalah dengan mengikat diri angkasawan mengikut kesesuaian keadaan di ISS berdasarkan urutan berikut:
- Jika tidak berupaya berdiri tegak, hendaklah berdiri secara membongkok.
- Jika tidak berupaya berdiri hendaklah secara duduk. Seseorang boleh melakukan rukuk dengan dahinya setentang lutut atau lebih utama setentang dengan tempat sujud.
- Jika tidak berupaya duduk, hendaklah secara berbaring mengiring di atas lambung kanan dan bahagian tubuh mengadap kiblat.
- Jika tidak berupaya baring hendaklah secara menelentang.
- Jika tidak berupaya secara menelentang, hendaklah secara isyarat mata bagi setiap pergerakan solat.
- Jika tidak berupaya juga hendaklah dengan hati iaitu menggambarkan dirinya berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya.
- Pelaksanaan rukun qauli (perkatan) solat adalah sama seperti di bumi.