اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-229a : HUKUM MEMBERI MAKAN HAIWAN TERNAKAN DARIPADA BAHAN YANG DIRAGUI HALAL ATAU HARAM

Soalan:

Apakah hukum memberi makanan kepada ayam yang sumbernya daripada meat bone meal, lembu (sebagai sumber protein) yang tidak diketahui sumber sembelihannya samada halal ataupun tidak yang ianya diberikan 5 hari sebelum disembelih ayam tersebut? Apakah hukum memakan ayam tersebut?

Jawapan:

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Isu ini telah dibincangkan oleh para fuqaha’ silam dan ia termasuk di bawah bab haiwan jallalah. Sabda Rasulullah s.a.w:

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنِ الْجَلَّاْلَةِ وَ أَلْبَاْنِهَاْ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w melarang daripada memakan haiwan jallalah dan susunya.

(Sunan Abi Daud: 3785)

Menurut Imam Nawawi, haiwan jallalah bermaksud haiwan yang memakan najis samada ianya unta, lembu atau ayam yang dagingnya berbau najis. Hukum memakannya ialah makruh. Isunya ialah samada daging tersebut berubah bau, warna dan rasa. Jika tidak, maka ia harus dan tidak makruh. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/28)

Imam Syafii sebelumnya pula menegaskan bahawa haram memakan haiwan jallalah sehingga dikuarantinkan dalam beberapa tempoh tertentu bagi menghilangkan bau atau berubah kekotorannya (Rujuk Al-Umm, 2/265).

Fatwa Imam Syafi’e ini senada dengan fatwa Imam Nawawi, di mana ‘illah pengharaman haiwan jallalah ialah kerana ia akan mengubah bau dan rasa daging tersebut.

Mufti Kerajaan Brunei Darussalam dalam fatwanya yang bertajuk “Makan Ikan Yang Diberi Makan Najis,” Siri Fatwa (35/2006) telah memfatwakan:

“Hukum memakan haiwan jallalah adalah makruh apabila daging dan ususnya berbau seperti bau najis. Tetapi sekiranya daging haiwan jallalah tidak berubah rasa, warna atau bau seperti najis, maka hukum memakannya adalah harus sekalipun haiwan jallalah tidak makan kecuali najis sahaja.

Begitu juga, sekiranya haiwan jallalah yang berbau itu dikurung (dikuarantinkan) untuk diberi makanan yang suci sehingga hilang bau atau kesan najis padanya. Kemudian disembelih, maka tidak makruh memakan daging haiwan jallalah. Walau bagaimanapun, kadar had makanan yang diberi kepada haiwan jallalah dan tempoh masa ianya dikurung (dikuarantinkan) untuk menghilangkan hukum makruh tersebut tidaklah ditentukan kadar dan tempohnya. Ia adalah tertakluk kepada adat kebiasaan yang dijangka bauan kesan najis tersebut akan hilang.

Kedua, memberi makanan haiwan yang boleh dimakan dengan makanan najis. Hukum memberikan makanan haiwan yang boleh dimakan dengan najis hukumnya adalah makruh.

Ketiga, menjual haiwan jallalah. Hukum menjual haiwan jallalah yang sudah mati setelah disembelih sebelum dikurung (dikuarantinkan) untuk diberikan makanan suci agar hilang padanya kesan najis, hukumnya adalah makruh.”

Fatwa Kerajaan Brunei ini menepati fatwa yang dikemukan oleh Imam Syafie dan Imam Nawawi yang dinukilkan di atas.

Namun demikian, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006, telah memfatwakan berkenaan isu ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya, hukumnya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut SENGAJA dipelihara di dalam air najis atau SENGAJA diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.

Tanggapan kami terhadap fatwa MJFK ini ialah, fatwa tersebut dikeluarkan sebagai langkah sadd az-zarai’e, iaitu untuk mencegah sikap bermudah-mudahan sebahagian penternak yang tidak mengambil cakna akan soal haram haram dari sudut pemakanan. Ia juga bagi menjaga sensitiviti umat Islam sebagai masyarakat majoriti di Malaysia. Ia juga melibatkan dua isu yang berbeza iaitu babi yang diketahui berbau busuk yang melampau, dan juga daging babi yang tidak disembelih menurut syarak yang tidak demikian sifatnya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum memberi makan kepada ayam daripada meat bone meal yang tidak diketahui status kehalalannya adalah HARUS, tapi MAKRUH menurut pandangan mu’tamad mazhab Syafi’e.

Sementelah lagi meat bone meal yang digunakan juga bukanlah yang haram secara pasti, kerana tidak diketahui sumber perolehannya samada daripada lembu yang disembelih atau tidak. Mengambil hukum setempat dimana Malaysia merupakan negara majoriti Muslim yang amat mementingkan kesucian makanan, maka meat bone meal tersebut bolehlah dianggap sebagai bersumberkan daripada lembu yang disembelih secara syar’ie.

Tempoh 5 hari kuarantin yang diamalkan juga hampir menepati fatwa yang dikeluarkan Imam Syafi’e (7 hari), dimana secara adatnya ayam tersebut akan bersih daripada sebarang kesan najis pada dagingnya samada dari sudut bau atau rasa.

Wallahu a’lam.