Apakah keperluannya/baiknya membaca sighah ta’liq yang biasa diamalkan di Malaysia. Adakah dalam undang undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia, bacaan ta’liq wajib dibaca ataupun ia hanya satu keharusan sahaja. Kenapa dalam majlis yang mulia iaitu majlis akad nikah, kita terus membacakan lafaz-lafaz talak walaupun lafaz talak tersebut adalah bersyarat?
Jawapan:
Islam mensyariatkan perkahwinan dan menetapkan peraturan yang sempurna berdasarkan prinsip yang kukuh dan menjamin kestabilan masyarakat, kebahagiaan keluarga, tersebarnya kebaikan, pemeliharaan budi pekerti dan mengekalkan generasi manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا ﴿٣﴾
Maksudnya: Maka, kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.
(Surah al-Nisa’: 3)
Firman Allah SWT lagi:
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ
Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.
(Surah al-Nur: 32)
Begitu juga hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, sabda Rasulullah SAW:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka kahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Sebaliknya, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa itu merupakan pengekang nafsu.”
Riwayat al-Bukhari (4779) dan Muslim (1400)
Sebelum menjawab isu ta’liq, suka dinyatakan bahawa kadar perceraian di Malaysia cukup menakutkan. Ada yang menganggarkan setiap 15 minit 1 perceraian dan bilangan kes seperti ini telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding 8 tahun yang lalu. Antara punca perceraian ialah ketidakbertanggungjawaban dan juga penderaan terhadap pasangan terutamanya kepada isteri.
Sebenarnya isu ta’liq ini amat penting dilihat dalam aspek yang lebih meluas. Ini kerana matlamat undang-undang ialah untuk menjaga keharmonian serta hak setiap individu. Begitu juga dalam masalah lafaz ta’liq ini. Kesemuanya ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah melayari bahtera rumah tangga dimana terdapatnya badai sehingga hak-hak isteri diabaikan. Justeru, sebagai (سَدُّ الذَّرِيْعَة) undang-undang taklik ini diperkenalkan.
Penulis berpendapat dengan situasi dan banyak kes yang berlaku sighah ta’liq dan lafaz amat wajar untuk diadakan walaupun mungkin keperluan untuk meminda beberapa syarat dan ta’liq oleh pakar-pakar dan pengkaji berkenaan dengan isu ini.
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih memahami akan tanggungjawab dan hak suami isteri yang perlu ditunaikan oleh pasangan masing-masing.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan