Apakah maksud riddah atau murtad?
Jawapan:
Dalam menjawab persoalan ini, kedua-dua perkataan ini daripada bahasa Arab. Di mana riddah lebih menunjukkan kepada masdar sedangkan murtad kepada isim fa’il. Secara terperinci saya nyatakan seperti berikut:
Dibahagikan definisi ini kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah.
- Dari segi bahasa
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.
Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”
- Dari segi istilah
Menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.
Penulis mengemukakan pendapat ulama berkenaan dengan pengertian murtad:
- Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.” Lihat Bada’i al-Sana’i dan Hasyiah Ibn Abidin (4/221).
- Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.” Lihat Minah al-Jalil (4/461).
- Mazhab Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” Lihat Mughni al-Muhtaj (4/134).
- Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.” Lihat al-Raud al-Nadi Syarh Kafi al-Mubtadi (hal. 479).
Meneliti pendapat fuqaha melalui definisi masing-masing, penulis dapat membuat beberapa noktah persamaan antara mereka iaitu:
- Keluar daripada Islam.
- Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
- Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.
Akhirnya, penulis mengemukakan takrif secara keseluruhan seperti yang dinukilkan daripada kitab Uqubah al-I’dam (hal. 349) menyebut: Murtad ialah seseorang Islam secara pilihan dengan Islamnya telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara darurat.
Semoga Allah memelihara kita daripada terjerumus ke lembah kemurtadan yang akhirnya kita berada dalam keadaan keredhaan Allah dengan ilmu dan juga keyakinan yang terwujud pada diri kita.
Akhukum Fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan