Soalan : Umum mengetahui, kelompok Syiah Imamiyah menolak Sahabat Nabi SAW. Bagaimanakah kedudukan sebenar para Sahabat di sisi Imam al-Syafie?
Jawapan : Imam al-Syafie berkata: “Allah SWT telah menyampaikan pujian kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam al-Qur’an, Taurat dan Injil. Dan telah lebih dahulu disampaikan tentang keutamaan mereka melalui lisan Rasulullah SAW, sesuatu yang tidak dimiliki oleh seorang pun setelah mereka. Maka Allah SWT pun menyayangi mereka dan menempatkan mereka pada setinggi-tinggi darjat dan kedudukan iaitu kedudukan orang-orang yang jujur, para syuhada’ dan orang-orang soleh.
Merekalah yang telah menyampaikan kepada kita sunnah-sunnah Rasulullah SAW, dan merekalah yang menyaksikannya. Ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mereka mengerti apa yang dikehendaki oleh Rasul dalam keadaan umum mahupun khusus, dan mereka mengetahui dari Sunnahnya apa yang kita ketahui dan apa yang tidak kita ketahui. Dan mereka melebihi kita dalam bidang ilmu pengetahuan, ijtihad, sikap warak serta perkara yang dapat difahami melalui ilmu dan disimpulkannya.
Pemikiran-pemikiran mereka untuk kita lebih terpuji dan lebih utama daripada pemikiran-pemikiran yang datang daripada kita untuk kita. Jika seseorang di antara mereka menyatakan pendapatnya, kemudian tidak seorang pun yang menyalahkannya, maka kita pun akan mengambil pendapatnya itu.
Dalam ungkapan ini terkandung penghargaan yang begitu besar terhadap sahabat dan pengenalannya akan hak dan ketinggian kedudukan mereka dalam Islam, dan inilah yang diyakini oleh setiap pengikut Ahli Sunnah wa al-Jama’ah.
Berkata Imam al-Syafie : “Saya tidak melihat orang yang diuji dengan tindakan mencaci-maki para sahabat Rasulullah SAW, melainkan dengan caci-maki itu, Allah akan menambahkan kepada mereka (sahabat) pahala dikala sudah terputusnya amal perbuatan mereka (setelah meninggal dunia).”
Imam al-Syafie juga menyebut tentang keunggulan Khulafa’ al-Rasyidin dan darjat mereka dalam kalangan sahabat : “Manusia yang paling utama selepas Rasulullah SAW adalah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA.”
Tambahnya lagi : “Keutamaan itu dimulai daripada Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.”. Al-Rabi’ bin Sulaiman juga berkata : “Aku telah mendengar Imam al-Syafie RA menyatakan tentang keutamaan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA.” Wallahua'lam.
Akhukum Fillah,
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan