اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-244 : PERALATAN MAKMAL YANG MUDAH ROSAK JIKA DISERTU

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri Dr. Zulkifli. Saya pelajar postgraduate di sebuah universiti. Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri Dr, mengenai bersuci daripada najis berat. Sekarang saya di fasa labwork. Dalam kajian saya, labwork ada melibatkan penggunaan enzim babi. Buat masa sekarang saya dapati amat sukar untuk saya menyesuaikan diri, kerana memikirkan saya perlu menyertu segala peralatan yang digunakan setiap hari. Dan peralatan yang digunakan dalam kuantiti agak banyak dan ada juga mesin yang tidak sesuai untuk saya sertu. Mohon penjelasan dan pencerahan daripada Dato’ Seri Dr., berkenaan bagaimana cara kerja terbaik untuk menjaga kebersihan diri, pakaian dan alatan makmal yang dikongsi bersama-sama pelajar lain serta labwork dapat dijalankan dengan baik tanpa ragu-ragu.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Mukadimah

Firman Allah Taala:

إِنَّما حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَما أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ باغٍ وَلا عادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Imam Fakhruddin al-Razi menghuraikan maksud pengharaman khinzir itu: “Firman-Nya “daging khinzir” bererti khinzir dengan setiap bahagian-bahagiannya, tetapi dikhaskan pada “daging” itu kerana tujuan (larangan) itu adalah untuk dimakan.” 

Rujuk Mafatih al-Ghaib (5/192)

Berkata Imam al-Baidhawi dalam tafsirnya (1/119): “Dan daging khinzir, sesungguhnya hanyalah dikhususkan sebutan “daging” itu kerana itulah kebanyakan yang dimakan orang daripada haiwan itu. Jadi, sebenarnya seluruh bahagian haiwan itu hukumnya mengikut hukum khinzir (yakni haram).”

 

Khinzir Adalah Najis Berat

Sebagaimana maklum, pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa najis mughallazah hanya boleh disucikan dengan tasbi` iaitu basuhan air mutlak sebanyak tujuh kali, dan tatrib, yakni salah satu daripada basuhan tadi dicampur dengan tanah. Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/585). Khinzir merupakan najis berat apabila kita diqiaskan dengan anjing yang juga merupakan najis berat. Ini kerana keadaan khinzir adalah lebih buruk sifat kefasikannya berbanding anjing. Maka cara penyucian najis mughallazah, sepertimana yang difahami daripada hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.

Riwayat Muslim (279)

Inilah yang disebut dalam Bahasa Malaysia sebagai teknik sertu.

 

Keharusan Bertaqlid Dengan Pendapat Lain Apabila Berlaku Masyaqqah

Dalam konteks semasa, saudara/i yang bertanya mendakwa bahawa jika aktiviti sertu dilakukan berkali-kali atas alatan atau perkakas makmal yang digunakan untuk enzim khinzir itu, akan menyebabkan barang-barang berkenaan rosak serta mendatangkan kepayahan kepada penyelidik. Sekiranya benar aduan itu, maka di sini kami mendapati ada rukhsah diberikan oleh Syarak di mana seseorang itu boleh mengikut pendapat lain yang membenarkannya, dengan syarat-syarat tertentu. Hal ini disebut oleh al-Habib Syeikh Abdurrahman bin Muhammad Ba`lawi dalam kitab fatwanya, Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 19) menyebut: “Diharuskan bagi seseorang yang beriltizam dengan mazhab al-Syafie untuk bertaqlid dengan mazhab lain, atau pendapat yang marjuh (lawan bagi rajih) dalam mazhab al-Syafie kerana alasan darurat, yakni kerana akan berlaku kesukaran yang tidak tertanggung oleh adat. Adapun jika tiada darurat itu, maka haram bertaklid  dengan mazhab lain, melainkan jika seorang muqallid itu seorang yang berkeahlian untuk mentarjih pendapat dan dia melihat dalil yang lebih rajih berbanding dalil imam mazhabnya.”

Jika apa yang disebutkan oleh saudara/i yang bertanya itu benar, yakni jika menggunakan air atau tanah akan merosakkan peralatan makmal, maka tsabitlah di situ berlaku kerosakan terhadap harta sedangkan tujuan Hukum Syarak bukanlah untuk merosakkan harta, sebaliknya memeliharanya. Ini disebut sebagai Hifz al-Mal. Daripada al-Mughirah bin Syu`bah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan kalian untuk membuang-buang harta.”

Riwayat al-Bukhari (2408)

Begitu juga, Syarak tidak bertujuan untuk membebankan seseorang mukallaf dengan suatu hukum yang menyusahkan hidupnya lagi merugikan dirinya. Firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).”

(Surah al-Ma`idah: 6)

Menjalankan kajian makmal dan eksperimen sains untuk pendidikan adalah keperluan zaman kini kerana daripadanya boleh muncul banyak penemuan dan inovasi baharu yang boleh memberi manfaat kehidupan manusia serta menghilangkan kesukaran mereka. Justeru, merosakkan alatan-alatan kajian dengan penggunaan air atau tanah akan menyebabtkan keperluan ini terganggu dan akan menyusahkan kehidupan dan membantutkan kemajuan umat Islam. Hal ini sesuai dengan kaedah fiqh yang disebut oleh Syeikh Abu Zaid dan dipersetujui oleh Syeikh al-Qaffal dalam kes solat dengan kasut yang dijahit dengan bulu khinzir:

الْأَمْرُ إذَا ضَاقَ اتَّسَعَ

Maksudnya: “Suatu perkara apabila menjadi sempit, maka diluaskan.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/511)

 

Kesimpulan Hukum

Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa perkara ini boleh mendapat rukhsah atau keringanan dalam Syarak. Namun, hendaklah aturannya dinyatakan mengikut pertimbangan maslahah-mudarat supaya tidak termasuk dalam perbuatan bermain-main dalam urusan agama dan talfiq yang mengambil mudah urusan agama. Kami nyatakan aturan hukumnya seperti berikut:

  • Harus memegang najis kerana hajat. Dalam mazhab al-Syafie, melumurkan badan atau memegang najis tanpa hajat adalah haram. Namun apabila terdapat hajat seperti istinjak, menghilangkan najis, termasuklah membuat kajian bagi pendapat kami, maka hukumnya adalah harus. Rujuk Tuhfatul Muhtaj (1/161). Namun hendaklah anggota badan yang terkena najis itu dibasuh secara tasbi` dan tatrib. Begitu juga alatan yang terkena najis itu. Jika tidak berlaku tasbi’ dan tatrib, maka alatan tersebut akan menjadi mutanajjis selama-lamanya, tidak boleh dibawa sembahyang dan boleh memindahkan kenajisannya jika disentuh oleh suatu yang basah seperti tangan dan seumpamanya. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati.  Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/585)
  • Jika perkakas makmal akan rosak apabila disertu dengan air tanah, maka boleh bertaqlid dengan ikhtiyar (pendapat pilihan) Imam al-Nawawi. Beliau, sebagaimana kedudukan beliau adalah mujtahid tarjih dalam mazhab al-Syafie, telah memilih pendapat para ulama bahawa khinzir bukanlah najis mughallazah seumpama anjing kerana bagi beliau kaedah qias berkenaan tidak begitu kuat. Justeru, najis khinzir dan alatan-alatan yang mutanajjis akibat khinzir, cukup dibasuh dengan sekali basuhan secara wajib, atau tiga kali secara sunat, sehingga hilang bau, warna dan rasa, tanpa melakukan tasbi` dan tatrib. Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/586)
  • Jika alatan akan rosak apabila menggunakan air dan tanah, maka boleh bertaqlid dengan Mazhab Hanafi yang juga menerima pembersihan melalui kaedah gosok, garuan, sapuan, menjadi kering dengan sendiri dan fizikal najis berubah menjadi bahan lain. Oleh kerana itu, najis pada khuf dan kasut yang bernajis boleh disucikan dengan digosok pada tanah sehingga hilang jirim najis, air mani (kerana najis di sisi mereka) yang digaru apabila kering, barang yang berkilat seumpama pedang dan cermin apabila disapu dengan kain, dan tanah yang bernajis apabila kering dengan sendiri dan apabila arak bertukar menjadi bahan lain seumpama cuka. Ini dengan syarat hilang sifat-sifat najis itu. Jika berbekas kesan sahaja, maka dimaafkan. Lihat Hasyiah Ibn Abidin (1/309-314)

Selain itu, jika diambil rukhsah dengan bertaklid dengan pendapat yang marjuh dan mazhab lain, hendaklah dibuat secara berhati-hati dengan mengikut aturan dan hanya untuk kes tertentu sahaja. Tidak boleh dilaksanakan secara meluas hingga mendatangkan fitnah dalam masyarakat yang bermazhab Syafie. Ini bagi menjaga kerukunan masyarakat Islam dan mengajar disiplin dalam mengamalkan Hukum Syarak. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:

مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Apa yang diharuskan kerana darurat, maka hendaklah dibenarkan sekadar tuntutan darurat itu sahaja.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 84) oleh Imam al-Suyuti

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya. Wallahua’lam.