Jawapan
Saya telah ditemuramah melalui berita berkenaan dengan solat tarawih yang kurang daripada lapan minit. Untuk penjelasan isu ini, saya kemukakan secara lebih panjang dalam Irsyad Fatwa pada kali ini.
- Saya amat menghormati pendapat mana-mana ulama dan tokoh agamawan yang menghuraikan secara khusus berkaitan dengan agama sekalipun pendapat tersebut adalah pandangan yang tidak sama dengan pendapat jumhur dan juga kami sendiri.
- Dalam isu ini, saya nyatakan bahawa amat penting untuk kita memahami bahawa salah satu daripada rukun solat yang disertakan bersama dengan rukun fi’li atau perbuatan adalah tamakninah. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak baik dalam solatnya. Dengan erti kata yang lain dia mengabaikan tamakninah. Hadis ini dikenali sebagai musi’ as-salah.
- Ada sebuah hadis yang menceritakan berkenaan Rasulullah SAW meminta seorang lelaki mengulangi solatnya kerana tiada Hadis ini telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه، أَنَّ رَجُلًا دَخَلَ الْمَسْجِدَ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ فِي نَاحِيَةِ الْمَسْجِدِ، فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَعَلَيْكَ السَّلَامُ، ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ"، فَرَجَعَ فَصَلَّى، ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ، فَقَالَ: "وَعَلَيْكَ السَّلَامُ، فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ"، حَتَّى فَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَقَالَ الرَّجُلُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَ هَذَا فعَلِّمْنِي يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ: "إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ بِمَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا
Maksudnya: Daripada Abi Hurairah RA bahawa seorang lelaki masuk ke masjid sedang Rasulullah SAW duduk. Kemudian Rasulullah SAW menjawab salam dan berkata kepadanya: “Kembalilah dan solatlah kerana kamu belum solat.” Kemudian dia kembali untuk solat sebagaimana asalnya. Kemudian dia datang memberi salam kepada Rasulullah SAW kemudian baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah kerana kamu belum solat.” Kemudian dia kembali untuk solat sebagaimana asalnya. Kemudian dia datang memberi salam kepada Rasulullah SAW kemudian baginda bersabda sehingga berulang tiga kali. Kemudian pada kali ketiga lelaki itu berkata: “Demi yang Allah bangkitkan kamu dengan kebenaran hai Rasulullah, aku tidak boleh lakukan lebih baik daripada itu. Maka ajarkanlah aku.” Jawab baginda: “Bila kamu mahu solat hendaklah bertakbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu daripada ayat al-Quran, rukuklah kamu sehingga kamu tamakninah dalam rukuk….”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara faedah hadis ialah: Pada masa rukuk mesti ada tamakninah dan tidak memadai sekadar tunduk rukuk seterusnya terus bangkit. Maka jadilah seperti gagak yang mencakar tanah. Inilah yang ditafsirkan oleh ramai perawi hadis.
Justeru saya mengharapkan dengan penjelasan ini kita memahami bahawa solat merupakan tempat munajat kita kepada Allah dan kita berbicara dengannya. Justeru amat wajar kita sertakan dengan sebuah ketenangan lebih-lebih lagi kita menghadap Rabb al-Alamin.
- Bacalah sejarah Nabi SAW bagaimana baginda solat pada waktu malam sehingga kata A’isyah: “Tidak aku tengok kebaikannya dan kesempurnaannya dalam solat pada rukuk, sujud, dan qiamnya. Ini memberi maksud betapa tenangnya baginda dan para sahabat solat serta panjangnya masa solat mereka.”
- Perkataan iqamah atau aqimu as-solah seperti yang ditafsirkan oleh kebanyakan ulama ialah meraikan adab, rukun, syarat dan tamakninah ketika melaksanakan solat. Justeru, mereka berkata ramai orang solat tetapi tidak ramai orang yang benar-benar iqamah
- Solat sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama ada rohnya dan roh itu adalah khusyuk di mana khusyuk tidak mungkin singgah pada orang yang solat bersifat gopoh-gapah kerana tidak wujud penumpuan dan penghayatan di sebalik rahsia atau asrar solat itu. Bacalah kitab al-Ghazali melalui Ihya’ Ulumuddin dan juga kitab Waliyullah Addihlawi’ melalui kitabnya ‘Hujjatul Balighah’ yang memperincikan berkenaan rahsia solat.
Akhir kalam marilah sama-sama kita memahami dan mempelajari agama kita terutamanya dalam isu solat agar kefahaman berkaitan dengan fiqh as-solah dapat kita hadam dengan sebaik mungkin.