اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 240 : HUKUM MENGHADIRI MAJLIS KERAIAN YANG MENGANDUNGI MAKSIAT

 

Soalan:

Apakah hukum hadir majlis kenduri atau majlis keraian yang mengandungi maksiat ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, adalah amat baik jika kita menekuni hukum menghadiri sesebuah majlis perkahwinan sebagai asas dalam perbincangan. Setelah itu, majlis-majlis lain boleh diqiyaskan kepadanya.

Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.

Riwayat Muslim 1053

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Berikut merupakan ringkasan perbincangan ulama mengenai hukum asal  menghadiri majlis perkahwinan. Mazhab Hanafi dan juga satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukumnya sunat. Manakala terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat. Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (45/235-236).

Hukum Menerima Jemputan Majlis Yang Diisi Dengan Perkara Mungkar

Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang dijemput ke majlis perkahwinan dalam keadaan dia mengetahui bahawa di dalam majlis tersebut terdapat perkara yang haram seperti hidangan arak sedangkan dia tidak mampu memungkirinya, maka gugur kewajipannya menghadiri majlis tersebut. Lihat Hashiyah al-Dusuqi: 2/377, Sharh al-Zurqani: 4/53, al-Hawi al-Kabir: 12/199, Raudhah al-Talibin: 7/334).

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

قَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

Maksudnya: Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.

Surah Al-Nisa’ (140)

Berdasarkan kepada mafhum ayat di atas, perbuatan duduk di dalam sesebuah majlis yang terdapat di dalamnya pengingkaran dan penghinaan kepada ayat-ayat Allah adalah ditegah dan dilarang. Ini jelas ditunjukkan oleh frasa بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ yang datang dengan ‘La al-Naahiyah’ yang membawa hukum haram.

Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:

وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم

Maksudnya: Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Dari kalangan ahli bid’ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. Lihat Al-Jaami’ al-Bayan, al-Thabari (9/320).

Selain itu, terdapat juga sebuah riwayat yang jelas dari Nabi S.A.W akan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.

Riwayat al-Haithami (1/283)

Siyaq ataupun konteks hadis di atas jelas menunjukkan kepada pengharaman duduk di majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini kerana, lafaz sebelum itu menunjukkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia jangan meminum arak. Larangan meminum arak tidak menunjukkan kepada kemakruhan bahkan kepada keharamannya. Justeru, larangan seterusnya ke atas perbuatan duduk di hidangan yang terdapat padanya arak juga menunjukkan kepada hukum yang sama.

Fatwa Badan-Badan Berautoriti

Pertama: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq pada tahun 1979 M, beliau menyatakan berkaitan dengan majlis yang berlangsung padanya pemberian dan penerimaan dadah dengan katanya: Allah memuji hamba-hamba-Nya yang menjauhi majlis-majlis yang melalaikan lagi lagha. Maka Dia berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Maksudnya: (Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang lagha.

Surah al-Mu’minun (3)

Dan Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.Anh tentang katanya:

نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.

Kata Syeikh Rahimahullah: Yang diambil faedah dari beberapa nas ini adalah keharaman bermajlis dengan mereka yang melakukan maksiat dalam apa sahaja bentuknya. Ini kerana dalam bermajlis dengan mereka akan berlaku kerosakan terhadap perkara yang Allah haramkan. Dan sesiapa yang bermajlis bersama dengan pelaku maksiat yang melakukan kemungkaran pastilah akan berakhlak dengan akhlak mereka yang buruk (mengikut peribadi mereka). Dan akan mengikut kebiasaan apa yang mereka lakukan daripada dosa seperti minum sesuatu yang memabukkan serta mengkhayalkan.

Kedua: Para ulama khilaf mengenai hukum menghadiri majlis sedemikian. Pendapat yang azhar dan sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali adalah haram berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W melarang duduk dalam majlis yang terdapat hidangan arak. Ini kerana, pemergiannya ke majlis tersebut dalam keadaan dia mengetahui kemaksiatan di dalamnya seolah-olah dia pergi untuk tujuan mendengar atau melihat kemaksiatan. Rujuk Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi 12/199, Raudhah al-Talibin, Al-Nawawi 7/334.

Dalam mazhab Hanafi secara jelas menyatakan sesiapa yang dijemput menghadiri majlis perkahwinan sedangkan dia mengetahui terdapat kemaksiatan di dalamnya sebelum ia hadir, maka tidak perlu dihadiri jemputan tersebut. Lihat Hashiyah Ibn ‘Abidin (5/222).

Namun terdapat satu pendapat dalam mazhab Syafie kalangan ulama Iraq yang mengharuskan, dengan syarat memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya. Keharusan itu dengan alasan kehadiran mereka mungkin akan menyebabkan penganjur majlis merasa malu lalu menghentikan atau mengurangkan kemungkaran yang dilakukan dalam majlis tersebut.

Dihikayatkan bagaimana Imam al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ka’ab telah dijemput menghadiri satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut mereka terdengar konsert nyanyian, lalu Muhammad bangun untuk meninggalkan majlis, namun ditarik oleh al-Hasan sambil berkata: “Duduklah, kemaksiatan mereka tidak menghalang ketaatanmu.”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menghadiri majlis perkahwinan atau keraian yang terdapat di dalamnya maksiat dan kemungkaran perlulah diperincikan dari dua sudut yang berikut:

Pertama: Bagi masyarakat awam, yang mana kehadirannya ke majlis tersebut tidak memberi sebarang kesan dan perubahan kepada acara majlis, maka adalah tidak perlu untuk dia menghadirinya bahkan tidak wajib untuk hadir ke majlis itu sekiranya dia mengetahui ada maksiat di dalamnya.

Kedua: Bagi tokoh-tokoh ulama seperti para agamawan, sekiranya kehadiran mereka ke majlis tersebut akan menyebabkan pihak penganjur berasa malu dan segan serta boleh jadi memberhentikan acara maksiat atau paling tidak mengurangkannya, maka kehadiran mereka pada majlis sebegitu adalah dibolehkan.

Dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia dan juga keadaan pihak kerajaan yang menjunjung tinggi nilai-nilai mulia dan adab yang murni, maka kami mencadangkan supaya sebarang bentuk sambutan keraian di majlis perpisahan dan selainnya, hendaklah dielakkan sebarang unsur maksiat di dalamnya. Inilah yang sepatutnya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.